Thursday, January 30, 2014

Anuar Zain tolak lima tawaran


PERSEMBAHAN Minggu Setiausaha pertama anjuran syarikat milik Anuar Zain menawarkan harga tiket mencecah sehingga RM1,380 seorang.


JARANG sekali bersua dengan penyanyi hebat Anuar Zain. Penantian selama sejam untuk menemu bual penyanyi itu tidak mengundang lelah barang sedikit pun bagi pihak media.
Pelantun lagu Lelaki Ini itu cukup eksklusif untuk dilihat di mana-mana majlis hiburan kecuali pada persembahan berskala besar sahaja.
Disebabkan itulah, berapa nilai yang diletakkan untuk melihat dan mendengar lunak suaranya juga tidak menjadi masalah buat peminat setia penyanyi berusia 44 tahun itu.
Sedar hakikat tersebut, buat pertama kalinya syarikat Anuar iaitu Anuar Zain Network bakal menganjurkan persembahan eksklusif sempena Minggu Setiausaha dan tiket yang dikenakan mencecah sehingga RM1,380.
Bagaimanapun kata Anuar, harga tersebut berpatutan kerana peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persembahannya tetapi juga disajikan dengan makanan, hadiah dan juga pas di belakang pentas.
“Penyanyi juga kena beri extra kepada peminat. Bukan sekadar menyanyi tetapi memberi jiwa dan raga ketika membuat persembahan dengan setulus hati. Seterusnya memberi mereka kenangan terindah,” luahnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha anjurannya di Restoran Bijan, Kuala Lumpur.
Nama tercalar
Melalui pengalaman mengadakan konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 16 Februari 2013, Anuar mencabar diri untuk mengadakan persembahan Minggu Setiausaha sendiri.
Anuar juga mengakui lebih selesa bekerja sendiri daripada bekerja di bawah orang.
“Saya sudah terfikir lama untuk buat sendiri persembahan Minggu Setiausaha. Cuma sebelum ini belum rasa mampu untuk melaksanakannya kerana kurang pengalaman. Namun, selepas mengadakan konsert tahun lalu saya rasa berkeyakinan untuk melakukannya.
“Saya rasa lebih selesa buat sendiri sebab bila bekerja dengan orang lain, tidak ada kawalan. Saya akui pernah berdepan dengan pengalaman nama tercalar tetapi saya ambil iktibar,” ulasnya yang berasa tidak sesuai berkongsi mengenai perkara yang berlaku.
ANUAR bakal bertindak sebagai penerbit bersama untuk album terbaharu kakaknya, Ziana Zain.


Bagaimanapun akui Anuar, pengalaman pahit itu tidak bermakna dia akan menolak undangan melakukan persembahan untuk syarikat lain. Cuma, dia akan lebih berhati-hati dan lebih teliti.
Tidak memikirkan tentang duit, jelas Anuar, dia banyak menerima undangan menyanyi dan untuk tahun ini sahaja dia menerima lima undangan.
Namun, Anuar terpaksa menolaknya kerana ingin memberi persembahan teristimewa buat peminatnya menerusi Minggu Setiausaha anjuran syarikatnya.
Disoal mengenai harga tiket mahal yang dikenakan tidak bersesuaian bagi golongan sederhana, kata Anuar, peminat tahu mengenai persembahan Minggu Setiausahanya dan sudah bersedia daripada awal.
“Setiap tahun saya akan buat persembahan Minggu Setiausaha. Peminat akan simpan duit daripada awal. Macam saya juga, kalau teringin menyaksikan persembahan artis yang diminati, saya akan menyimpan duit,” ujarnya.
Mengangkat tema Terindah...Anuar Zain, persembahan Minggu Setiausaha itu akan diadakan pada 8 April depan bermula pukul 12 tengah hari di Hotel One World, Petaling Jaya.
Selain RM1,380, harga lain yang ditawarkan bagi menyaksikan acara itu ialah RM480, RM680 dan RM980.
Pada persembahan selama 45 minit itu nanti, Anuar akan menyanyikan sebanyak lapan buah lagu termasuk lagu Terindah sambil diiringi sembilan pemuzik.
“Selain lagu Terindah dan beberapa lagu popular, kita juga akan buat undian menerusi laman sosial Facebook untuk menentukan lagu mana yang mereka ingin saya nyanyikan,” katanya.
Tiket-tiket mula dijual pada 7 Februari depan menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network di talian 019-3177476 atau 012-4642030.
Untuk maklumat lanjut, layari www.facebook.com/anuarzainnetwork.
Sementara itu, Anuar mengakui tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan persembahan di luar negara.
“Orang kata ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ tetapi bagi saya peribahasa itu tidak relevan bagi industri muzik.
“Hanya yang bernasib baik sahaja yang dapat ke luar negara dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang mengharumkan nama Malaysia,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: