• PU HafizPU Hafiz

SEBAGAI juara Mimbar Pencetus Ummah musim pertama, PU Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd Haneefa mengakui kemenangan itu banyak membantunya dalam bidang dakwah.

Selaku pengetua sekolah tahfiz yang diusahakan sendiri oleh keluarganya, Hafiz berkata buat masa ini, beliau telah mengurangkan waktu perkhidmatan di sekolah demi memenuhi permintaan ceramah daripada berbagai pihak.

“Saya sangat-sangat bersyukur dengan nikmat yang diberikan walaupun terpaksa mengurangkan masa mengajar di sekolah ini tetapi saya dipanggil untuk menyampaikan ceramah di kebanyakan negeri.

“Jadi selain mengendalikan sekolah dakwah saya kepada khalayak dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hafiz juga menyentuh penggunaan laman sosial sebagai salah satu alternatif penyampaian dakwah kepada umum.

Hal ini kerana pada zaman yang serba moden sekarang ini sememangnya majoriti golongan belia sekarang ini kebanyakan mempunyai akaun Facebook dan juga Twitter.

“Buat masa sekarang ada banyak halaman berunsurkan islamik jadi saya harap golongan muda kita mengikuti halaman tersebut.

“Kalau boleh berkongsi sebanyak mungkin bersama rakan-rakan lain di laman sosial, sedikit sebanyak perkongsian ilmu ini akan memberi kebaikan kepada semua.

“Saya juga dalam laman sosial membuka satu ruangan kepada masyarakat umum untuk menanyakan sebarang masalah dan kemusykilan.

“Sekali gus saya dapat membantu dan menyampaikan dakwah kepada semua, jadi kita tidak akan menjadi antara golongan yang meminggirkan agama disebabkan kemodenan dunia sekarang,” katanya.

Ditanya tentang lagu-lagu berunsurkan ketuhanan, beliau berpendapat cara tersebut merupakan salah satu cara yang baik untuk menarik masyarakat lebih mendekati Islam.

“Sebagai seorang pendakwah, matlamat utama adalah untuk menarik masyarakat supaya lebih mendekati agama Islam dan mungkin cara penyampaian kami adalah berbeza-beza.

“Mungkin cara kami menyampaikan dakwah berbeza tetapi matlamat kami adalah sama tetapi berharap tidak melanggar unsur-unsur syarak.

“Sememangnya hiburan tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan manusia tetapi saya berharap masyarakat kita tidak lalai dengan hiburan yang dipilih,” katanya.

Didik golongan muda

Generasi muda merupakan generasi yang harus dibentuk dan dididik menjadi insan yang berguna suatu hari nanti. Dengan kata lain akan menjadi pemimpin kelak.

Hafiz beranggapan mereka ini perlu disemai dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan Islam kerana golongan muda sekarang menginginkan kebebasan tanpa kongkongan daripada mana-mana pihak.

“Jika kita ingin membina satu tamadun untuk 40 tahun akan datang, kita perlu melihat generasi muda masa kini”, kata Hafiz itulah salah satu ungkapan yang cukup sinonim kepada generasi muda hari ini.

Beliau menyatakan golongan muda pada zaman sekarang merupakan golongan yang akan memimpin negara suatu hari nanti.

Jika golongan muda pada hari ini hidup dalam keadaan yang bermasalah tidak menjadikan Islam sebagai penunjuk perjalanan hidup nescaya sesebuah negara yang dibina tidak mampu bertahan.

“Dalam konteks kehidupan manusia, sebagai contoh seorang lelaki suatu masa nanti pasti akan menjadi ketua mungkin daripada sekecil-kecil organisasi sehinggalah kepada sebesar-besar organisasi.

“Jadi sebagai seorang ketua keluarga yang memeluk Islam, apa yang perlu diterapkan kepada isteri dan anak-anak supaya menjadi sebuah keluarga yang harmoni.

“Begitu juga dengan sesebuah negara, pasti memerlukan seorang ketua untuk memimpin rakyatnya menjadi rakyat yang lebih bermoral dan mengamalkan nilai-nilai Islam,” ujarnya.

Selain itu juga, beliau berharap supaya golongan yang lebih tua dapat membimbing golongan muda dan tidak menghukum sekiranya berlaku sesuatu masalah.

Ini kerana, golongan muda perlu diberi peluang dan ruang untuk memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan.

Manakala untuk generasi muda pula Hafiz berharap supaya pandai memilih kawan untuk dijadikan sahabat.

“Akhlak seseorang itu sebenarnya banyak bergantung kepada akhlak sahabatnya jadi pilihlah sahabat yang betul,” katanya.

Terus berdakwah

Hafiz turut berterima kasih kepada pihak Astro kerana menyediakan satu platform kepadanya untuk mengasah bakat dan membuka satu lembaran baru kepada dunia dakwah.

“Banyak yang saya memperolehi daripada program Mimbar Pencetus Ummah sebagai contoh jika sebelum ini kuliah saya mungkin bersifat statik.

“Tetapi selepas program ini saya sedari banyak kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki dan mempelbagaikan cara penyampaian bergantung kepada situasi, tempat dan juga audiens.

“Saya juga diajar dengan merendahkan diri kepada audiens supaya saya dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi audiens,” katanya.

Bersama rakan-rakan Pencetus Ummah yang lain juga, Hafiz merancang menjadikan pelajar-pelajar tahfiz al-Quran Selangor sebagai anak angkat.

“Saya juga merupakan Timbalan Pengerusi NGO Islam Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor mempunyai perancangan masa panjang untuk 9000 pelajar.

“Tujuan kami melaksanakan tugas-tugas ini adalah untuk membina satu  komuniti untuk mengutip dana untuk pembangunan sekolah tahfiz di Selangor, mengadakan program secara dan juga kebanyakannya tertumpu kepada sekolah tahfiz.

“Kami rakan-rakan PU juga dalam proses menyiapkan ceramah agama berbentuk video pendek kepada masyarakat secara percuma.

“Kenapa video pendek, kerana kemungkinan orang kita sudah biasa dengan ceramah-ceramah di masjid, jadi masa yang pendek seperti kami di pentas Pencetus Ummah digunakan untuk menghasilkannya.


PROFIL

Nama Penuh: MUHAMMAD HAFIZ B. MOHD HANEEFA
Umur : 32 tahun - Klang , Selangor
Status : Berkahwin
Pendidikan : Master UIAM (Quran Sunnah)
Pekerjaan : Pensyarah qiraati dan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang.
Hobi :Gemar bersukan, berenang dan seni pertahankan diri.
Inspirasi : Ibu & Ayah
Perwatakan : Mudah mesra dengan orang, suka timba pengalaman.