- Mohd Yusof menunjukkan kedudukan tiang elektrik di Taman Seroja 2, Batu 4 Binjai Dalam yang menyulitkan penduduk untuk keluar masuk ke taman berkenaan.
Penduduk, Mohd Yusof Yasar berkata, keadaan tiang elektrik itu yang berada di tengah jalan membuatkan laluan dua lorong tersebut tersekat dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan anaknya pernah kemalangan di kawasan tersebut bulan lalu selepas cuba mengelak dari melanggar tiang elektrik berkenaan.
“Tiang elektrik ini memang pada asalnya berada di sini tapi, apabila projek perumahan dibangunkan di kawasan ini, kawasan tiang elektrik diubah menjadi jalan masuk ke taman ini.
“Walaupun rumah di taman ini siap sudah hampir setahun dan tiang elektrik baru dipasang, namun terdapat sebatang tiang elektrik masih belum dialihkan dan menyukarkan penduduk taman untuk keluar masuk ke taman ini,” katanya.
Kata Mohd Yusof, selain itu, pengadang jalan di laluan tersebut yang rendah dan tidak dicat turut mengundang bahaya kepada pemandu.
“Jadi saya mewakili kira-kira 300 penduduk di taman perumahan ini memohon agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk memindahkan tiang elektrik ini demi kemudahan dan keselesaan kami.
“Kami juga mohon agar pengadang jalan dapat ditinggikan dan dicat dengan sempurna bagi memudahkan penduduk melihatnya terutama pada waktu malam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: