Thursday, January 30, 2014

Hafiz Hamidun tak bosan cari jodoh

HAFIZ HAMIDUN bersikap terbuka tetapi berhati-hati apabila berbicara dengan media tentang hal peribadinya.


BUKAN sekali, namun sudah beberapa kali penyanyi, Hafiz Hamidun bercerita tentang wanita dan jodoh dirinya. Cerita yang terbaharu, Hafiz dikaitkan dengan penyanyi cantik, Heliza Helmi.
Namun, walaupun sudah dinafikan oleh Heliza sendiri, bicara Hafiz, dia tidak pernah kecewa dengan perkara yang terjadi kepadanya.
Baginya, jodoh merupakan sesuatu yang dirinya tidak boleh berputus asa dan berusaha hingga menemui wanita yang terbaik buat dirinya.
Sehubungan itu, Hafiz kini muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul, Jodoh Berdua yang merupakan hasil pengalaman dirinya sendiri.
Selain itu juga, ada berita gembira buat peminat Hafiz kerana dia bakal mengadakan konsert yang ketiga di Pulau Pinang.
Ikuti temu bual bersama Hafiz Hamidun yang ditemui pada sidang akhbar majlis pelancaran album dan pengumuman konsertnya di Talent Lounge, Damansara Perdana, Petaling Jaya baru-baru ini.
Kosmo!: Berbicara tentang jodoh, apakah yang membuatkan Hafiz sukar untuk bertemu jodoh dengan wanita pilihan?
HAFIZ: Bukan susah, namun saya sudah banyak bertemu jodoh. Cuma, ada sahaja halangan seperti wanita tersebut sudah ada teman lain, sudah berkahwin atau cinta bertepuk sebelah tangan. Kini, saya mahu cari yang memang mencintai, menerima dan memahami diri saya seadanya.
Adakah keluarga sudah menggesa Hafiz untuk berkahwin? Mungkinkah mereka telah mencari calon untuk anda?
Memang ada tetapi saya beritahu mereka yang saya tidak mahu dijodohkan begitu. Saya ingin cari sendiri jodoh diri saya. Tidak dinafikan perkara itu memang ada terjadi. Kerjaya saya berbeza, jadi saya mahu cari yang betul-betul sesuai dengan diri saya.
Apakah yang Hafiz boleh katakan tentang kisah cinta yang telah anda lalui selama ini?
Saya pernah bercinta dan tidak malu untuk bercakap mengenainya. Selama dua tahun perhubungan itu berlangsung. Namun ketika itu, saya berusia 21 tahun. Saya pernah buat keputusan yang salah kerana gadis itu sudah bersedia seratus peratus untuk bersama saya. Namun, ketika itu saya fikir saya masih muda. Saya tolak dan ia membuatkan saya berfikir semula.
Jadi, adakah Hafiz kini sedang mencari cinta?
Saya memang mempunyai beberapa pilihan. Namun, apa yang saya boleh katakan, dalam jodoh ini, perlu persetujuan kedua-dua belah pihak. Saya boleh buat keputusan untuk berkahwin dengan sesiapa sahaja. Namun, saya hanya berhak 50 peratus sahaja dan selebihnya terpulang kepada pihak wanita itu.
Hafiz telah bercerita kisah cinta dengan ramai gadis. Adakah ia hanya satu propaganda untuk mencipta cerita cinta anda?
Ia sebenarnya kebetulan. Jika saya rasa saya jumpa yang tepat, saya akan beritahu dan juga berterus terang dengan wanita tersebut juga. Dari segi mencipta atau tidak, itu sebenarnya yang terjadi.
Jadi, saya terpaksa hadapi kerana kerja mencari jodoh ini tidak boleh bosan.
Kekurangan saya adalah bergaul. Maka, kini saya mula aktif dalam laman sosial kerana mana tahu, mungkin terjumpa jodoh.
Mungkin kerana Hafiz terlalu terbuka menyebabkan ada yang melihat ia sebagai isu yang disengaja dibangkitkan?
Saya cuma menjawab soalan dan berterus terang. Bagi saya, tiada apa yang perlu disembunyikan. Orang bertanya, saya jawab. Cuma seingat saya, tidak pernah saya dedahkan nama orang kerana dikhuatiri impaknya. Saya pastikan ia dalam keadaan yang selamat.
Boleh ceritakan perkembangan terbaharu Hafiz?
Single terbaharu berjudul Jodoh Berdua yang telah pun ditulis liriknya oleh saya dan digubah oleh Azlan Abu Hasan. Saya cabar diri saya untuk menyanyikan lagu yang digubah oleh orang lain dan ia merupakan genre pop.
Tentang konsert Zikir Terapi Hafiz Hamidun pula, ia bakal berlangsung pada 1 Februari ini di Spice Arena, Pulau Pinang.
Konsert ini mendapat tajaan penuh syarikat Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd. (PIHH).
Tiket adalah percuma dan dibuka sebanyak 7,800 tempat duduk sahaja serta boleh diperoleh pada hari konsert diadakan bermula pukul 6 petang di pintu masuk Spice Arena.
Bersama-sama saya kelak pada konsert tersebut ialah Imam Muda Asyraf, PU Rahmat, Heliza Helmi serta persembahan pembukaan oleh Daqmie dan Halim Ahmad.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: