TATKALA kebanyakan warga Tokyo sedang nyenyak tidur, segelintir warganya lengkap memakai but getah giat tawar-menawar harga ikan tuna di dewan Pasar Tsukiji.
Bunyi loceng sekitar pukul 5.30 pagi menandakan bermulanya lelongan di pusat dagangan ikan terbesar di dunia itu. Peniaga menunjukkan isyarat tangan dan melaungkan harga bagi urus niaga pembelian dan jualan ikan yang akan dihidangkan di restoran-restoran di sekitar ibu negara Jepun.
Sirip ikan dibuang bagi mendedahkan isi merah ikan segar yang tersusun di atas troli-troli kayu di seluruh pasar.
Secara keseluruhan, hasil laut dan sayur-sayuran yang bernilai kira-kira AS$18 juta (RM58.71 juta) atau lebih 2,900 tan bertukar tangan setiap hari di pasar tersebut.
"Anda lihat bagaimana kami menggunakan isyarat tangan? Caranya sama dengan dagangan saham yang diamalkan suatu ketika dahulu," tanya seorang pembida ikan beberapa saat selepas deringan loceng menandakan permulaan bidaan.
Pasaran saham utama telah beralih kepada perdagangan menerusi komputer, seiring dengan perkembangan Tokyo sebagai salah satu bandar raya terbesar di dunia sejak beberapa dekad lalu. Namun, terdapat sedikit perubahan terhadap cara urus niaga di Pasar Tsukiji sejak pembukaannya pada tahun 1935.
|
Kini, setelah hampir 80 tahun beroperasi, pasar tersebut dijangka dipindahkan ke satu lokasi baharu yang dilengkapi teknologi baharu. Bagaimanapun, bukan semua pihak berpuas hati dengan perpindahan dari kawasan utama yang terletak di tengah-tengah metropolis berkenaan.
Penempatan baharu dan pembinaan kemudahan moden dengan sistem penyejukan terkini yang hampir 40 peratus lebih besar daripada pasar sekarang dianggarkan menelan belanja hampir RM12.39 bilion.
Lokasi baharu yang dijadualkan pada tahun 2016 itu, baru-baru ini menerima tamparan negatif apabila berlakunya kejadian pencemaran tanah. Sebelum ini, tapak yang terletak 2.3 kilometer dari Tokyo itu merupakan kawasan loji gas.
Ekoran itu, pihak berkuasa terpaksa membelanjakan RM1.63 bilion bagi kerja-kerja pembersihan tapak seluas 40 hektar itu.
Pemindahan pasar
Pengerusi Persatuan Pemborong Makanan Laut, Hiroyasu Ito menegaskan pemindahan pasar tersebut penting bagi Pasar Tsukiji untuk memenuhi permintaan moden terhadap makanan segar.
"Landasan kereta api dahulunya digunakan untuk memunggah ikan dan barangan di sini. Keadaan kini berbeza pada hari ini dengan penggunaan trak yang dilengkapi peti sejuk," katanya sambil menunjuk ke arah sebuah gambar besar susun atur pasar tersebut di pejabatnya.
Tambahnya, perkara penting yang harus diambil kira bagi memastikan kesegaran bekalan barangan adalah dengan mengekalkannya dalam suhu yang sekata sehingga barangan tersebut bertukar tangan kepada pembeli.
"Kelengkapan ini tiada di pasar ini. Pelanggan mahukan makanan laut yang segar supaya mereka dapat menikmatinya secara mentah. Hal tersebut memberi tekanan kepada pemborong. Pembekal terpaksa mencari kaedah penyejukan berteknologi tinggi.
|
"Kami berjaya mengekalkan kesegaran ikan dalam bekas penyejuk berkualiti tinggi, tetapi ia tidak tahan lama kerana Tsukiji kekurangan teknologi moden," katanya.
Penggunaan kemudahan baharu, mereka merancang untuk menutup pengudaraan dari luar dan menyimpan ikan dalam suhu yang stabil. Tetapi perancangan untuk berpindah jauh dari pusat bandar tidak dipersetujui oleh segelintir pembeli.
"Keadaan sesak dan sibuk di Pasar Tsukiji telah menjadikan tempat ini menarik," kata seorang pelancong tempatan, Tetsuya Kojima sambil menambah, dia besar kemungkinan tidak akan mengunjung tapak baharu itu kelak.
Pemimpin persatuan, Makoto Nakazawa, yang mewakili sebahagian peniaga yang membantah pemindahan Pasar Tsukiji mendakwa langkah tersebut dilihat sebagai medium untuk mengaut keuntungan semata-mata.
"Pihak berkuasa mahu memindahkan pasar tersebut demi kepentingan hartanah di sini," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: