• Circle K sasar buka 50 kedai lagiZulkifli (kiri) bersama Ketua Chef Juradamai, Kenneth Chen semasa pelancaran ayam Hakka Salt Baked di Wisma Mofaz, semalam.

CIRCLE K (Malaysia) Sdn Bhd (Circle K), anak syarikat Kumpulan Mofaz Sdn Bhd (Mofaz) menyasarkan 50 cawangan rangkaian kedai serbaneka 24 jam Circle K bakal dibuka menjelang pertengahan tahun ini.

Pengurus Besar Circle K, Wan Mohd Syazwan berkata, buat masa ini Circle K mempunyai enam cawangan yang sudah dibuka dan tiga lagi cawangan akan dibuka pertengahan Februari ini.

"Setiap cawangan memerlukan pelaburan sebanyak RM400,000 sehingga RM600,000 dan buat masa ini kami lebih memberi tumpuan kepada pembukaan cawangan di sekitar Lembah Klang bagi menguatkan lagi kedudukan Circle K.

"Kami juga bakal membuka cawangan Circle K di negeri lain seluruh Malaysia seperti di Kota Bahru, Kelantan dan Langkawi, Kedah dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran hidangan sihat ayam Hakka Salt Baked Chicken di Damansara, semalam.

Produk yang dikeluarkan anak syarikat Mofaz, Juradamai Sdn Bhd itu mula dijual di semua cawangan Circle K awal bulan ini.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Mofaz, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, syarikat itu menyasarkan jualan 10,000 ekor ayam Hakka sehingga hujung 2014, termasuk 2,000 ekor dijangka terjual sempena Perayaan Tahun Baru Cina hujung bulan ini.

"Ayam Hakka ini merupakan produk makanan yang mementingkan kualiti kesihatan di mana ianya tidak dimasak menggunakan minyak sebaliknya melalui kaedah masakan teknologi hijau serta menggunakan ayam kampung dara," katanya.

Ayam Hakka Salt Baked boleh didapati di semua cawangan Circle K sekitar Lembah Klang dengan harga RM36 seekor  atau RM12 bagi hidangan set yang mengandungi nasi wangi, jeruk dan satu per empat ayam Hakka dengan tiga variasi rasa iaitu Original, Turmeric dan Chilli Pepper.

Zulkifli (kiri) bersama Ketua Chef Juradamai, Kenneth Chen semasa pelancaran ayam Hakka Salt Baked di Wisma Mofaz, semalam.