Sunday, January 5, 2014

Azila dilarang hamil


HASRAT untuk menimang cahaya mata sememangnya menjadi idaman setiap pasangan yang berkahwin. - Gambar hiasan


LUMRAH kehidupan berkeluarga pasti mahukan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Tetapi berbeza pula bagi Azila apabila dia dilarang hamil oleh suaminya, Firdaus hanya disebabkan suaminya itu takut akan komitmen mempunyai anak.
Hendak dikatakan tidak mampu, kedua-duanya menjawat jawatan yang tidak kurang hebatnya tetapi entah mengapa Firdaus tetap berkeras dengan pendiriannya walaupun sudah tiga tahun mereka berkahwin.
“Saya mengenali suami semasa menuntut di sebuah universiti swasta di Melaka sehinggalah kami sepakat mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu.
“Sejak awal perkenalan lagi saya mengetahui yang Firdaus kurang menggemari kanak-kanak tetapi tidak sangka pula sikapnya itu terbawa-bawa selepas mendirikan rumah tangga.
Mandul
“Saya ingatkan sikapnya itu boleh berubah kerana memikirkan mungkin sebelum berkahwin, dia tidak tahu bagaimana perasaan menjadi ibu bapa tetapi rupa-rupanya tidak,” ujarnya yang berasal dari utara tanah air.
Tambah Azila, kemanisan kehidupan berumah tangga yang dilaluinya bagaikan diragut apabila si suami bertindak menyuruhnya mengambil pil pencegah kehamilan.
“Pada mulanya saya berfikiran positif dengan beranggapan yang suami belum bersedia bergelar bapa apatah lagi kami baru sahaja berkahwin.
“Tetapi hari berganti hari sehinggalah usia perkahwinan kami menginjak dua tahun tetapi dia tetap menyuruh saya mengambil pil mencegah kehamilan,” jelasnya yang buntu memikirkan tindakan suaminya itu.
Katanya, apabila ditanya hal tersebut, Firdaus hanya memberitahu yang dia masih belum bersedia memikul tanggungjawab membesarkan seorang anak.
Azila tidak mengerti akan tindakan Firdaus itu yang disifatkannya tidak masuk akal sedangkan mereka berdua lebih daripada mampu untuk menyara kos mempunyai anak.
“Hati saya terusik apabila melihat seorang rakan sebaya yang berkahwin pada tahun sama sudah dikurniakan seorang anak tetapi saya tidak berpeluang merasai keajaiban perasaan bergelar ibu.
AZILA disahkan hamil selepas dia terlupa mengambil pil perancang kehamilan yang sebelum ini menjadi rutin hariannya. - Gambar hiasan


“Kedua-dua belah keluarga turut bertanyakan hal yang sama sedangkan kami sudah berkahwin hampir dua tahun.
“Saya terpaksa memberikan pelbagai alasan dengan memberitahu belum ada rezeki kami untuk menimang cahaya mata tetapi hakikatnya saya dilarang hamil oleh suami,” beritahu beliau.
Ujarnya, tiada siapa yang mengetahui masalah yang dialaminya kerana dia tidak sampai hati menjatuhkan aib suaminya.
“Ibu mertua pula sudah mula membanding-bandingkan saya dengan menantunya yang lain sedangkan dahulu, sayalah menantu kesayangannya.
“Hancur hati saya apabila terdengar perbualan antara suami dan ibu mertua yang menuduh saya mandul kerana masih gagal melahirkan cucu buatnya sedangkan anaknya sendiri yang enggan mempunyai zuriat.
“Suami sekadar berdiam diri tanpa berusaha mempertahankan saya sedangkan kesemua kesalahan itu patut diletakkan di atas bahunya, bukan saya,” katanya.
Tambahnya, bukan setakat itu, dia juga dituduh takut hamil kerana khuatir bentuk badan akan berubah selepas bersalin.
“Setiap tuduhan yang dilemparkan itu saya ambil sebagai kekuatan diri malah saya masih mampu menahan segala sindiran yang datang.
Hamil
“Wanita mana yang tidak mahukan cahaya mata malah keinginan itu membuak-buak apabila melihat satu persatu rakan sekerja menimang si kecil.
“Bayangkan, mereka sering berkongsi cerita mengenai proses kehamilan seperti alahan, perubahan hormon dan detik kelahiran tetapi saya mampu mendengar sahaja tanpa dapat mencelah,” jelasnya dalam nada sedih.
Beritahu Azila, dia pernah terlupa mengambil pil pencegah kehamilan yang menyebabkan dia disahkan hamil beberapa bulan selepas itu.
“Saya tidak tahu macam mana boleh terlupa mengambil pil tersebut sedangkan itu rutin saya setiap hari malah ketika merasakan ada perbezaan pada diri, saya tidak pernah terfikir yang saya sebenarnya hamil.
“Tetapi tidak sangka pula saya betul-betul hamil. Malangnya, berita itu yang sepatutnya menggembirakan suami menjadi sebaliknya.
“Apabila doktor mengesahkan saya hamil, muka suami terus berubah. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarnya,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: