Saturday, January 11, 2014

Nisha bertunang tanpa bapa

SIKAP Edi yang begitu memahami dirinya, antara faktor yang membuatkan Nisha terpikat kepada pemuda ini.


HATI anak mana yang tidak sayu apabila hari pertunangannya dengan bakal suami diraikan sepi tanpa kehadiran ayah tercinta. Begitulah yang dirasai oleh pelakon Nisha Dirr, 30, ketika melangsungkan majlis pertunangan dengan seorang usahawan, Edi Khusyairi Datuk Ab. Kadir, 34, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur minggu lalu.
Tampak ayu mengenakan busana berona biru firus hasil rekaan Mida’R Boutique & Fashion Couture berkata, suasana meriah pada petang itu terasa sedikit hambar tanpa kehadiran ayah yang tercinta.
“Ayah saya tidak dapat hadir pada hari ini kerana terpaksa menjaga nenek yang sedang terlantar sakit. Dia begitu teringin untuk turut serta tetapi saya memberitahu supaya terus menjaga nenek kerana dia lebih memerlukan perhatian ayah saya.
“Lagipun, ayah telah memberikan restu kepada saya dan Edi untuk meneruskan majlis pertunangan ini. Itu sudah memadai,” ujar Nisha yang memilih abang sulung sebelah ibunya, Aziz Atan untuk mewakili ayahnya sepanjang majlis berlangsung.
Petang itu, ibu kepada Edi, Datin Norizan Abdul Manaf menyarung sebentuk cincin emas putih pada jari manis pelakon itu sambil disaksikan oleh ahli keluarga kedua belah pihak.
Nisha atau nama sebenarnya Nik Shahri’ah Nik Dir turut menerima lima dulang hantaran yang dihias indah daripada pihak lelaki termasuklah cincin, kain, telekung dan sejadah, manisan dan kurma serta aneka biskut.
Bertemu di lokasi
Ketika ditanya mengenai saat pertama cinta antara dua hati ini berputik, Edi berkata, dia terpana dengan pesona wajah Nisha sewaktu mula-mula berjumpa dengannya di lokasi penggambaran drama tiga tahun lalu.
“Saya pergi ke Johor Bahru atas sebab kerja. Kebetulan kawan baik saya, Nyon Othman sedang mengarahkan sebuah drama yang dilakonkan oleh Nisha. Pada saat itu, saya telah mula jatuh hati padanya.

IBU Edi menyarungkan cincin pertunangan pada jari Nisha.


“Kemudian, saya beranikan diri untuk mengajaknya keluar makan. Agak sukar pada awalnya kerana dia kerap membawa kawan-kawannya yang lain untuk turut serta. Tapi lama kelamaan, dia mula memberikan respon positif dan kami pun mula menjalinkan hubungan cinta,” ujarnya sambil tersenyum.
Lain pula kisahnya dengan Nisha. Dia mula jatuh cinta pada Edi ketika dia bersetuju mengikut tunangnya itu untuk sama-sama bermain permainan paintball.
“Edi sangat aktif dalam permainan paintball dan sering mengikuti pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di peringkat antarabangsa.
“Sejujurnya, saya mula ingin mengenalinya dengan lebih dekat ketika melihat personaliti Edi yang berbeza sewaktu dia beraksi di padang. Dia yang malu-malu dan lemah lembut kelihatan gagah ketika melangkah masuk untuk memulakan permainan. Sebab itu saya tertarik padanya,” jelas Nisha yang menyifatkan Edi sebagai seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab.
Tempoh setahun
Dalam pada itu, Nisha memberitahu, tempoh pertunangan yang diikat selama setahun antara dia dan Edi digunakan sebaiknya untuk merancang majlis perkahwinan yang dijangka akan dilangsungkan pada hujung tahun ini.
“Kami mengikat tali pertunangan selama setahun kerana banyak perkara yang harus diselesaikan secara berperingkat.
“Namun Alhamdulillah, sudah ada beberapa individu yang mula menelefon dan menawarkan diri untuk membantu merealisasikan majlis itu nanti. Kami sungguh terharu,” ujar Nisha yang hanya membuat perancangan majlis pertunangannya itu dalam tempoh dua minggu.
Masih berlakon
Butir bicara pada petang itu dilanjutkan dengan soalan mengenai karier lakonan pelakon yang pernah popular menerusi drama rantaian kegemaran ramai, Spa Q selepas bergelar tunangan orang.
“Edi merupakan seorang yang memahami dan percaya dengan kerjaya saya. Dia mengenali diri saya juga ketika saya sedang menjalankan tugas sebagai seorang pelakon.
“Justeru, saya anggap ikatan pertunangan ini tidak memberikan apa-apa masalah kepada kerjaya saya mahupun Edi,” katanya yang akan menolak jika diminta untuk melakonkan watak-watak yang memerlukannya beraksi terlalu seksi.
Pelakon yang pernah bergelar model itu turut memberitahu, dia masih lagi aktif dan menerima tawaran berlakon daripada beberapa produser tempatan.
“Buat masa ini, drama bersiri Tok Ompek Simpang Ompek sedang ditayangkan di Astro Prima setiap hari Selasa pukul 9.30 malam. Terbaharu, saya akan memulakan penggambaran drama 13 episod untuk siaran RTM,” ujarnya lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: