- Mohd Nazri menunjukkan ikan laga jadi rebutan kaki judi yang dijual pada harga serendah RM1 hingga RM25 seekor.
Demikian pendedahan seorang penternak ikan laga, Mohd Nazri Aziz, 30, yang menjadikan perniagaan ikan laga sebagai sumber pendapatan tetap keluarganya sejak lebih kurang lima tahun lalu di Kampung Binjai Bongkok, di sini.
Bagaimanapun, Mohd Nazri berkata, aktiviti perjudian seperti itu tidaklah meluas kerana ia merupakan satu kesalahan dan hanya berlaku di beberapa tempat sekitar Kuala Terengganu membabitkan sebahagian kecil peminat ikan berkenaan.
Menurutnya, ikan berkenaan lebih diminati untuk dijadikan hiasan dalam kalangan peminatnya kerana mempunyai pelbagai spesies, ekor yang cantik dan bercorak serta berwarna-warni, selain amat mudah dijaga.
Difahamkan, ikan laga (betta splendensa) termasuk dalam keluarga anabantidae (labirynth fisher) serta dikatakan berasal dari Sungai Mekong, kawasan perairan Thailand dan Kemboja.
Ikan berkenaan juga mudah dijaga dan kadar pH air yang sesuai adalah sekitar 6.8 hingga 7.4 serta tidak perlu diletakkan gas oksigen seperti mana penjagaan ikan kelisa mahupun ikan emas yang biasanya menjadi hobi golongan berada.
Mohd Nazri yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Multimedia, Universiti Utara Malaysia berkata, dia sanggup melepaskan jawatan dalam bidang teknologi maklumat kerana minat mendalam dalam perniagaan tersebut.
Menurutnya, selepas tamat pengajian pada 2006, dia bekerja dalam bidang teknologi maklumat secara kontrak di negeri lain, namun mengambil keputusan pulang ke kampung halaman untuk memulakan perniagaan tersebut.
“Saya masih ingat kata-kata ahli keluarga, mereka kata lebih baik buat duit dengan benda saya minat. Selepas itu, saya mengambil keputusan memulakan perniagaan ini dengan membeli sepasang ikan laga daripada penternak tempatan.
“Ikan laga jenis half moon yang dibeli dengan harga RM100 itu dijadikan sebagai induk. Kini, saya sudah memiliki lebih 7,000 ikan laga pelbagai jenis termasuk yang biasanya digunakan untuk bertarung,” katanya.
Menurut Mohd Nazri lagi, ternakan ikan laga miliknya dihantar kepada pembeli dalam kuantiti besar ke seluruh negara dengan harga rendah.
Malah katanya, dia juga kerap menyertai ekspo pertanian anjuran Jabatan Pertanian dan agensi lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: