|
PERCUTIAN bersama keluarga selama tiga hari dua malam di Taman Negara, Pahang pada bulan November lalu memberi satu pengalaman yang cukup berharga kepada Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, 14.
Kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn, Cheras itu hutan hujan tertua di dunia itu begitu istimewa di hatinya.
Meneroka keindahan flora dan fauna hutan yang berkeluasan 4,343 kilometer persegi itu meninggalkan memori yang cukup indah kepada anak sulung daripada tiga beradik itu.
"Saya rasa cukup bertuah kerana bukan saja dapat mengenali kepelbagaian flora dan fauna dengan lebih dekat, bahkan berpeluang melihat lebih dekat kehidupan masyarakat Orang Asli suku Batek," katanya yang pertama kali mengunjungi hutan terbesar di Semenanjung itu.
Sebagai pelajar, Ahmad Taufeq Ismadi berpendapat, pelajar sekolah sepatutnya membuat lawatan sambil belajar ke Taman Negara memandangkan subjek Sains mendedahkan pelajar tentang hidupan di hutan.
Malangnya kata remaja ini, banyak hidupan yang dinyatakan di dalam buku teks sekolah tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, dia agak cemburu dengan rombongan pelajar dari Singpura dan Indonesia yang datang ke Taman Negara setahun sekali untuk meneroka khazanah hutan tersebut.
Tanah, air dan udara merupakan tiga sumber yang bersatu membentuk bumi sekali gus alam untuk didiami penghuninya.
Tanah sudah pasti ada hidupannya tersendiri seperti pokok dan haiwan, begitu juga air, juga mempunyai penghuninya.
Tanpa udara, manusia yang menjadi penghuni alam tidak dapat bernafas di muka bumi ini.
Kehijauan alam
Justeru, untuk meneruskan falsafah kehidupan, kesemua hidupan sudah tentu wajar berkomunikasi melalui bahasa faham memahami. Taman Negara, harta tidak ternilai yang dimiliki negara.
Malah, Taman Negara merupakan tapak warisan dunia yang memelihara dan menjaga hidupan liar, hidupan tumbuh-tumbuhan.
Selain itu, taman negara juga digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan tempat rekreasi orang awam.
Bermula dengan aktiviti meneroka hutan, berjalan pada waktu malam, menaiki jambatan gantung terpanjang di dunia, meneroka kehidupan Orang Asli suku Batek dan melihat keindahan air terjun Lata Berkoh serta anak-anak sungai di kawasan sekitar.
Falsafah semasa menghayatinya cukup dalam. Keindahan dan kehijauan alam semula jadi yang disajikan cukup mempesona lagi menakjubkan.
|
Sepanjang perjalanan meneroka hutan, terdapat tumbuhan yang kecil daunnya baru menjalar lambang kehidupan baru sahaja bermula. Mendongak ke atas, ada dedaun gugur, gambaran apabila tiba waktu, manusia seperti juga tumbuhan, bakal pulang kepada pencipta-Nya.
Hidupan dan habitatnya yang tersendiri dapat dilihat dengan jelas melalui Menara Tinjau yang dibina.
Taman Negara Kuala Tahan mempunyai banyak haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah, rusa, pelanduk dan seladang.
Begitu juga kelawar yang keluar pada malam hari untuk menjamah buah-buahan di hutan semula jadi itu.
Melalui sungai, pokok-pokok bakau dan akarnya menawarkan pemandangan indah. Secara saintifiknya, akar jangkang pokok bakau melindungi telur ikan dan udang daripada ombak kuat dan pemangsa.
Tidak hairanlah apabila terdapat pelbagai jenis ikan dan udang bertelur di celah-celah akar pokok di dalam air hutan paya air masin dan hutan paya air tawar di Taman Negara.
Antara sungai-sungai itu termasuk Nusa, Dua, Abai, Teras, Dedari, Panjang dan Terenggan.
Salah seorang pelancong warga Jerman, Mariana Peer mengakui bahawa Malaysia cukup bertuah kerana memiliki kekayaan semula jadi flora dan fauna.
"Terus terang saya katakan, saya amat kagum dengan khazanah yang dimiliki Malaysia. Saya ada terdengar mengenai haiwan-haiwan yang hampir pupus tetapi mereka ada di sini, itulah yang saya cari dan saya harap dapat bertemu dengan haiwan-haiwan tersebut," kata pencinta haiwan invertebrata ini yang pertama kali ke Taman Negara.
Dekat dengan alam bukan satu momen atau pengalaman yang digemari oleh sesetengah pihak, tetapi ia begitu berharga kepada sesetengah individu.
Pepohon menghijau dan bunga pelbagai warna yang mekar bukan sahaja mengindahkan pemandangan di Taman Negara bahkan ia iberguna sebagai herba dan ubat-ubatan selain habitat hidupan.
Tumbuh-tumbuhan hijau ini juga berfungsi sebagai membekalkan sumber tenaga kepada manusia dan haiwan yang memakannya. Ia membantu dalam meningkatkan kualiti udara di samping mengekalkan keseimbangan kitaran gas oksigen karbon dioksida dan nitrogen.
Kepada manusia, hutan bukan sahaja memberi hasil tetapi turut bertindak sebagai penutup semula jadi serta melindungi tanah tanih daripada hakisan air. Maka, kita dan belantara saling memerlukan untuk terus hidup.
Bagi haiwan pula, ia menjadikan hutan sebagai tempat tinggal dan perlindungannya selain menjadi habitat untuk hidupan liar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: