SERAMAI 57 mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah proaktif mendekati penduduk luar bandar dengan berkongsi maklumat mengenai pengurusan kewangan dan hak pengguna di Felda Ijok, Selama, Perak.
Program Siswa@Kampung yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan secara bersama oleh mahasiswa Kursus Bakti Siswa dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM serta sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Mengetengahkan konsep keluarga angkat, kesemua mahasiswa gembira bersama keluarga angkat masing-masing melibatkan tiga hingga enam mahasiswa untuk sebuah keluarga.
Selain memberi pendedahan dan maklumat berkaitan hak pengguna dan pengurusan kewangan, program tersebut turut membuka ruang kepada pembinaan modal insan.
Seorang peserta, Hidayati Jamil, 19, teruja apabila berpeluang merasai kehidupan ala kampung selain berkongsi ilmu bersama masyarakat setempat.
"Lebih mengujakan ialah nilai budaya timur masyarakat di Felda Ijok ini yang masih menebal terutamanya dalam konteks melayan tetamu.
"Walaupun saya bersama mereka hanya tiga hari perasaan ketika mahu meninggalkan mereka untuk pulang ke universiti tidak dapat saya gambarkan.
"Bayangkan dalam tempoh singkat, hubungan kami bersama keluarga angkat bagaikan keluarga sendiri. Sedih sewaktu kami saling bersalaman sebelum berpisah," jelasnya.
Program berkenaan dirasmikan oleh Penasihat Agama kepada Menteri Besar Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz.
Perkongsian ilmu
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Ijok, Ramli Mahmud memberitahu sebagai wakil penduduk mereka menyambut baik mana-mana mahasiswa sama ada institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang mahu berkongsi ilmu dengan penduduk di situ.
Jelasnya, usaha mahasiswa UPM itu harus diberikan pujian kerana pada usia muda, mereka sudi melakukan kerja kebajikan terutamanya dalam perkongsian ilmu.
"Mereka adalah golongan belia dan mungkin pemimpin pada masa akan datang. Banyak ilmu yang kami peroleh sepanjang penuntut UPM berada di sini.
"Harapan kami supaya lebih ramai mahasiswa di luar sana sudi ke sini untuk berkongsi ilmu selain menjadi inspirasi kepada golongan belia luar bandar melanjutkan pengajian sehingga ke menara gading," katanya.
Ketua Program Siswa@Kampung, Muhamad Hasyim Ibrahim berkata, pelbagai program diisi sepanjang berada di Felda Ijok.
Katanya, antara program yang dijalankan termasuk program cilik yang celik, pengguna bijak, pengurusan kewangan keluarga (gores dan menang), hak-hak dan tanggungjawab pengguna serta sukaneka.
"Kami menerima maklum balas yang sangat baik. Fokus kami ialah pendidikan dan pendedahan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: