BERSIARAN melalui Astro TVIQ, Oh My English! ialah sebuah drama bersiri yang bertemakan komedi dan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia.
Ia merupakan salah satu usaha pihak Astro dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memperbaiki pertuturan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia, perkara itu juga selaras dengan dasar KPM iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Melalui tayangan pertamanya pada bulan Mei 2012, siri bahasa Inggeris itu berjaya meraih lebih 3.6 juta penonton pada musim pertama.
Memulakan musim keduanya pada 31 Mac 2013, Oh My English! juga menghasilkan siri istimewanya iaitu Oh My Ganu dengan penampilan khas pelakon dan pengacara terkenal, Zizan Razak.
Selepas telefilem daripada siri Oh My English! iaitu Oh My Ganu mendapat sambutan peminat, program pendidikan bahasa Inggeris itu menjelajah pula ke Amerika Syarikat dengan menampilkan sebuah lagi telefilem istimewa berjudul Oh My English! - Hello America.
Menurut Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, telefilem Oh My Ganu meraih sebanyak 1.1 juta tontonan pada hari siaran perdananya dan berada di kedudukan nombor satu trend topik di laman Twitter di Malaysia.
"Disebabkan itu, kami bercadang pula untuk menghasilkan siri istimewa lain Oh My English!. Selepas Terengganu, kami memilih ke Amerika Syarikat pula.
"Oh My English! - Hello America mengisahkan pengalaman para pelajar Sekolah Menengah Ayer Dalam yang berjaya memenangi pertandingan filem pendek dan berpeluang pergi ke Amerika Syarikat.
"Pengembaraan bersama guru-guru sekolah itu membawa mereka ke beberapa lokasi menarik di kota New York serta lawatan ke sebuah sekolah menengah di sana," ujarnya mengenai siri istimewa itu ketika ditemui pada majlis pelancaran telefilem tersebut di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Berkongsi pengalaman selama seminggu berada di Amerika Sayrikat, salah seorang pelakonnya iaitu Izara Aishah memberitahu, itu merupakan kali kedua dia menjejakkan kaki di sana.
Biarpun berdepan dengan keadaan cuaca yang sejuk dan beberapa masalah ketika penggambaran dijalankan, namun luah Izara, mereka dapat menyelesaikan penggambaran dengan gembira.
"Penggambaran dilakukan pada bulan November lalu. Ketika itu cuaca sangat sejuk. Padahal kami diberitahu cuaca tidak begitu sejuk. Jadi, saya dan rakan-rakan pelakon yang lain hanya membawa baju-baju yang nipis.
"Bila cuaca terlampau sejuk, kami semua rasa cepat marah dan ingin lakukan penggambaran dengan pantas. Tetapi, Alhamdulillah akhirnya semuanya dapat diselesaikan," luahnya yang membawa watak Azlin dalam siri itu.
Membawakan watak sebagai cikgu pendidikan jasmani bernama Malik, ujar aktor Aaron Aziz pula, dia teruja dapat bermain american football bersama pemain profesional Amerika Syarikat dalam siri istimewa itu.
"Dalam Oh My English! - Hello America, saya berpeluang bermain american football bersama pemain profesional di sana. Syukur, saya tidak mengalami sebarang kecederaan kerana badan mereka semua besar berbanding saya," kongsi Aaron lagi.
Selain Aaron dan Izara, Oh My English! - Hello America turut dibintangi oleh Zain Saidin, Tiz Zaqyah dan Harun Salim Bachik.
Oh My English! - Hello America akan bersiaran pada 15 Januari 2014, pukul 9 malam di saluran Astro TVIQ dan saluran definisi tinggi (HD), Astro Maya.
Siri istimewa Oh My English! itu turut memaparkan beberapa lokasi menarik di New York seperti Time Square dan Statue of Liberty.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: