|
“JANGAN buat pada orang apa yang kita tidak mahu orang buat pada kita.” Itu falsafah hidup yang menjadi pegangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim dalam menjalani kehidupan harian.
Menurut Hafsah, setiap apa yang dilakukan, sama ada dalam konteks kerjaya atau rutin seharian, harus mempunyai matlamat dan fokus yang jelas.
“Allah memberi masa 24 jam sehari kepada manusia. Tiada yang mendapat lebih atau kurang. Jadi, ia bergantung kepada sejauh mana kita menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya untuk keluarga mahupun kerjaya,” ungkap anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.
Mengetuai SME Corp yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) sejak 21 Ogos 2009, Hafsah berjaya membuktikan bahawa wanita juga mempunyai kemahiran memimpin yang tinggi.
Persepsi masyarakat
Namun, wanita berusia 56 tahun ini mengakui ketika zaman sekolah beliau langsung tidak terfikir untuk berada pada tahap seperti yang dikecapi hari ini.
“Jujurnya, sewaktu remaja saya memang tidak memikirkan apa-apa mengenai kerjaya yang akan dipilih. Tambahan pula, dahulu persepsi masyarakat diukur terhadap kejayaan anak-anak yang bergelar doktor, arkitek dan sebagainya.
“Saya masih ingat apabila habis belajar dan beraya di kampung, orang akan bertanya kerja di mana. Bila saya jawab kerja kerajaan, mereka terus menganggapnya ia satu kerjaya yang hebat. Itulah persepsi kejayaan bagi orang tua dulu-dulu,” imbau Hafsah mengenai masa lampaunya.
Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer dari Universiti Sains Malaysia (USM), Hafsah bertuah kerana sebaik tamat peperiksaan semester akhir, beliau terus diminta melapor diri di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pegawai sementara pada tahun 1982.
Selepas sesi temu duga, beliau kemudian ditempatkan di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Maka, di situlah bermulanya kariernya dalam sektor perkhidmatan awam.
“Bagi saya, ilmu yang diperoleh di universiti boleh menjadikan kita pegawai yang efektif atau sebaliknya. Alhamdulillah, saya dapat mempraktikkan ilmu tersebut untuk membantu membangunkan industri kelapa sawit sebagai satu perusahaan utama negara.
“Walaupun saya dari latar belakang saintifik dan tidak pernah belajar mengenai bidang ekonomi, tetapi saya mengaitkan diri dalam konteks memberi input yang bernas. Ketika itu, isu yang paling hangat ialah bagaimana untuk menjana diesel daripada kelapa sawit,” katanya.
Beliau menambah, jadi, saya ditugaskan untuk membuat pelan perintis yang bernilai RM10 juta dan beberapa tugas lain.
“Ia merupakan satu pengalaman bermakna untuk saya selaku pegawai baharu dan masih muda ketika itu. Ini kerana saya berpeluang berinteraksi terus dengan menteri bagi menerangkan tentang projek tersebut,” ujar Hafsah yang berbesar hati kerana diberi peluang dalam merangka dasar negara pada ketika itu.
Pembangunan PKS
Ternyata putaran masa yang berlalu begitu pantas memberi pelbagai warna dalam kehidupan Hafsah. Tanpa sedar, sudah 30 tahun ibu kepada tiga cahaya mata itu memberi khidmat yang jitu pada kerajaan.
Selepas berkhidmat dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selama enam tahun, Hafsah ditukarkan ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (enam tahun) dan kemudian, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari tahun 1995 sehingga 1996.
Akhirnya, beliau dipinjamkan ke Smidec pada tahun 1996 sebelum ia bertukar nama kepada SME Corp. pada Ogos 2009.
Hingga kini, sudah hampir 18 tahun Hafsah menabur bakti di SME Corp yang bertanggungjawab membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan agar menjadi lebih kompetitif dalam menangani krisis ekonomi.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi beliau dalam menyumbang terhadap pembangunan industri, Hafsah memberitahu, dalam aspek profesional, ia tidak menjadi satu masalah buatnya.
“Ini kerana, gender bukan satu halangan untuk seseorang itu menunjukkan kemampuannya. Malah, saya bersyukur kerana kerajaan tidak memandang rendah pada kemampuan wanita, sebaliknya melihat pada kualiti kerja yang dipamerkan.
“Cuma, sebagai seorang pegawai muda dan baru berumahtangga serta mempunyai anak-anak yang masih kecil, ia antara cabaran besar buat saya. Tetapi, jika kita tahu menggunakan masa dengan baik, saya percaya seorang wanita mampu memberikan fokus di pejabat dan kepada keluarga apabila di rumah,” tuturnya.
Dalam usaha untuk memastikan agensi yang dipimpinnya sentiasa dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat, beliau sentiasa memberi motivasi kepada pegawai bawahannya agar memainkan peranan untuk menunaikan amanah yang terpikul di bahu.
“Objektif penubuhan kami adalah untuk membantu para usahawan meraih kejayaan sekali gus mendorong kepada peningkatan ekonomi negara.
“Justeru, setiap kakitangan perlu ikhlas dalam memberikan khidmat bakti mereka agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai. Jika sifat ikhlas sentiasa tertanam dalam diri, barulah kita akan memperoleh kepuasan dalam kerjaya dan pada organisasi,” tegas wanita yang gemar membaca ini lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: