SEPANJANG tempoh 40 tahun Datuk Ramli Sarip bergelumang dalam dunia seni suara, album Alive yang diterbitkan pada tahun 2000 diakui adalah yang terbaik.
Lanjutan daripada itu, album sama diterbitkan sekali lagi pada tahun 2013 menggunakan judul Ramli Sarip Live 2000 dan sejajar itu juga konsert jelajah Blues Buat Teman telah memulakan langkah pada tanggal 23 Februari lalu.
Blues Buat Teman kata Ramli, 62, adalah satu penghargaan kepada pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya, Selangor.
"Malah, konsert jelajah Blues Buat Teman juga satu dedikasi kepada gitaris Allahyarham Samad Mian, pemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmat dan pemain bass Black Dog Bone, Hamid yang kini berdepan dengan masalah kesihatan.
"Banyak perkara yang ingin saya lakukan untuk membantu mangsa banjir, bekas penagih dadah dan pesakit kanser tapi keluarga artis yang telah saya sebutkan adalah sangat personal bagi saya.
"Saya reda kalau tidak dapat satu sen pun sepanjang konsert ini," katanya yang ditemui selepas showcase pertama di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ramli, sebahagian daripada jualan tiket konsert jelajah itu akan disalurkan kepada keluarga Samad Mian, Yazit dan Hamid menjelang penghujung siri jelajah di Johor Bahru, Johor pada 28 Mac depan.
|
Sepanjang showcase selama hampir dua jam itu, Ramli menghiburkan pengunjung dengan 18 buah lagu antaranya Doa, Kenyataan, Musibah, Keliru, Teratai, Batu, Zakia dan Kamelia.
Katanya pemilihan lagu berbeza-beza mengikut lokasi dan tema persembahan. Akan ada antara lagu yang belum pernah dinyanyikan bersama band sebelum ini akan dipersembahkan nanti.
"Kalau persembahan makan malam biasanya saya akan memperbanyakkan lagu bersifat etnik misalnya Nyanyian Serambi dan Jangan Tunggu Lama-Lama dan kurangkan rock n' roll.
"Tapi untuk showcase kali ini saya perlu memilih yang betul-betul bertepatan dengan lokasi, memandangkan kami bermula di Hard Rock Cafe maka lagu yang dipilih juga lebih banyak daripada genre rock," tambahnya.
Ramli bagaimanapun menyangkal dakwaan konsert jelajah Blues Buat Teman menelan kos besar memandangkan perjalanan acara turut membabitkan lokasi di Sabah dan Sarawak.
"Boleh saya katakan konsert ini bukan berskala besar dan tidak menelan kos tinggi kerana bukan membabitkan tenaga teknikal yang banyak.
"Saya tidak mahu meminta-minta untuk menjayakan konsert jelajah ini tapi mengalu-alukan sumbangan ikhlas untuk meringankan beban kawan-kawan artis yang sedang sakit," kata Ramli.
Konsert jelajah Blues Buat Teman seterusnya akan ke Kuching dan Miri, Sarawak pada 1 dan 2 Mac, kemudiannya ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah pada 4 dan 5 Mac. Lokasi seterusnya di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (15 Mac), Perak (22 Mac), Johor (28 Mac) dan Dewan Utusan Melayu, Kuala Lumpur (4 April). Keterangan lanjut hubungi 013-2633938.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: