SELEPAS sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya pada tahun 2011, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 6, Siti Nursaida Tarudin pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki termasuk yang berpangkat Datuk.
Bagaimanapun, menurut laporan sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu kini sudah berjumpa pengganti baharu.
Memetik laporan sebagai berkata, ibu kepada empat anak itu (Siti Nurunnyssa, 17, Anas, 15, Khalid, 11, dan Siti Nurul Mashitah, 8) sering memuat naik foto bersama seorang jejaka kacak di laman sosial Instagram dan mendapat respons positif daripada peminat.
Kosmo! berkesempatan bertemu dengan Saida, 38, kelmarin, pada majlis sambutan ke-10 Sitizone dan ulang tahun ke-35 Datuk Siti Nurhaliza di K Klub, Taman Melawati, Kuala Lumpur, berusaha untuk mendapatkan komen lanjut. Ikuti penjelasan Saida.
Kosmo!: Benarkah khabarnya Saida kini sudah bertemu pengganti?
SAIDA: Alhamdulillah, masih dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing dan saya ikut resmi ‘go with the flow’ (ikut arus) saja.
Siapakah lelaki itu sebenarnya?
Saya panggil dia Apit dan sejujurnya memang dia lelaki paling rapat dengan saya sekarang. Dia berasal dari Pulau Pinang, bekerja sendiri dan seorang duda anak dua. Walau usianya empat tahun lebih muda daripada saya, rasanya tiada masalah untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Adakah status dan usia penghalang dalam perhubungan?
Saya sudah ada anak dan matang dalam perhubungan yang lebih baik, tidak mustahil untuk pergi lebih jauh.
Berapa lamakah usia perkenalan kalian dan adakah Saida sudah mempunyai perancangan untuk peringkat lebih lanjut dalam hubungan tersebut selepas ini?
Kami berkenalan dua tahun lalu dan insya-Allah kalau sudah serasi akan ada fasa seterusnya. Dia rakan perniagaan saya dan bertemu pun ketika bekerja. Buat masa sekarang kami cuba dulu mengenali satu sama lain.
Apakah kriteria yang ada pada diri Apit yang membuatkan Saida selesa bersamanya?
Dia seorang lelaki yang memahami dan tidak mendesak. Persefahaman itu penting dalam membentuk keharmonian dalam sesebuah perhubungan, jadi dia faham saya dan saya faham dia, maka tiada sebarang masalah.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak Saida terhadap Apit?
Mereka secara perlahan-lahan mengenali Apit dan proses perkenalan sudah pastinya mengambil masa. Apabila betul-betul serius barulah boleh bertanyakan kepada anak-anak. Namun biasalah budak-budak, mereka agak lambat untuk menerima individu baharu dalam hidup mereka. Kalau pasangan kita mampu menambat hati anak-anak lebih cepat, itu lebih baik.
Tahun 2014, mungkin Saida mempunyai impian ke arah membina sebuah keluarga baharu atau perancangan kerjaya yang lebih sempurna?
Tahun ini saya lebih utamakan anak saya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jodoh itu kuasa Allah, saya hanya boleh merancang tetapi tidak tahu kesudahannya bagaimana. Ada rezeki, insya-Allah ada jodohnya.
Bakal ada projek terbaharu membabitkan kerjaya nyanyian Saida?
Ya, saya akan berduet dengan seorang penyanyi wanita yang pernah popular suatu ketika dulu menerusi sebuah lagu ciptaan Adi (Sixth Sense) berjudul Setia.
Buah tangan ini untuk peminat saya yang sudah sekian lama menunggu dan saya sendiri mahu memeriahkan industri hiburan dengan produk baharu. Saya juga sedang mencari lagu rancak atau pop rock sebagai permulaan ke arah muzik yang berbeza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: