|
PERTEMUAN secara spontan antara seorang lelaki Cina dan wanita India di sebuah pasar malam tanpa disangka-sangka telah membawa mereka ke gerbang perkahwinan. Ho Kooi Sang yang berusia awal 20-an ketika itu jatuh hati kepada Tamil Selvi Chenathamby yang enam tahun lebih berusia daripadanya.
Menguruskan perniagaan barangan rumah seperti baldi, pisau dan penyapu, Kooi Sang berpeluang bertemu Tamil secara empat mata pada setiap hari Rabu apabila membuka gerai di pasar malam di Kampung Lindungan, Bandar Sunway, Selangor.
Walaupun peringkat awal hubungan mereka ditentang oleh ibu Kooi Sang dan abang Tamil, namun nekad mereka untuk membina sebuah keluarga pada tahun 1991 direstui selepas berkenalan selama dua tahun.
"Masa sedang bercinta, ada orang ternampak saya naik motosikal dengan Kooi Sang dan beritahu abang. Memang saya kena marah sebab keluar dengan lelaki Cina," imbas Tamil anak ketujuh daripada lapan adik-beradik.
Keluarga Tamil mempersetujui perhubungan tersebut tetapi ibu Kooi Sang masih enggan menerima Tamil sebagai menantu, malah tidak menghadiri majlis perkahwinan mereka kerana kecewa.
Bagaimanapun, selepas dikurniakan anak pertama, ibu Kooi Sang terus berlembut hati dan menolak prinsip lamanya.
Berkongsi bumbung selama lebih dua dekad, Kooi Sang dan Tamil tidak lokek bertukar budaya terutama soal pemakanan. Sebagai isteri, Tamil belajar menyediakan juadah masakan Cina tetapi menyifatkan suaminya sebagai seorang yang tidak cerewet.
Pengaruh persekitaran
Menjelang Tahun Baru Cina, mereka sekeluarga akan menyambut hari raya pertama di rumah ibu Kooi Sang di Shah Alam, Selangor. Apabila tiba Deepavali pula, Tamil dan anak-anak akan berkunjung ke kuil untuk bersembahyang memandangkan ia tidak diraikan secara besar-besaran.
Persekitaran Kooi Sang pada waktu kecil adalah antara faktor mengapa dia cenderung bergaul dengan masyarakat India. Membesar di kawasan estet di Glenmarie, Shah Alam kefasihan Kooi Sang bertutur bahasa Tamil juga menjadi kelebihan kepadanya memperisterikan seorang wanita India.
Lima cahaya mata yang dilahirkan Tamil menjadi bukti kepada pemisahan kaum yang kerap dibahas manusia. Kehidupan mereka dibina atas nama cinta malah kehadiran anak-anak berdarah campur dalam hidup mereka juga menjadi anugerah paling berharga.
"Tak susah pun membesarkan anak-anak kacukan ini. Mereka sama seperti orang lain," ringkas penjelasan Kooi Sang yang memberitahu, anak lelaki pertama mereka bagaimanapun meninggal dunia pada umur 10 tahun.
Ho Ling Jun, 20, Ho Mei Kuan, 19, Ho Yip Tien, 16, dan Ho Ye Cheng, 15, merupakan empat cahaya mata pasangan itu yang digelar Chindian (gabungan singkatan Cina dan India) dalam kefahaman rakyat Malaysia. Sama seperti penetapan nama kaum lain, mereka juga perlu mengikut keturunan bapa masing-masing.
Sebagai anak kacukan Cina dan India, keempat-empat anak pasangan itu boleh bertutur dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
"Saya rasa unik menjadi Chindian sebab boleh amalkan dua budaya, perayaan dan makanan.
"Waktu sekolah rendah memang ada budak nakal yang mengusik bila tahu kami ini anak kacukan Cina dan India tetapi bila masuk sekolah menengah, penerimaan itu lebih mudah," kongsi Ling Jun, 20, yang menambah bahawa mereka sering dianggap sebagai orang Melayu.
Bagi tiga anak gadis kepada pasangan Rama Krishnan dan Lee Yuk Keng (Sherly Nair) pula, membesar sebagai Chindian adalah satu proses kehidupan yang kaya dengan budaya dua kaum.
|
Nalina Nair, 25, selaku anak sulung Rama dan Sherly menceritakan pernah berdepan dengan individu yang tidak boleh menerima kehidupannya sebagai seorang Chindian. Individu itu menempelak cara hidup orang yang memilih untuk mempraktikkan dua budaya.
Pernah juga ketika sambutan Hari Malaysia di sekolah, kata Nalina, dia keliru untuk menyertai antara tiga kumpulan sama ada Melayu, Cina atau India. Akhirnya dia duduk makan bersama kumpulan guru.
Mudah bergaul
Namun menurut pelajar Brickfields Asia College, Kuala Lumpur itu, menjadi Chindian sebenarnya sangat beruntung kerana mereka mudah bergaul dengan orang Cina dan India. Didikan yang cukup terhadap budaya kedua-dua kaum membolehkan mereka menguasai komunikasi dan cara hidup secara menyeluruh.
Sementara itu, Divya Nair, 22, anak kedua Rama dan Sherly menambah, selain kelebihan berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Kantonis, lahir sebagai seorang Chindian juga mengajar mereka untuk mengadaptasi budaya dengan pendekatan yang berbeza.
"Fikiran kami lebih terbuka dan lebih mudah mempelajari budaya asing. Tak ada masalah langsung untuk mengamalkan dua budaya. Kadang-kadang ada budaya yang baik kami gabungkan agar ia lebih mudah.
"Sebagai anak kacukan, saya dapat melihat keindahan dua kaum dan mempelajari setiap kekuatannya. Kaum Cina misalnya, saya amalkan disiplin yang tinggi dalam memandu kehidupan.
"Kebudayaan India yang lebih kompleks pula saya dalami menerusi kelas tarian. Saya, Nalina dan Hema (adik) mengikuti Datuk Ramli Ibrahim," terperinci setiap butir kata Divya.
Pengalaman bergelar anak didik Ramli untuk tempoh lebih sedekad banyak mengajar tiga adik-beradik itu tentang asal usul pelbagai tarian India klasik. Peluang mengadakan persembahan tarian itu juga dijadikan cabang pembelajaran bagi mengenali budaya bapanya dengan lebih dekat.
Pembentukan anak-anak kacukan Cina dan India yang seimbang dari segi kefahaman dua kaum seperti Nalina, Divya dan Hema, 13, adalah hasil asuhan sempurna Rama, 59, dan Sherly, 53.
Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga selama 27 tahun itu memastikan jiwa Cina dan India dalam diri anak-anak mereka dapat dibahagikan secara sama rata. Justeru, pemilihan sekolah juga perlu diberi penekanan wajar.
"Ketiga-tiga mereka bersekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina agar dapat menguasai bahasa Mandarin. Namun apabila masuk peringkat menengah, saya daftarkan mereka di sekolah menengah kebangsaan supaya mereka lebih terdedah kepada pelbagai bangsa," ujar Rama ketika ditemui Kosmo! di kediamannya sekeluarga di Setapak, Kuala Lumpur.
Perkahwinan campur yang dialami Rama dan Sherly hakikatnya turut berdepan sedikit masalah daripada keluarga. Namun perlahan-lahan, ia diterima ahli keluarga malah kebanyakan adik-beradik Rama juga kahwin campur.
Rutin perayaan
Merasakan masyarakat kini lebih terbuka terhadap konsep percantuman kaum, Rama tidak menyangkal masih ada individu yang berfikiran tradisional.
Selagi masing-masing boleh bertolak ansur, menghormati kepercayaan dan bersama-sama meraikan perayaan, perkahwinan campur antara kaum Cina dan India sewajarnya diterima masyarakat.
Menyentuh tentang rutin perayaan Tahun Baru Cina, Sherly memberitahu, dalam prinsip kaum Cina, isteri perlu mengikut suami pulang ke rumah keluarga pada hari raya pertama.
"Dalam keluarga saya pula, Rama yang kena ikut ke rumah keluarga saya dan setiap ahli keluarga menerimanya dengan hati terbuka. Dia sangat rapat dengan bapa saya," bahagia terpancar pada wajah Sherly saat berkongsi cerita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: