“SEKARANG bawa duit RM1,000 pun tak cukup. Beli barang-barang sekolah anak sahaja dah habis.”
Itu antara butiran perbualan dua orang wanita separuh umur yang penulis dengar sewaktu menaiki lif di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur minggu ini.
Kelihatan juga empat orang anak kecil menjinjing beg plastik barangan keperluan persekolahan. Situasi itu sudah cukup untuk membayangkan kos perbelanjaan keluarga yang perlu ditanggung ibu bapa mereka.
Belum pun cerita poket kering kerana membuat persiapan persekolahan, timbul pula isu harga makanan di kantin sekolah yang disifatkan tidak masuk akal.
Jika 10 tahun lalu, kanak-kanak yang membawa wang saku RM5 ke sekolah rendah boleh dianggap mewah, namun, kini jumlah yang sama mungkin menyebabkan murid di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur tercekik akibat tidak cukup duit untuk membeli air.
Ini semua gara-gara harga sepinggan nasi ayam dan air minuman menelan kos RM5.50 seperti yang dilaporkan akhbar Kosmo! baru-baru.
Itu baru kisah perbelanjaan anak kecil, belum lagi ibu bapa yang terpaksa menanggung kos kenaikan harga petrol, bahan mentah dan tarif elektrik.
Umum mungkin melihat kenaikan harga barangan ini ekoran pemotongan subsidi oleh kerajaan tetapi pemotongan itu merupakan sesuatu yang perlu dilakukan.
Subsidi
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, tindakan kerajaan mengurangkan subsidi barangan tertentu mampu memberikan kesan yang lebih baik kepada ekonomi negara.
“Jika kerajaan terus memberikan subsidi, ia sebenarnya tidak bagus untuk kelangsungan kewangan negara.
“Namun, apabila ini dibuat, kenaikan harga barang sukar dielakkan. Justeru, perlu dianalisis kaedah mengawal kenaikan harga secara drastik kerana ia mampu membantutkan objektif rasionalisasi subsidi.
“Maka, apabila dilihat dari sudut keutuhan ekonomi jangka sederhana, semakan dan susunan semula jumlah pemberian subsidi pada barang tertentu dapat memberikan kesan yang baik sekiranya berlaku ketelusan dan integriti dalam belanja urus tadbir negara,” katanya.
Zaharuddin memberitahu, keseimbangan tersebut wujud jika pemotongan subsidi itu mampu membuahkan hasil dengan pelaksanaan pembangunan negara yang lebih dinamik.
“Jika kerajaan kurang tanggungan, maka pendapatan negara lebih tinggi, jadi lebih banyak pembangunan yang mampu dilaksanakan, dengan syarat ia disalurkan di tempat yang betul.
“Ia sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya ia memerlukan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada pelbagai sektor, bukan kerajaan sahaja.
Ujar beliau, rakyat mampu merasai kesan positif daripada pelaksanaan pengurangan subsidi dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya kenaikan harga barangan terlampau drastik, ia berkemungkinan boleh mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
Malangnya, kenaikan harga bahan mentah ini dijadikan alasan oleh sesetengah individu untuk meraih keuntungan yang berlipat ganda.
“Kalau kita tengok, harga barang mentah yang naik itu tak seberapa, tapi kadang-kadang peniaga caj lebih-lebih kepada pembeli.
“Sebenarnya mereka masih lagi untung jika tak naikkan harga makanan. Ini sifat peniaga yang tamak sebab nak untung lebih,” ujar Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya.
Katanya, apa yang lebih penting, sebagai pengguna, kita perlu bijak mengurus tadbir kewangan keluarga dengan berbelanja secara berhemah.
“Harga sesetengah barang kita tidak boleh kawal kerana mengikut harga pasaran luar.
“Cuma sebagai pengguna, kita kena bijak dalam membezakan antara barangan keperluan dan kehendak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: