|
idea menghasilkan filem seram, komedi, Kami Histeria, diperoleh penulis skripnya, Rafidah Abdullah selepas melakukan penggambaran program 3R (Respek, Relaks, Respon) di sebuah pangsapuri lama berdekatan sebuah hutan beberapa tahun lalu.
"Saya terfikir mahu buat sebuah cerita seram bercampur komedi untuk karya terbaharu selepas mendengar cerita seorang penghuni pangsapuri yang memberitahu rumahnya sering diganggu dengan bunyi-bunyi pelik dan suara mengilai pada waktu malam," ujar Rafidah ketika ditemui pada sidang akhbar filem berkenaan di Cathay Cineplexes Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor.
Mula mencipta watak satu persatu, akhirnya Rafidah mendapat idea menyeluruh untuk menjadikan karyanya itu lebih menarik.
Dia menulis tentang band remaja indie, Histeria yang terdiri daripada Laila (Diana Danielle), Bad (Sara Ali), Peanut (Nad Zainal), Airin (Mila Jirin) dan Jojo (Umie Omar) yang berpindah ke sebuah pangsapuri berdekatan hutan.
Tanpa mereka sedari, ketika merakamkan lagu terbaharu di pangsapuri berkenaan, suara langsuir turut memasuki lagu berkenaan dan membuatkan lagu tersebut diminati ramai selepas dimuat naik di laman YouTube.
Mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan skrip berkenaan kerana kesibukan jadual Rafidah, Pengarah Urusan Red Films, Lina Tan berkata, pihaknya juga telah mengambil masa lebih tiga bulan untuk menyiapkan muzik bagi filem Kami Histeria.
Suara nyanyian Syafinaz
"Kami terpaksa menyiapkan muzik untuk filem ini lebih tiga bulan, malah pelakon-pelakon juga terpaksa menjalani latihan bermain alat muzik," jelasnya.
Selepas filem Songlap, Loque sekali lagi diberi kepercayaan bertindak sebagai pengarah muzik Kami Histeria dan menghasilkan tiga lagu nyanyian Diana Danielle dan Mila berjudul Muzik, Pujaan Hatiku dan Kami Histeria.
|
Sementara itu, suara nyanyian langsuir yang digunakan dalam filem berkenaan merupakan suara penyanyi soprano, Syafinaz Selamat.
Menelan belanja sebanyak RM2 juta, menurut pengarah Kami Histeria, Shamyl Othman, filem terbitan Red Films, Astro Shaw dan Marna Film itu juga menjalani penggambaran sebulan di sekitar Lembah Klang.
Katanya, semua kesan khas dan muzik mengambil masa selama lebih 10 bulan untuk disiapkan.
Kami Histeria juga merupakan filem pertama arahan Shamyl selepas mengarahkan beberapa projek bawah Red Films seperti Blogger Boy, Waktu Rehat dan Oh My English!-Hello America.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su Lin Pillai memberitahu, Kami Histeria merupakan filem pertama hasil usaha sama Marna Films dan Red Films.
"Red Films bertindak sebagai tenaga produksi bagi menghasilkan Kami Histeria. Pihak Astro Shaw amat berbesar hati dengan hasil kerjasama ini dan produk akhir yang ditunjukkan oleh pihak produksi sangat mengagumkan," tuturnya.
Filem Kami Histeria bakal menemui penonton di seluruh pawagam pada 6 Februari depan. Selain lima pelakon tersebut, Kami Histeria turut dibintangi oleh Afdlin Shauki dan Izzue Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: