Tuesday, January 28, 2014

Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen



DI sebalik rentetan kejayaan peragawati terkenal, Amber Chia, tersimpan episod kesusahan, kedaifan dan kekecewaan yang amat menyentuh hati untuk dikongsi bersama.
Pelajaran setakat tingkatan tiga mengheret ikon berusia 32 tahun itu menjadi dewasa pada zaman remaja.
Setiap hari Amber membantu bapanya menjual ikan di sebuah pasar di Tawau, Sabah. Pada sebelah malam pula, dia menjadi juruwang di pasar raya tempatan.
Membesar sebagai anak ketiga daripada enam adik-beradik, zaman kanak-kanak Amber tidak semewah kini. Dulu, pakaian baharu hanya diperoleh setahun sekali, itupun apabila Tahun Baru Cina menjelang.
“Sebab itu Tahun Baru Cina terlalu istimewa untuk saya dan adik-beradik. Kami tahu, ibu akan membawa kami ke pasar raya untuk membeli baju baharu,” kongsi wanita ini sambil memutar memori termanisnya itu tatkala bergelar kanak-kanak kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika kecil juga Amber menanam hasrat untuk bergelar seorang peragawati. Sejak menonton rancangan fesyen di televisyen dan membelek majalah yang menghimpunkan model-model anggun, beliau sudah tahu arah tuju masa depannya.
Berbekalkan cita-cita itu bersama wang tunai RM300, Amber terbang ke Kuala Lumpur pada umur 17 tahun. Tanpa seorang pun kenalan di bandar raya itu, beliau memberanikan diri mencongak tuahnya dalam bidang peragaan.
Teksi
Iklan uji bakat dalam surat khabar menjadi teman akrab wanita ini. Malah, dia tidak ralat menyewa sebuah bilik bersama beberapa orang gadis tidak dikenali di Kuchai Lama dengan kadar sewa RM50 sebulan.
Duit simpanan yang kian surut hampir mencemaskan Amber. Namun, ketabahannya berbayar apabila dia diterima sebuah agensi model bebas.
Pada awalnya, dia diminta untuk membayar yuran bagi mengikuti kursus latihan tetapi memandangkan masalah kewangan yang dihadapi sangat kritikal, Amber dibenarkan untuk membayar kos tersebut menerusi potongan wang daripada setiap pertunjukan fesyen.
AMBER mengembangkan lagi kerjayanya menerusi kerjasama bersama pereka fesyen Melinda Looi dengan mengeluarkan koleksi pakaian di bawah nama MLxAC.


Fasa awal memang menguji kesabaran Amber. Dia perlu belajar berjalan dengan kasut tinggi yang sebelum itu langsung tidak pernah membaluti kakinya. Malah sepatah perkataan bahasa Inggeris pun tidak diketahui wanita tersebut, sekali gus menyulitkan komunikasi.
Enggan patah semangat, Amber berjanji kepada diri sendiri untuk meningkatkan prestasi agar tapak yang dibina akan terus utuh.
“Pernah sekali, saya menaiki teksi untuk menjayakan satu pertunjukan fesyen. Bila saya tengok meter tambang mencecah RM2.30, saya minta pemandu teksi itu berhenti kerana banyak itu sahaja wang yang saya ada.
“Saya meminta arah ke lokasi pertunjukan daripada pemandu tersebut dan berjalan kaki kira-kira 11 kilometer. Saya tiba di tempat pertunjukan dua jam awal dan terpaksa menumpang orang selepas kerja selesai,” imbas ibu kepada seorang anak lelaki itu.
Apa sahaja kepayahan hidup yang tidak pernah dilalui Amber pada permulaan kerjayanya? Setiap keperitan termasuk berlapar seharian juga direntasi tanpa rungutan. Bak katanya, ketika muda, semua cabaran dapat diatasi kerana semangat mengatasi segala-galanya.
Selepas setahun mencuba nasib sebagai model peragaan, Amber disunting sebuah agensi model ternama tanah air, Andrewsmodels.
Dua tahun berpayung di bawah agensi tersebut, kerjaya Amber mula berkembang apabila khidmatnya ditagih hampir setiap pertunjukan fesyen.
Wajah Amber memenuhi majoriti majalah fesyen. Meskipun tempoh dua tahun pertama kerjayanya tidak direstui penuh ibu bapanya, namun kesungguhan dan keikhlasan membantu keluarga keluar daripada takuk kemiskinan membenarkan dia meneruskan cita-citanya.
Kerja keras Amber dalam tempoh melebihi satu dekad juga melayakkannya digelar supermodel negara. Sampai satu tahap, orang mula muak atau mengelaskan beliau sebagai wajah terlebih promosi dalam industri fesyen tanah air.
Tenang dengan kenyataan tersebut, Amber menyifatkan bahawa dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Dia sedar, tidak semua komen yang diterima adalah positif tetapi setiap kritikan diterima untuk memperbaiki diri.
RAMBUT pendek menjadi imej baharu Amber selepas 25 tahun selesa berambut panjang.


“Kalau saya tak promosikan diri, tidak mungkin orang kenal Amber Chia hari ini. Komen negatif orang ramai terutama di laman sosial memang kadang-kadang buat kita geram tetapi saya tidak ambil serius,” bersahaja Amber meluncur kata.
Potong rambut
Transformasi Amber tidak hanya terlihat pada peningkatan kariernya. Malah baru-baru ini, model terkemuka itu mengambil langkah berani memotong pendek rambutnya yang telah disimpan selama 25 tahun.
Dedah Amber, kali terakhir dia berambut pendek adalah ketika berumur lima tahun dan selepas itu dia selesa berambut panjang.
Katanya: “Paling pendek pun saya potong setakat paras bahu.”
Keputusan Amber itu dibuat selepas dipelawa jenama penjagaan rambut antarabangsa, Vidal Sassoon (VS) bagi menjayakan kempen #GetSassooned.
Menerusi gerakan tersebut, rambut Amber diberi gaya potongan five point yang moden.
Bagi Amber, memotong rambut pendek adalah suatu ketakutan kepadanya. Dia bimbang gaya tersebut tidak bersesuaian dengan bentuk wajah, tambahan pula rambutnya jenis leper.
“Dulu kena sikat, ikat dan gunakan banyak produk rambut seperti gel dan penyembur. Paling kurang pun ambil masa satu jam setengah untuk siapkan solekan dan dandanan rambut.
“Bila berambut pendek, ia banyak menjimatkan masa solekan dan mendandan rambut. Kini saya hanya memerlukan 45 minit. Saya juga tampak lebih muda, segar dan bergaya. Siapa tahu, mungkin saya tidak akan menyimpan rambut panjang lagi,” berderai tawa Amber menyerlahkan keramahan bersahaja dalam dirinya.
Keluarga
Sementara itu, menyentuh rutin perayaan Tahun Baru Cina, Amber memberitahu, dia akan pulang ke rumah keluarga suami, Adrian Wong pada hari pertama sambutan seperti yang telah ditetapkan dalam tradisi kaum Cina.
Hanya pada hari ketiga, dia sekeluarga akan pulang ke Tawau untuk makan malam beramai-ramai. Detik itu sahaja Amber dapat berkumpul bersama semua adik-beradik dan anak-anak buahnya tanpa ada seorang pun tercicir.
AMBER akan pulang ke Sabah pada hari ketiga Tahun Baru Cina untuk berkumpul bersama-sama ahli keluarganya.


Tambahnya, setiap kali perayaan, dia akan berdoa agar keluarganya diberikan kesihatan. Kesenangan lain baginya akan datang kemudian.
Meskipun sibuk mengurus kerjaya, Amber sentiasa memastikan akan pulang ke kampung halaman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun.
Bagaimanapun, ibu bapanya juga kerap turun ke Kuala Lumpur untuk melawatnya sekeluarga.
“Bapa saya masih bekerja walaupun perniagaan menjual ikan telah diambil alih abang saya,” kongsi Amber.
Mendambakan seorang anak perempuan, ibu kepada Ashton Wong, 3, itu menikmati setiap momen bergelar ibu.
Setiap apa yang dimiliki kini dihargai penuh syukur. Tiada sasaran tinggi untuk dicapai, sebaliknya mahu meneruskan langkah di atas pentas peragaan selagi terdaya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: