- Ismail (dua, kiri) bersama Charles (tengah) melihat dokumen tuntutan yang dibuat di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, di sini, semalam.
Pemandu teksi, Ismail Mohd Amin, 57, berkata, rumah teres dua tingkat yang dibelinya di Taman Aman, Larkin, di sini, pada Mei 2010 dengan harga RM286,000 sepatutnya siap dua tahun kemudian, tetapi pemaju gagal menunaikan janjinya.
Menurutnya, pemaju bukan sahaja lewat menyiapkan rumah yang dibelinya, tetapi banyak kemudahan asas termasuk aspek keselamatan dan kebersihan dijanjikan tidak dilaksanakan.
“Saya sebenarnya tak puas hati dengan persekitaran kediaman yang masih tidak terurus apabila sampah tidak dipungut dan banyak anjing liar walaupun sudah hampir setahun saya mendiami rumah itu.
“Sebelum ini saya agak terbeban membayar dengan pihak bank sebanyak RM1,000 sebulan, sedangkan rumah yang dijanjikan tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang jurutera, JS Charles Isaac, 36, berkata, rumah teres dibeli dengan harga RM304,000 di Bukit Indah, dekat sini, pada November 2010 hanya dapat didiami pada Oktober tahun lalu sedangkan perjanjian sepatutnya disiapkan 2012.
Katanya, masih ramai pembeli rumah yang menghadapi masalah sama, tetapi hanya mampu berdiam diri kerana tidak mempunyai maklumat tepat untuk menuntut hak sebagai pengguna.
“Saya harap pembeli rumah yang menerima nasib sama seperti saya tampil membuat tuntutan di tribunal ini kerana saya percaya ramai yang masih tak tahu nak salurkan aduan dan menggunakan hak sebagai pengguna,” katanya.
Sementara itu, Presiden Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Zon Selatan, Jamhirah Ali memerintahkan Cemerlang Land Sendirian Berhad membayar sebanyak RM39,989.59 kepada Ismail dan RM26,985.21 kepada Charles Isaac.
Beliau turut memerintahkan pemaju membayar pampasan kepada Ismail dalam tempoh 30 hari bermula semalam, dan sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan kadar faedah sebanyak lapan peratus.
Manakala bayaran kepada Charles Isaac pula dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali bermula 15 Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: