Wednesday, January 29, 2014

Cerpen popularkan nama Ruhayah



ALUNAN instrumental muzik balada sayup kedengaran di ruang tamu kediamannya. Sesekali iringan bunyi ketukan jari pada papan kekunci komputer memecah kesunyian rumah teres dua tingkat itu.
Alunan tersebut menjadi peneman setia wanita kelahiran Singapura yang berusia 65 tahun itu untuk menyiapkan tugasnya. Beliau kelihatan tekun memandang paparan skrin sambil menyusun perkataan demi perkataan untuk diolah menjadi naskah novel.
Kadangkala beliau tersenyum seolah-olah geli hati dengan apa yang ditulisnya. Ruhayah Mahmod merupakan novelis veteran yang masih aktif sehingga kini, pembaca setianya mengenali beliau dengan nama pena, Puteri Andalas.
Biarpun pada usia emas, Puteri Andalas tidak akan sekali-kali berhenti menulis kerana baginya penulisan menjadi medan luahan rasa dan perantaraan dakwah antara beliau dengan pembaca.
"Pada awalnya saya selalu mewakili sekolah dalam pertandingan pidato dan pernah berkongsi pentas dengan Datuk Dr. Hasan Ali dan Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah di sekolah-sekolah sekitar Klang.
"Selepas tamat persekolahan, minat saya beralih kepada bidang penulisan pula tetapi pada ketika itu saya tidak dapat menghasilkan karya secara serius kerana terikat dengan komitmen sebagai kakitangan bank di Klang dari tahun 1969 hingga 1995," ujar anak sulung daripada 11 beradik itu.
Ayam tambatan
Pesona dan kemesraan yang ada pada Puteri Andalas pasti membuatkan sesiapa sahaja senang dengan sikap keibuan yang dipamerkan. Namun, siapa sangka wanita peramah itu sebenarnya seorang yang gugup berdiri di pentas suatu ketika dahulu.

KAMALLUDIN menjadi penyokong utama perjalanan seni penulisan Puteri Andalas.


Perasaan gugup tersebut berubah setelah bakat beliau digilap oleh gurunya di Sekolah Telok Gadong, Klang sehingga menjadi bualan warga sekolah pada ketika itu. Gelaran ayam tambatan sekolah meninggalkan kenangan paling sukar dilupakan kerana beliau berpeluang mengembangkan bakatnya bagi mengharumkan nama sekolah.
Bakat seninya terserlah sewaktu beliau mengambil bahagian di dalam pementasan Sekolah Convent Klang. Beliau terpilih mewakili sekolah setiap tahun dalam pertandingan syarahan dan debat peringkat sekolah rendah serta menengah sewaktu negara mengadakan Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan.
Antara lain, bidang penulisan membuka ruang kepadanya untuk bergaul dengan ahli sastera dan bahasa di negara ini melalui pertemuan di beberapa majlis yang dianjurkan penggiat seni penulisan.
Suaminya, Kamalludin Husin, 68, berkongsi cerita mengenai peribadi Puteri Andalas. Menurut Kamalludin, isterinya gemar mengutamakan kerja dalam apa sahaja perkara yang dilakukannya. Kadangkala, kesibukan tersebut membuatkan Kamalludin terpaksa mencuri masa Puteri Andalas untuk merehatkan diri dengan keluar melancong.
Kamalludin akan memastikan mereka sekeluarga meluangkan masa dengan bercuti bersama bagi merapatkan hubungan kekeluargaan. Pada masa sama, Puteri Andalas kerap menjadikan lokasi percutian tersebut sebagai latar tempat dalam beberapa karyanya.
Mencipta nama
"Saya berkenalan dengannya secara kebetulan. Ketika itu, arwah bapa saya yang baru pencen membina rumah di sebelah rumah dia (Puteri Andalas) dan kemudian kami berkenalan.
"Ketika mula-mula berumah tangga dahulu, isteri saya tidak menunjukkan bakatnya dalam penulisan. Saya cuma tahu dia pernah menjadi johan pidato semasa bersekolah," ujar Kamalludin yang pernah berkhidmat sebagai guru.

KERJAYA sebagai penulis membolehkan Puteri Andalas bertemu dengan sasterawan tersohor, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin.


Puteri Andalas mula mencipta nama melalui karya-karya cerpennya yang mula ditulis sekitar tahun 1997. Pada masa itu umurnya menginjak 46 tahun setahun selepas persaraannya dari bank swasta. Beliau mengambil skim persaraan awal yang ditawarkan pihak syarikat. Karya Rebah merupakan percubaan pertama beliau dan terus diterima oleh akhbar Utusan Malaysia. Penerimaan akhbar tersebut membakar semangat Puteri Andalas untuk terus berkarya kerana tidak menyangka bakatnya mendapat perhatian syarikat penerbitan utama di negara ini.
Rebah menceritakan tentang dilema percintaan songsang yang dialami di tempat kerja. Beliau cuba menyampaikan mesej agar pembacanya tidak mudah terperangkap dengan godaan cinta songsang yang boleh meruntuhkan nilai moral dalam masyarakat.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu pernah berputus asa untuk menulis novel kerana terikat dengan pelbagai komitmen. Namun, sokongan moral daripada suami dan anak-anak membuatkan wanita tersebut meneruskan wadah perjuangan menyampaikan dakwah dengan caranya tersendiri.
Pada peringkat awal, setiap karya cerpen yang dihasilkan mendapat maklum balas yang baik daripada pembaca. Namun, selepas Puteri Andalas mula bergiat aktif dengan mengorak langkah dalam bidang penulisan novel dan selepas gambarnya dipaparkan, sejak itu kebanyakan pembaca berasa terkejut.
"Mereka tidak percaya kerana Puteri Andalas bukanlah penulis muda seperti yang disangka," kata Puteri Andalas bahawa popularitinya semakin memuncak selepas hadir menjayakan beberapa program televisyen mengenai resipi kebahagiaan rumah tangga.
Sebagai suri rumah, Puteri Andalas mempunyai kelebihan untuk menyiapkan karyanya. Kebiasaannya, beliau menulis selepas solat Subuh, usai makan tengah hari dan sebelum tidur. "Pada saya ilham datang pada bila-bila masa," katanya yang mengagumi penulis Sharifah Abu Salem.
Menurut Puteri Andalas, Sharifah merupakan orang pertama yang bertanggungjawab membawanya berjumpa penerbit buku untuk menunjukkan bakatnya. Selain itu, beliau juga cukup mengagumi isteri kepada Pro-Cancelor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid iaitu Toh Puan Sri Sagiyah Salikin selaku bekas pendidik dan pendorong utamanya dalam bidang penulisan.

KENANGAN memberikan ucapan ketika menghadiri majlis kenalan di Palembang, Indonesia.


Novel pertama
Novel pertamanya bertajuk Jalinan Kasih mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dan dihasilkan pada tahun 2001. Ia diangkat menjadi novel bersiri selama dua tahun berturut-turut dalam majalah Sri Dewi Keluarga terbitan Karangkraf.
Setakat ini, sebanyak 10 buah karya Puteri Andalas yang terdiri daripada novel dan kompilasi antalogi cerpen bersama penulis lain diterbitkan. Dalam perkembangan terkini, Puteri Andalas telah menghasilkan novel terbaharunya yang berlatar belakangkan lokasi Blue Mountains di New South Wales, Australia. Beliau turut menyiapkan kompilasi cerpen yang sudah terkumpul lebih sedekad.
"Kompilasi cerpen sudah diserahkan kepada penerbit dan masih menunggu keputusan sama ada ia diterima atau tidak oleh dua penerbit besar tanah air.
"Saya juga dalam proses melakukan percubaan sulung dalam penulisan biografi tokoh kenamaan. Saya berharap kemunculan biografi ini berjalan lancar kerana saya perlu melakukan penyelidikan menyeluruh bagi menyiapkannya," ujarnya yang mahu merahsiakan sementara gerangan tokoh yang dimaksudkan.
Puteri Andalas mengakui bahawa hobi membaca pelbagai genre bahan bacaan sangat membantu beliau dalam menyusun plot penceritaan novelnya. Selain itu, karyanya juga berpandukan kepada tiga elemen asas iaitu pengetahuan am, pergaulan rapat dengan rakan dan keluarga serta melalui filem-filem yang ditontonnya.
Selain membaca, Puteri Andalas gemar melancong ke kawasan beriklim sejuk seperti Cameron Highlands. Beliau selesa berkunjung ke kawasan tersebut kerana pada kebiasaannya lebih bersih, tidak berdebu dan mendamaikan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: