Thursday, January 30, 2014

Marion, keluarga, kerjaya, kekayaan



MARION Rose Caunter Abdullah, 34, yang baru tiga bulan melahirkan bayi keduanya, Lana Rose SM Nasaruddin masih sama keletahnya seperti dulu.
Bertemu sekali lagi di Hotel Traders Kuala Lumpur sempena penggambaran sebuah rancangan televisyen terkemuka, Marion ternyata mesra apabila diajak bersembang.
Diulit atmosfera santai petang hari Selasa lalu, Marion membuka bicara. Kali ini, topiknya lebih berkisar tentang kehidupan dan kerjayanya.
Biarpun sedikit penat, tutur Marion, tidak pernah terlintas di hatinya mahu mengakhiri pekerjaan yang sedang dilakukan kini.
Ada ketikanya dia lebih senang meluangkan masa di rumah bersama dua orang puterinya, Lana Rose dan Leia Rose, 2. Itu perasaan yang sama dicurahkan kepada dunia pengacaraan televisyen.
"Andai diberikan pilihan antara menjadi ibu atau wanita berkerjaya, saya pilih kedua-duanya. Saya mahu menjadi seorang ibu yang mencintai kerjanya tapi sudah pasti keluarga adalah keutamaan saya.
"Saya pernah beritahu, mahu bersara dan fokus kepada keluarga sahaja tetapi saya masih gembira bekerja buat masa sekarang. Mungkin akan bersara apabila saya sudah tidak suka atau terlampau sibuk," katanya.
Diimbas kembali kerjaya Marion pada awalnya, selain menjadi pengacara rancangan 8TV Quickie sekitar tahun 2006, bakatnya semakin dikenali menerusi program realiti One In A Million pada tahun sama, sebelum dia kemudian mengembangkan sayap bersama Channel [V].
Sehinggalah pada tahun 2010, Marion disunting oleh E! News Asia dan kontraknya dilanjutkan sehingga kini. Tahun 2010 juga mengubah status dirinya apabila memilih untuk berkahwin dengan Pengerusi Kumpulan Naza, SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin.

SUAMI dan anak-anak merupakan keutamaan buat Marion sekarang ini.


Tilam emas
Memuat naik foto di laman sosial Instagram contohnya, telah mengundang konklusi awal peminat Marion. Ada yang menganggap Marion sentiasa dilimpahi kemewahan, mengembara menggunakan jet peribadi dan seumpamanya.
Melihat situasi 'tidur di atas tilam emas' seperti yang disimpulkan pengikutnya di laman sosial tersebut, kata Marion, itu satu bonus.
"Mana ada saya selalu naik jet peribadi, sekali-sekala adalah. Sebenarnya, saya tidak pernah fikirkan mengenai kemewahan atau kekayaan. Paling utama, saya mahu diri saya dan keluarga kekal sihat dan gembira.
"Semua kemewahan itu bonus! Setiap hari bangkit daripada tidur saya berdoa agar anak-anak saya gembira dan sihat.
"Ya, saya akui saya bertuah tetapi saya pun seperti orang lain yang pernah melalui saat kesedihan dalam hidup. Perlu sedar bahawa ada masa kita di atas dan ada masa berada di bawah.
"Alhamdulillah, saya bersyukur tapi ramai yang tidak tahu saya kehilangan orang yang istimewa dalam hidup saya ketika kecil. Saya sendiri membesar tanpa seorang ayah. Yang penting, terima apa sahaja yang hadir dalam kehidupan kita dan bergembiralah," jelas Marion.
Persefahaman, kepercayaan
Kehidupan yang sentiasa diteropong individu sekeliling ditambah pula memiliki suami yang menjadi idaman setiap wanita pasti tidak terlepas daripada berita sensasi dan skandal yang dikaitkan dengan wanita lain.
Ditanya mengenai perihal itu jawab Marion tenang, dia dan suaminya berpegang pada prinsip asas perhubungan iaitu persefahaman dan kepercayaan.
"Saya percayakan dia dan dia percayakan saya, itu sahaja. Sesiapa pun boleh bercakap apa-apa sahaja mengenai kehidupan kami dan mengaitkan suami saya dengan sesiapa tetapi saya kenal suami saya itu.
"Malah, kami sentiasa berbincang mengenai hal ini. Saya sedar orang luar akan sentiasa cuba mengaitkan suami saya dengan wanita lain tetapi pokoknya adalah kepercayaan," jelasnya.
Adakah Marion terkesan dengan tindakan segelintir individu itu? Jawab Marion: "Saya sebenarnya akan mudah melatah apabila saya tahu seseorang itu berbohong pada saya.
"Sebagai figura umum, saya sudah jangka perkara ini akan terjadi dan saya perlu menerimanya serta menjadi kuat."
PERSONALITI yang meraih tuah bersuamikan lelaki kacak, kaya dan baik hatiini ternyata profesional dan seorang yang sangat mesra dengan pihak media.


Leia, Lana
Bercakap mengenai perkara yang sama di ruang perkongsian maya, alam siber dan media sosial, Marion yang sering berdepan dengan kritikan dan komen negatif daripada peminat, cuba menanganinya secara diplomasi.
"Memang ada komen yang benar-benar menyakitkan hati tetapi kalau saya memilih untuk menjadikan Instagram saya secara terbuka dan boleh dilihat umum, saya tidak boleh merungut dan perlu menerimanya.
"Cuma saya kasihankan segelintir pengguna media sosial yang sentiasa mengkritik dengan komen sedemikian walaupun kadang-kadang saya tidak faham pun ayat mereka.
"Saya sudah terbiasa dengan perkara ini sejak daripada sekolah menengah lagi.
"Walaupun bukan selebriti tetapi orang selalu bercakap perkara merepek mengenai saya. Saya tidak kisah pun tapi saya akan rasa terganggu kalau mereka bercakap mengenai anak-anak saya sekarang.
"Ramai orang gila di luar sana tetapi orang akan tahu siapa anak saya kalau mereka betul-betul mahu cari.
"Jadi, bukan hanya saya seorang, sesiapa saja perlu ada rasa berwaspada terhadap diri sendiri dan keluarga," ujarnya yang kini mengurangkan pendedahan foto anak-anaknya di laman sosial miliknya.
Memiliki dua cahaya mata perempuan, kata Marion, tidak timbul kesukaran buat dirinya kerana baik Leia mahupun Lana, masing-masing tidak cerewet.
"Alhamdulillah, Lana sangat baik. Macam Leia juga walaupun baru tiga bulan, dia akan tidur lapan jam ikut jadual. Kalau terjaga pun pukul 2 atau 3 pagi untuk minum susu kemudian dia akan tidur balik.
"Leia sangat sukakan baby Lana. Awal-awal dulu, dia selalu melekat dengan saya dan Lana tapi sejak akhir-akhir ini dia semakin cemburu dan perlukan lebih perhatian."
Sementara itu, tambah Marion, dia masih mahukan seorang lagi cahaya mata untuk melengkapkan angka tiga.
Katanya: "Seorang anak lelaki mungkin akan melengkapi hidup kami sekeluarga."


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: