"TIDAK serik tapi takut," itu luahan hati penerbit wanita, Datuk Normashayu Puteh yang terpaksa akur apabila filem Tokan terbitannya berdepan masalah teknikal pada hari pertama filem tersebut ditayangkan.
Normashayu yang lebih dikenali sebagai Ayu Puteh menjelaskan, lima pawagam terpaksa membatalkan tayangan filem Tokan ekoran penggunaan sistem Digital Cinema Packages (DCP) pawagam terbabit gagal berfungsi menyebabkan tayangan filem itu terpaksa dihentikan seketika.
Kegagalan fungsi DCP di pawagam-pawagam terbabit bukan sahaja menjejaskan kualiti filem yang ditayangkan bahkan memberi impak negatif kepada penerimaan penonton.
"Masalah teknikal DCP menjadi punca utama yang menyebabkan filem Tokan tersekat-sekat untuk ditayangkan sekali gus filem tersebut terpaksa dihentikan pada hari pertama tayangannya.
"Malah, penonton yang telah membeli tiket tersebut terpaksa keluar dari panggung dan dipulangkan semula duit akibat masalah teknikal itu," kata Ayu yang sugul menerima insiden membabitkan filem kedua terbitannya itu.
Kegagalan filem tersebut memberi seribu satu masalah sehingga syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian untuk 25 kali jadual tayangan.
Tambah Ayu, masalah berhubung DCP itu tidak selesai setakat menghentikan tayangan Tokan sahaja, sebaliknya harus disiasat sebaik mungkin. Selain merasa musykil dan terkilan berikutan masalah yang berlaku, Ayu Puteh turut kecewa apabila ada pawagam menghentikan tayangan Tokan lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya.
"Baru seminggu filem ditayangkan, MIG yang bertindak sebagai pengedar memberitahu bahawa ada pawagam di ibu kota menghentikan Tokan atas alasan filem itu tidak mendapat sambutan. Mana boleh begitu, sebab ikut syarat wajib tayang, setiap filem ada masa dua minggu untuk berada di pawagam," tegas Ayu.
Kegagalan filem Tokan yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu bagaimanapun tidak membuatkan Ayu Puteh berputus asa. Dia akan terus berkarya dalam industri seni kreatif masa masa hadapan. Hajatnya untuk menerbitkan lima buah filem pelbagai genre tidak akan berhenti meskipun sudah dua filem terbitannya termasuklah Aku Ada, Kau Ada gagal mendapat sambutan.
"Alhamdulillah, saya tetap bersyukur walaupun Tokan hanya mampu mengutip sebanyak RM800,000. Saya tetap gembira dengan mendapat maklum balas positif mengenai filem Tokan yang telah menemui penonton sejak 26 Disember lalu.
"Insya-Allah, pada bulan Februari nanti, filem ketiga terbitan saya akan mula ditayangkan. Kali ini, Pensil Pictures akan tampil dengan genre yang berbeza pula iaitu seram.
"Saya berterima kasih semua pihak yang telah menyokong Tokan begitu juga dengan semua yang membintangi filem Tokan. Harap mereka terus mempromosi filem yang berbaki seminggu lagi itu," ujarnya.
Tokan bawah arahan Ghaz Abu Bakar membawa kisah di sebalik perniagaan jual beli dadah yang diketuai seorang samseng keturunan Melayu. Ia membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Zizan Razak, Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Johan As'ari dan Liyana Jasmay.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: