Monday, January 20, 2014

Memenuhi segenap kehendak wanita


PELBAGAI kasut
yang siap turut
disediakan kepada
pelanggan.


SEPASANG sepatu yang cantik dan menepati cita rasa fesyen serta selesa dipakai sememangnya menjadi impian setiap wanita. Lebih-lebih lagi, dalam kalangan penggemar fesyen yang bukan sekadar inginkan sepasang sepatu, malah cuba memadankannya dengan setiap pakaian yang dimiliki.
Ini sekali gus menambah dan mempelbagaikan koleksi kasut, menjadikan ia sebagai aksesori wajib bukan sekadar satu mahupun dua pasang, sebaliknya beberapa pasang dalam warna dan rekaan yang berbeza.
Wanita bertubuh kecil, Norazira Pudzir, 31, dari Kuala Lumpur, juga tidak ketinggalan mendapatkan kasut yang disukainya. Sedia membelanjakan wang lebih supaya tapak kakinya sentiasa terjaga tanpa mengabaikan fesyen terkini, Norazira yang lebih dikenali Zira masih terasa ada kekurangan setiap kali ingin membeli kasut baharu.
Sambil menayangkan kakinya, Zira mencebik bibir dan berkata, “Setiap kali saya menyukai suatu rekaan, saya tentu tidak dapat memilikinya. Ini kerana, saya sukar mendapat saiz kasut yang sesuai dengan kaki saya. Ini memaksa saya membeli apa yang ada di rak dan kebanyakannya yang ditawarkan bukanlah saiz yang diperlukan,” ujarnya yang memakai kasut bersaiz dua atau tiga.
Masalah saiz
Selama ini, Zira hanya memilih kasut yang terbuka di bahagian belakang kerana saiz kasut paling kecil yang sering ditemuinya hanya bersaiz tiga atau empat.
Menurutnya, dia akan menghadapi masalah kasut longgar yang ketara apabila berjalan jika kasut tertutup dipilih.
Ini terus menyebabkan dia tidak berpeluang membeli kasut yang diminatinya.
Bahkan, semua kasut yang dibeli selama ini juga lebih besar daripada saiz kaki beliau. Ini menyebabkan Zira seakan-akan putus harapan untuk memperoleh kasut yang selesa dan disukainya.
Namun, baru-baru ini, wanita tersebut dapat menarik nafas lega apabila dia mendapat tahu tentang kewujudan sebuah butik yang menawarkan kasut bersaiz kecil dan boleh ditempah mengikut rekaan yang diminati.
“Saya sangat teruja apabila mengetahui tentang butik Natasha Handmade melalui satu laporan akhbar tempatan. Tanpa melengahkan masa, saya telah membuat panggilan dan mengatur temujanji untuk ke butik ini pada minggu berikutnya.
“Bukan sahaja saya kini lega kerana memiliki sepasang kasut yang bersesuaian dengan saiz kaki tetapi saya juga boleh menyarungkan kasut dengan rekaan terkini dan yang tertutup di bahagian belakang tanpa rasa gentar sama ada ia akan kelihatan longgar apabila berjalan,” katanya.
Selesa

NATASHA HANDMADE memberi penekanan terhadap penghasilan kasut selesa yang menepati cita rasa fesyen pelanggan.


Natasha Handmade merupakan sebuah butik kasut yang menawarkan perkhidmatan tempahan kasut mengikut saiz kaki, warna pilihan dan rekaan pelanggan.
“Walau bagaimanapun, Natasha Handmade bukan sekadar itu sahaja. Ramai berpendapat kasut tempahan hanya untuk individu yang mempunyai masalah kaki, namun demikian mereka mungkin tidak sedar mengapa sesetengah pihak lebih menggemari kasut yang ditempah,” terang pemilik Natasha Handmade, Sherlina Doraimani, 50-an, ketika ditemui di Plaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Katanya, wanita yang memiliki saiz kaki yang kecil seperti saiz dua dan tiga mahupun yang besar seperti saiz 12 hingga 14 sering menghadapi masalah untuk mendapatkan kasut yang sesuai dari kedai-kedai biasa.
“Oleh itu, apabila Natasha Handmade menyediakan khidmat tempahan kasut, ia membuka lembaran baharu kepada mereka mendapatkan sepasang sepatu yang selesa dan disukai.
“Pelanggan dengan saiz kaki yang unik sememangnya sebahagian besar daripada pelanggan kami,” ujarnya.
Bagi Zira misalnya, kunjungan sulung beliau ke butik berkenaan terus menarik perhatiannya. Tanpa rasa ragu-ragu wanita tersebut terus membeli tiga pasang kasut yang sedia dijual di situ. Tidak cukup dengan itu, dia turut menempah sepasang kasut lagi.
“Saya amat gembira. Kebetulan saya bakal melangsungkan majlis perkahwinan tidak lama lagi, jadi saya fikir ia tepat pada masanya untuk membuat sepasang kasut istimewa,” jelasnya.
Selain saiz yang menjadi tuntutan utama, Sherlina akui terdapat banyak sebab pelanggan memilih kasut ditempah khas.
“Misalnya untuk mengatasi masalah bunion pada bahagian sisi kaki yang merupakan satu keadaan biasa yang dialami dalam kalangan pengguna kasut bertumit tinggi,” jelasnya.
Mengelakkan rasa sakit
Sherlina berkata, mereka dengan masalah bunion lazimnya bersikap memaksa dengan memakai kasut biasa dan sedia menghadapi rasa sakit. Tetapi, apabila kasut ditempah, ukuran kaki diambil dan kasut dijahit mengikut struktur bentuk kaki, sekali gus membantu pengguna mengelakkan rasa sakit yang dialami.
“Ada juga yang mempunyai kaki kanan atau kiri yang lebih besar daripada yang satu lagi. Tidak ketinggalan, ada pelanggan yang ke sini tanpa masalah besar tetapi hanya inginkan kasut yang sesuai untuk kaki masing-masing atau mereka yang peka terhadap kesihatan tapak kaki,” ujarnya.
Daripada rekaan, warna dan padanan material, kasut-kasut yang ditempah di Natasha Handmade dihasilkan dengan teliti agar mengikut keselesaan pengguna.
Menurut pengusaha ini, penghasilan kasut dilakukan selepas sesi perbincangan rapi dengan pelanggan.
“Kami akan saling memberi dan menerima pendapat pelanggan. Ada di antara mereka yang lebih gemar menerima nasihat saya dan ramai juga yang sudah mempunyai buah fikiran sendiri.
“Ini sekali gus membuktikan kepekaan pelanggan terhadap fesyen,” katanya.
Kasut-kasut tempahan khas Natasha Handmade ditawarkan pada harga serendah RM100 sehingga RM2,000 sepasang, bergantung kepada rekaan dan keperluan pelanggan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: