Tuesday, January 28, 2014

Ibnor Riza Izinkan Anak Jadi Bintang K-Pop


Puteri berjaya mendapat tempat kedua pada pertandingan akhir program realiti K-Pop Star Hunt musim ketiga pada Sabtu lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an, Ibnor Riza tidak terkejut apabila anaknya, Putri Norizah mendapat tempat kedua dalam pertandingan akhir program realiti K-Pop Star Hunt musim ketiga pada Sabtu lalu.
Ibnor, 52, berkata, sejak berusia tujuh tahun lagi anaknya menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sehinggalah dia berjaya mengikat kontrak bersama syarikat pengurusan artis terkenal Korea iaitu CJ E&M selepas pertandingan berkenaan.
"Jika dia kalah pun saya tidak terkejut kerana ini bukan kali pertama dia menyertai pertandingan seperti ini malah ia adalah cubaan ketiga dia memasuki program tersebut.
"Ternyata sikap tidak berputus asa akhirnya membuahkan hasil yang positif," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Putri, 22, mendapat tempat kedua dalam program realiti itu pada pertandingan akhir yang diadakan di Singapura.
Menyampaikan dua buah lagu iaitu There is No Love nyanyian asal penyanyi Korea, Gummy dan sebuah lagu berbahasa Inggeris daripada Leona Lewis berjudul Homeless.
Bagaimanapun Putri tewas kepada peserta Taiwan Andy Su, 15, yang menyampaikan lagu dendangan kumpulan G-Dragon.
Sebagai bapa, Ibnor sentiasa menyokong minat anaknya dalam bidang muzik.
K-Pop Star Hunt 3 adalah sebuah program pencarian bakat dari seluruh rantau Asia termasuk Hong Kong, Singapura, Filipina, Taiwan, Thailand dan Indonesia untuk dididik menjadi bintang K-Pop.
Putri dipilih untuk mewakili Malaysia bersama seorang lagi peserta iaitu Ryan Thoo, 23, selepas berjaya dalam satu uji bakat di Kuala Lumpur tahun lalu.
Kedua-dua mereka telah diterbangkan ke Seoul untuk menjalani latihan di bawah syarikat rakaman, FNC Entertainment yang menguruskan bintang K-Pop iaitu CN Blue dan FT Island.
Putri adalah salah satu daripada empat finalis yang terselamat bersama-sama dengan Any termasuk Stephanie Koh, 21, (Singapura) dan Siriburee Chananan, 18 (Thailand).
Dalam pada itu, Ibnor berkata, Putri ada meminta nasihatnya sebagai seorang artis lama dalam memberikan persembahan terbaik selain sentiasa meminta komen tentang nyanyiannya.
Jelas Ibnor, sikap Puteri yang sentiasa ingin memperbaiki kelemahan diri membuatkan dia yakin anaknya itu akan berjaya suatu hari nanti.
"Saya sering beritahu dia supaya jangan cepat berputus asa dalam melakukan sesuatu dan saya lihat dia selalu cuba memperbaiki diri dan meminta pandangan saya mengenai persembahannya," katanya.
Tambah Ibnor, dia tidak keberatan untuk melepaskan anaknya ke Korea Selatan bagi membolehkan wanita itu mengejar cita-citanya.
Sementara itu, Puteri berkata, dia berasa sangat rendah diri apabila mendapat pujian daripada penyanyi terkenal, Psy yang menyifatkan persembahannya pada peringkat akhir itu sebagai 'cukup indah'.
"Selain Psy, juri lain pada pertandingan akhir itu adalah penyanyi Lee Seung-chul dan Baek Ji-muda. Komen yang mereka berikan cukup membuatkan saya berasa rendah diri," katanya.
Malah kata Puteri, dia tidak menyangka sambutan peminat Korea terhadapnya cukup luar biasa dan berharap dapat menawan industri muzik di negara itu suatu hari nanti.
"Saya tidak pernah mengimpikan untuk menang tetapi hanya ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang di luar kemampuan saya dan saya berjaya melepasi halangan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: