Tuesday, January 28, 2014

Sinar baharu pesakit katarak


PESAKIT menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan mata.


WARGA emas, Jonin Nohe, 65, yang mengalami masalah katarak hampir berputus asa untuk merawat mata kanannya apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk melakukan pembedahan katarak.
Lelaki yang berasal dari Kampung Grogo di daerah Bau, Sarawak itu telah bertemu dua pakar mata di Kuching yang menganggarkan kos rawatan untuk kedua-dua belah matanya mencecah RM2,000. Jumlah itu agak besar bagi warga emas yang berpendapatan kecil sepertinya.
Walaupun masalah katarak tidak mengganggu aktiviti hariannya, namun bapa kepada tujuh anak itu berharap masih ada harapan bagi memulihkan deria penglihatannya yang merosot sejak hampir setahun lalu.
Pelancaran Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) peringkat zon Sarawak pada 1 September tahun lalu membawa harapan baharu kepada Jonin untuk memulihkan penglihatannya.
Jalani saringan
Ketika perkhidmatan klinik bergerak KK1M di Hospital Bau bermula pada 11 November lalu, lelaki Bidayuh itu telah berada di hospital tersebut seawal pukul 7 pagi bagi menjalani saringan dan pemeriksaan percuma.
Hospital Bau mengadakan perkhidmatan itu selepas Hospital Lundu, ia diikuti Hospital Serian, Hospital Sri Aman, Hospital Betong dan Hospital Saratok.
Dalam bilik saringan dan pemeriksaan, Jonin berasa yakin dan selesa dengan peralatan rawatan katarak yang dikendalikan oleh kakitangan terlatih.
Jonin merupakan antara 441 pesakit yang menerima perkhidmatan KK1M di Hospital Bau. Apa yang lebih menggembirakan ialah dia antara individu yang layak menerima rawatan selanjutnya dengan kos pembedahan hanya RM540.
"Seronok saya hari ini, kos pembedahan klinik swasta caj tinggi, KK1M hanya dibayar RM540 (kos kanta), banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan," kata Jonin.

JONIN berasa cukup gembira kerana dia antara pesakit katarak yang layak mendapat rawatan pada caj yang minimum.


Turut menikmati kemudahan itu ialah seorang pesara Limber Nyuai, 74, dari Kampung Sibuluh yang mengalami masalah katarak pada kedua-dua belah matanya.
Pada tahun 2001, mata kiri pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) itu tertusuk serpihan kayu ketika menghalau penyengat yang bersarang di sebatang pokok.
Setahun selepas itu mata kanannya pula cedera selepas seekor ikan lampam Jawa yang sedang ditangkapnya melompat dan menerjah matanya.
"Kalau bayaran di KK1M macam doktor swasta, saya pun tidak mahu, tapi kerajaan dah beri murah macam ini, rugi lah kalau kita tidak gunakan peluang ini sebaik mungkin," kata lelaki warga emas itu sambil berharap penglihatannya yang kabur dapat dipulihkan melalui perkhidmatan KK1M.
Seorang lagi warga emas dari Bau, Ijon Kedi, 71, yang mengalami masalah katarak sejak tahun 1985 dan pernah menjalani pembedahan sebanyak dua kali pada tahun 1986 berharap KK1M dapat menyelesaikan masalahnya.
Beliau pernah menjalani pembedahan katarak sebanyak dua kali pada tahun 1986 di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Namun setahun kemudian, matanya kembali bermasalah.
Ijon menyifatkan alatan moden yang disusun kemas, seakan memberi suntikan semangat kepadanya selepas pengalaman pertama pembedahan katarak kira-kira 27 tahun lalu.
"Sekarang alat dah canggih, perkhidmatan disediakan pula murah, beri semangat tambahan untuk dapatkan rawatan dan harap kembali mempunyai penglihatan yang baik," kata lelaki itu.
Caj minimum
Koordinator program KK1M Zon Sarawak, Dr. Mohamad Aziz Salowi berkata, klinik bergerak itu menawarkan kemudahan pemeriksaan mata dan pembedahan katarak yang lebih menyeluruh kepada penduduk di negeri itu.
"Rakyat menikmati rawatan katarak daripada pakar-pakar mata yang sangat komited dan berpengalaman. Dengan caj rawatan minimum untuk perkhidmatan terbaik, KK1M Zon Sarawak dapat mengurangkan beban pesakit," katanya ketika ditemui.
Katarak merupakan sejenis masalah mata yang diakibatkan oleh selaput yang menutupi kanta sekali gus menyebabkan penglihatan terganggu.
Kebanyakan katarak dikaitkan dengan faktor penuaan. Katarak boleh berlaku sama ada di salah satu atau kedua-dua belah mata.
Katarak juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu konginetal, sekunder atau kecederaan.

SEORANG pesakit menjalani pemeriksaan mata percuma semasa jelajah Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) di Hospital Bau, Sarawak.


Menurut beliau, pegawai sosial perubatan akan menilai semua pesakit yang disenaraikan untuk pembedahan katarak sama ada mereka layak untuk menerima kanta dan kos pembedahan percuma.
"Jika didapati tidak layak, mereka dikehendaki membayar kos minimum antara RM500 hingga RM800 untuk membeli kanta yang sesuai di samping kos minimum pembedahan sebanyak RM103," katanya.
Kos itu jauh lebih murah berbanding kos pembedahan katarak di hospital swasta.
Optometris Hospital Umum Sarawak (HUS), Ku Hazemie Ku Ismail, yang terbabit secara langsung melakukan pemeriksaan mata bagi perkhidmatan KK1M itu berkata, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurut beliau, kebanyakan pesakit yang menerima perkhidmatan KK1M berusia lebih 50 tahun.
Ku Hazemie berpendapat, perkhidmatan KK1M di Sarawak telah mencapai sasaran perkhidmatannya berdasarkan sambutan yang menggalakkan itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pembedahan katarak di seluruh negara pada tahun 2011 berjumlah 31,658 atau meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun 2002 iaitu 12,798.
Bagi negeri Sarawak, jumlah pembedahan katarak sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 3,664 berbanding 2,082 pada tahun 2008.
Projek KK1M Zon Sarawak menelan belanja RM1.1 juta termasuk perkhidmatan klinik bergerak yang beroperasi di semua hospital negeri ini secara bergilir.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: