MUMBAI akhirnya memperkenalkan terminal lapangan terbang baharunya, lengkap dengan reka bentuk berasaskan burung merak dan hiasan penuh berseni baru-baru ini. Pengubahsuaian bernilai 2 bilion rupee (RM147 juta) bertujuan untuk memulihkan reputasi India yang sebelum ini terkenal dengan rekaan kurang bermutu.
Perdana Menteri, Manmohan Singh yang telah merasmikan pintu masuk ke ibu kota kewangan itu yang digambarkan oleh ketua projek tersebut sebagai 'ibu kepada segala cabaran' kerana kekangan tanah di kawasan tersebut yang didiami oleh penduduk miskin.
Bersedia mengendalikan penerbangan antarabangsa dan domestik, terminal dilengkapi 140 kaunter imigresen, 94 balai pemeriksaan keselamatan, tempat letak kereta terbesar di India dan jalan bertingkat dengan enam lorong.
Terminal itu juga merupakan program seni awam terbesar di India dan bakal menjadi muzium paling dilawati di dunia dengan pameran sepanjang tiga kilometer merangkumi 7,000 kerja seni, mural Bollywood dan plaster dinding daripada tahi lembu.
Manmohan berkata, terminal tersebut dijangka menjadi penanda aras baharu global untuk lapangan terbang.
"Ia menunjukkan keupayaan kita sebagai sebuah negara dalam membina infrastruktur bertaraf dunia," kata Perdana Menteri yang juga Ketua Parti Kongres dalam usaha menyerlahkan kejayaannya menjelang pilihan raya pada Mei nanti.
Penduduk miskin
Satu perubahan besar ialah dari segi kesesakan terminal dan keadaan terminal yang teruk. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan dan projek mega itu turut berdepan beberapa masalah.
Ia sepatutnya siap pada tahun 2012, namun kos baik pulih lapangan terbang yang meningkat dari RM5.28 bilion kepada RM6.74 bilion menjadi halangan.
Selain itu, pemaju berdepan kesukaran memindahkan puluhan ribu penduduk miskin yang tinggal di kawasan lapangan terbang itu. Pemaju hanya mempunyai tanah seluas 570 hektar untuk digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf terminal. Ekoran itu, pemaju terpaksa membina terminal tersebut dalam bentuk X yang merentangi empat bangunan.
Kebanyakan penduduk di kawasan lapangan terbang itu tinggal di rumah beratapkan zink, keadaanya sangat berbeza dengan terminal serba baharu itu. Mereka enggan berpindah kerana syarat-syarat penempatan semula yang tidak jelas, kata Jockin Arputham, Presiden Persekutuan Penduduk Setinggan Kebangsaan.
Pertikaian penempatan semula patung politik pahlawan raja pada abad ke-17 juga mengundang kelewatan selama 17 bulan. Malah, cabaran paling besar ialah pembinaan terminal tersebut terpaksa dilakukan di atas tapak lapangan terbang sedia ada ketika operasi penerbangan berjalan seperti biasa.
Identiti India
"Apabila kami mendapat projek ini, ia seperti mustahil untuk dilakukan," kata G.V. Sanjay Reddy, Pengarah Urusan Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai Pvt. Ltd yang juga Naib Pengerusi Tenaga dan Infrastruktur GVK, syarikat India yang mengetuai operasi dan pengubahsuaian lapangan terbang itu.
"Projek infrastruktur di India adalah rumit," katanya.
Reka bentuk terminal itu memberi tumpuan kepada identiti India daripada hiasan beratus-ratus lampu candelier berbentuk bunga teratai hingga siling yang mempunyai 272 lubang yang membolehkan cahaya matahari masuk di bahagian pendaftaran masuk.
Ia turut dilengkapi kanta istimewa yang bergerak mengikut cahaya matahari bagi menghasilkan pantulan di atas lantai seperti bulu burung merak iaitu burung kebangsaan India.
"Lapangan terbang ini tidak menjadikan pelancong asing sebagai golongan sasaran, sebaliknya disasarkan kepada rakyat India. Rakyat India telah melupai asal usul mereka," kata Reddy.
Walaupun terminal itu berkapasiti 40 juta penumpang setahun, namun terdapat kebimbangan mengenai masa depan industri penerbangan Mumbai ekoran kekurangan ruang di bandar yang padat dengan penduduk miskin itu.
Ketua Perunding penerbangan Asia Selatan firma CAPA, Kapil Kaul menyifatkan terminal itu sebagai terminal ikonik kepada landskap penerbangan, namun pertumbuhan lapangan terbang itu akan terbantut apabila mencapai maksimum jumlah penerbangan dalam beberapa tahun akan datang.
India diramal menjadi pasaran penerbangan ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China pada tahun 2020 dengan pengendalian 337 juta penumpang domestik dan 84 juta antarabangsa, menurut kerajaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: