Monday, January 27, 2014

Bekukan getah, tak cacatkan wajah



ASID mempunyai sifat masam dan menghakis. Perkataan asid itu sendiri berasal daripada perkataan Latin, Acidus yang bererti masam.
Asid mampu melarutkan banyak benda seperti logam, kapur, besi, magnesium dan zink selain berupaya menukarkan warna sesetengah tumbuhan.
Sifatnya yang menghakis boleh mendatangkan kecederaan seperti melecur dan buta jika terkena pada mata.
Sebatian kimia itu turut digunakan secara meluas oleh penoreh getah yang memerlukan asid formik atau bahasa pasarnya, cuka getah untuk membekukan hasil getah cair yang dikumpul sebelum dihantar ke kilang.
Tetapi, apabila cuka getah disalahgunakan oleh orang tertentu untuk tujuan membalas dendam atau melepaskan rasa marah, maka kesannya amat tragis sehingga menyebabkan kulit melecur, mematikan tisu, kulit tertanggal dan meninggalkan parut yang dahsyat.
Atas sebab itulah, sebuah syarikat Bumiputera, Hiska Sinergi Sdn. Bhd. memperkenalkan cuka getah Hiska bagi menggantikan cuka getah sedia ada yang ternyata berbahaya kepada pengguna apatah lagi kalau disalagunakan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hisham Kassim, 43, idea untuk menghasilkan produk berkenaan diperoleh pada tahun 2007 selepas beliau berpendapat inovasi baharu perlu dilakukan bagi menggantikan cuka getah sedia ada.
"Seperti yang diketahui, cuka getah sangat mudah diperoleh dan ia turut menjadi senjata dalam kes-kes simbah asid. Disebabkan itu, kami mencipta produk cuka getah yang tidak berbahaya dan selamat digunakan.
SEORANG pekerja mengisi cuka getah Hiska yang sudah siap diproses ke dalam botol 5 liter dan 20 liter.


"Produk ini adalah hasil garapan idea saya bersama dua pengarah teknikal, Abdullah Ahmad, 60, dan Abd. Rafik Yusof, 56.
"Kami menjalankan penyelidikan menggunakan bahan asid formik sebagai asas penghasilan cuka getah selama lebih dua tahun dan hampir 100 kali percubaan bagi membekukan susu getah dalam masa yang singkat," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Mentakab, Pahang.
Musim tengkujuh
Jelasnya, pada permulaan penyelidikan, tempoh pembekuan susu getah dicatatkan selama setengah jam dan dari situ, proses penambahbaikan dilakukan.
"Setiap sampel penyelidikan dihantar kepada Lembaga Getah Malaysia sehinggalah kami berjaya membekukan susu getah dalam masa tiga minit.
"Proses pembekuan susu getah memakan masa yang lama iaitu antara enam jam hingga sehari sekiranya menggunakan cuka getah sedia ada.
"Tetapi, dengan Hiska ia dapat menjimatkan masa malah membantu pengusaha ladang memperoleh hasil lebih lumayan," tambahnya yang sudah menjalankan perniagaan selama lima tahun.
Beritahu beliau, cuka getah Hiska juga tidak berbau selain tidak merosakkan kulit dan akar pokok getah.
Katanya, produk itu juga membantu menjadikan kandungan getah lebih berat antara 8 hingga 25 peratus sementara penoreh tidak perlu bimbang dengan kedatangan musim tengkujuh.
"Hujan lebat mengakibatkan susu getah melimpah dari bekasnya dan ini amat merugikan kerana susu getah terbuang begitu sahaja, malah kegagalan penoreh memungut hasil mengakibatkan komoditi bernilai itu menjadi mangsa kecurian.

SUSU getah menjadi padat dan kenyal serta tidak berbau busuk.


"Jika tidak hujan sekali pun, susu getah tidak dapat dipungut dalam jangka masa singkat kerana perlu menunggu jumlahnya separuh atau penuh.
"Dalam jumlah itu barulah cuka dapat diletakkan sebelum hasil getah dapat dipungut dalam tempoh 24 jam," katanya sambil memberitahu, produk keluaran syarikatnya itu memenangi tempat kedua Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi pada Ekspo Teknologi Malaysia 2010.
Menurutnya, getah beku yang dihasilkan itu masih tidak padat sepenuhnya selain mengeluarkan air apabila ditekan.
"Cara penggunaannya juga amat mudah, penoreh hanya perlu meletakkan cuka getah Hiska sebanyak kira-kira 25 mililiter ke dalam bekas susu getah bersaiz 1 kilogram sebelum menoreh.
"Penoreh juga boleh menoreh terlebih dulu dan kemudiannya meletakkan cuka getah Hiska tetapi mereka perlu mengacaunya supaya campuran tersebut menjadi sekata.
Padat
"Susu akan membeku sebaik sahaja menitis ke dalam bekas itu dan penoreh dapat memungutnya dengan kadar segera sekali gus mengelakkan risiko getah beku dicuri," jelasnnya.
Tambahnya, terdapat beberapa punca sekiranya susu getah tidak membeku, antaranya disebabkan usia pokok getah tersebut.
"Pokok getah yang berusia 26 tahun ke atas melambatkan proses membeku selain penggunaan penggalak susu," beritahu beliau.
Mohd. Hisham berkata, dengan terhasilnya produk itu, diharapkan tiada lagi berita mengenai mangsa simbahan asid menggunakan cuka getah manakala kerja menoreh dapat dilakukan sepanjang masa walaupun pada musim hujan.
"Cuka getah Hiska didatangkan dalam bentuk 5 dan 20 liter serta masing-masing dijual pada harga RM30 dan RM180.
"Bagi kandungan 5 liter, ia boleh digunakan pada 200 batang pokok getah manakala 1,600 batang pokok bagi kandungan 20 liter.
MENURUT Mohd. Hisham, sebanyak 50,000 botol cuka getah Hiska dihasilkan syarikatnya dalam sebulan.


"Malah, produk ini juga boleh mencapai jangka hayat selama 15 tahun atau lebih.
"Ia turut digunakan di tanah rancangan milik kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra)," ujarnya yang memberitahu, pihaknya menghasilkan 50,000 botol Hiska dalam sebulan.
Katanya, berdasarkan maklum balas, penggunaan cuka getah Hiska turut mengurangkan jumlah populasi nyamuk dan serangga perosak di kawasan ladang.
Sementara itu, Pengurus Kawasan Felcra Bukit Sireh, Kuala Krai, Kelantan, Rudaini Ramli, 44, berkata, beliau mula menggunakan produk itu hampir dua tahun iaitu semasa bertugas di Felcra Kawasan Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan.
"Sebelum ini, kami menggunakan cuka getah biasa yang memerlukan masa selama dua hingga tiga jam untuk susu getah membeku. Tetapi dengan Hiska, tempoh pembekuannya lebih singkat walaupun pada musim hujan.
"Malah, saya dapati susu getah yang dicampurkan dengan cuka getah Hiska menjadi lebih padat dan tiada rongga-rongga udara kelihatan," katanya.
Jelasnya, hampir 8 peratus pertambahan berat dicatatkan berbanding penggunaan cuka getah biasa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: