- Fizi Ali
Memiliki senyuman menawan, pemilik nama sebenar, Muhd Hafizuddin Alimuddin, 25, rela dikritik demi peningkatan kerjayanya.
Merupakan bekas peserta program realiti, Pilih Kasih musim kedua, Fizi berkata, kesusahan hidup mengajarnya erti kehidupan.
Katanya, walaupun menjadi peserta pertama tersingkir dalam program itu, namun dia bangga terpilih menjadi salah seorang peserta dan mendapat pengalaman cukup berharga.
“Abang Rosyam mengajar kami banyak perkara termasuk liku-liku bergelar anak seni.
“Senang untuk kita memasuki industri namun untuk kekal lama dalam bidang ini adalah cabaran yang paling sukar.
“Jika kita mudah mengalah dan enggan mengambil langkah ke hadapan, maka kita akan tewas sebelum berjuang,” katanya.
Selepas empat tahun berlalu, Fizi berkata, program realiti tersebut menjadi batu loncatan untuk dia masuk dalam industri hiburan.
“Biarpun saya tewas dalam pusingan pertama minggu penyingkiran, namun saya menganggap ia bukan rezeki saya.
“Sebaliknya, saya yakin bahawa rezeki tidak akan berhenti di situ sahaja.
“Malah abang Rosyam menasihati saya agar mencuba nasib di luar sana kerana tidak mahu peserta terlalu mengharapkannya untuk berjaya,” katanya yang kini merupakan penyampai radio baharu, Ultra FM yang dilancarkan Mac tahun lalu.
Belajar daripada kesilapan
Bercerita mengenai kerjaya baharunya itu, Fizi berkata, kesilapan sering berlaku pada awalnya dan ramai pendengar menegur kesilapannya, namun dia menerimanya dengan hati terbuka.
“Sudah menjadi kebiasaannya kita melakukan kesilapan secara sengaja atau tidak.
“Keprihatinan pendengar menunjukkan mereka peka terhadap perkara sebegini.
“Daripada situlah saya belajar agar tidak mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.
Tambahnya, tanpa pengalaman sebagai deejay radio bukan alasan untuk dia berhenti atau berputus asa terhadap kerjayanya itu.
Katanya, jika sebelum ini dia tidak tahu langsung mengenai tajuk lagu atau penyanyi tetapi kini dia mampu tersenyum bangga.
“Sebelum putarkan lagu saya kaji terlebih dahulu siapa penyanyi dan lirik-lirik lagu untuk memudahkan tugas nanti.
“Kalau tidak, pasti kita akan dihentam pendengar jika tidak mengetahui perkara asas dalam muzik,” katanya.
Sementara itu, Fizi berkata, segmennya akan bersiaran setiap malam bermula jam 9 dan diulang semula jam 11 malam.
“Segmen Segar Bugar merupakan lagu dari Indonesia dan Inggeris, namun tidak ramai yang mengetahui mengenai lagu-lagu ini.
“Malah kami juga membuka kepada mereka yang tidak tahu menyalurkan lagu mereka untuk diputarkan di radio,” katanya.
Dalam masa sama, Fizi berkata, selain berkampung di konti radio, dia juga menerima tawaran berlakon.
“Selepas tersingkir dari program Pilih Kasih, saya ditawarkan berlakon dalam telemovie berjudul Kurma Ajwa. Dalam cerita ini saya memegang watak budak nakal yang suka membuli budak cacat,” katanya.
Kemudian, Fizi berkata, dia berlakon sebagai jejaka lembut dalam telemovie, Tuty Polkadot.
Selain berlakon, dia turut menerima tawaran pengacaraan sempena Sejuta Belia Putrajaya (2011) dan Dr Siber bagi saluran TVi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: