|
RIUH celotehnya menggeletek hati, apatah lagi ketika dia mengomel tentang solekan pada wajahnya. Lucu melihat gelagat pelumba Moto3 tanah air, Muhammad Zulfahmi Khairuddin membelek bibirnya yang dicalit gincu nipis di hadapan cermin.
“Tak pernah dalam hidup kena bersolek. Lagi-lagi bila kena pakai lipstik macam ini,” cemas kecil terdengar daripada getar suara anak muda berusia 23 tahun itu.
Ketika sesi fotografi Stailo bersama anak kelahiran Banting, Selangor itu, dia sedang menjalani latihan intensif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum pulang ke Sepanyol.
Sejak mencuri tumpuan dengan menduduki tempat kedua pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di SIC pada Oktober 2012, kehidupan Zulfahmi banyak dihabiskan di benua Eropah.
Pencapaian Zulfahmi itu ternyata membuka jalan lebih luas kepadanya malah turut diberi pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada Februari tahun lalu kerana menjadi pelumba motosikal pertama negara yang mencatat keputusan podium pada kejohanan antarabangsa.
Dua bulan adalah tempoh maksimum bagi Zulfahmi menetap di Eropah bagi menjayakan perlumbaan. Lelaki yang berasal dari Kampung Bukit Changgang itu hanya berada di Malaysia sebanyak empat kali setahun.
Ekoran kelapangan masa yang terhad, dia memperuntukkan setiap minit waktunya dengan pengisian produktif. Ahad khususnya adalah satu-satunya hari lapang sepenuhnya bagi Zulfahmi, bebas tanpa sebarang latihan.
Begitupun, tidak bermakna dia memilih untuk bermalas-malasan di rumah kerana darah mudanya masih menderu laju meminta untuk dipergunakan sebaik mungkin. Aktiviti lasak yang juga melibatkan motosikal menjadi keutamaan Zulfahmi pada hari cuti.
“Selalunya saya akan masuk hutan dengan motosikal jenis scrambler bersama lima atau enam orang kawan. Setakat ini, laluan paling mencabar yang pernah saya redah ialah Gerik, Perak,” ceritanya teruja.
Hobi lasak
Kecenderungan terhadap hobi lasak seperti motocross dan berbasikal membuatkan kelibat Zulfahmi jarang dilihat di pusat beli-belah mahupun lokasi tumpuan awam yang digemari kebanyakan remaja.
Jika tidak keluar rumah sekalipun, anak sulung daripada empat adik-beradik itu akan menukar landskap kediamannya menjadi sebuah bengkel. Selain hebat mengemudi jentera di litar lumba, Zulfahmi juga mempunyai bakat luar biasa dalam bidang ubah suai motosikal.
Justeru, tidak mustahil dia pernah bergelar pelesit rempit yang menjadi jaguh jalanan di sekitar kampungnya. Pengalaman remaja itu banyak mengajar Zulfahmi untuk terus meraih kejayaan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.
Suka mengemas
Bermula umur tujuh tahun, dia sudah berani membawa motosikal ibunya selepas diajar seorang sepupu. Tempoh curi-curi menunggang motosikal berakhir apabila dia benar-benar mahir mengawal kenderaan beroda dua itu secara bersendirian.
|
“Saya suka mesin rumput di rumah, tapi perkara utama yang ramai orang tidak tahu ialah saya suka mengemas. Saya pantang kalau rumah berselerak,” butir katanya matang menjangkaui usia sebenarnya.
Naratif profesion Zulfahmi bermula pada tahun 2008 ketika dia menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia. Kerjayanya terus mekar apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 pelumba terbaik bagi kelas 125cc selaku finalis wildcard yang membenarkannya beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia 2010.
Nama yang kian megah bagaimanapun tidak mengubah sedikit perwatakan bersederhana Zulfahmi. Mungkin ramai mengandaikan kemampuan pelumba tempatan itu menawan pentas antarabangsa adalah bersandarkan bakat semula jadi. Namun hakikatnya, disiplin dan keazaman tinggi dijadikan pencetus utama bagi mengiringi setiap pencapaian.
Keinginan menyambung pelajaran memang tertanam dalam diri Zulfahmi. Begitupun fokusnya kepada kerjaya lebih diutamakan malah menyifatkan setiap latihan dan perlumbaan juga adalah satu bentuk pelajaran yang tidak boleh dikutip di dalam kelas.
“Saya akan memilih bidang sukan permotoran kalaulah diberi peluang untuk sambung belajar,” luah Zulfahmi jujur yang turut mendedahkan bahawa sekiranya tidak bergelar pelumba, dia mungkin menjadi mekanik, jurutera atau polis trafik.
Fesyen
Masih banyak impian ingin dikecapi pelumba muda negara itu. Antaranya, menyandang posisi juara dunia Moto GP. Bagaimanapun, Zulfahmi enggan meletakkan sebarang jangka masa sasaran bagi melunaskan hasrat tersebut.
Pada sesi fotografi itu juga, penampilan Zulfahmi diubah eksentrik. Menyarungkan persalinan rekaan Kaer Azami menerusi label Kazami Homme, ciri maskulin Zulfahmi diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih menyerlah.
Namun pada dasarnya, dia hanyalah seorang lelaki bercita rasa ringkas. Baju-T kosong bersama jean sudah cukup melengkapi hari Zulfahmi, asalkan pakaian itu bersih.
Dia juga kerap ditaja beberapa jenama terutama jaket motosikal. Antara label tersohor yang membalut tubuh kecil Zulfahmi ialah Jack & Jones. Selain itu, kebanyakan pakaian hariannya dibeli di Eropah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: