Friday, January 17, 2014

Akikah Anak Tangguh Sehingga Diana Danielle Tamat Mengaji


Farid Kamil
PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil terpaksa menunda majlis akikah anak sulungnya, Muhammad yang sepatutnya pada tahun lalu bagi membolehkan isterinya Diana Daniella tamat belajar mengaji.
Farid, 33, berkata, buat masa ini, dia belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis akikah dan juga khatam Al-Quran isterinya itu.
"Majlis itu tetap diteruskan cuma bergantung pada bila Diana habis belajar mengaji memandangkan majlis akikah akan diadakan bersama majlis khatam Al-Quran isteri saya.
"Sekarang ini, Diana masih belajar mengaji dengan seorang ustazah dan dia perlukan masa untuk belajar dan memahaminya dengan baik," ujarnya kepada mStar Online.
Farid ditemui ketika menemani isterinya pada majlis pratonton filem Kami Histeria yang berlangsung di e@curve, di sini, malam Rabu.
Diana memegang watak Laila dalam filem komedi seram yang bakal ditayangkan pada 6 Februari depan.
Sementara itu, Diana Danielle berkata, dia tidak mahu tergesa-gesa mempelajari Al-Quran kerana mahu benar-benar memahami dan menghayati maksud ayat yang dibacanya.
Dia juga mempelajari kitab suci itu bukan hanya untuk majlis tersebut sebaliknya untuk dijadikan amalan seharian.
"Saya tidak mahu habiskan baca Al-Quran sekali sahaja hanya untuk majlis tersebut tanpa memahaminya dan lepas tu dah tak buat.
Comel... inilah wajah terkini Muhammad.
"Lagi pula Farid menasihatkan agar tidak perlu kelam kabut dan biarlah saya peruntukkan masa dengan baik untuk belajar. Jadi, saya pun ikut kata dia," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang akaun Instagram anaknya yang baru dibuka kerana ia boleh menjejaskan nilai eksklusif yang selama ini dipertikaikan, Farid berkata ia hanya untuk berkongsi detik pembesaran Muhammad.
"Anak saya tetap eksklusif. Apa yang patut dikongsi, kami kongsikan. Lagipun akaun tersebut bukan dibuat oleh saya, sebaliknya pihak pengurusan isteri saya,” katanya.
Muhammad kini berusia enam bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: