KETIKA menelusuri barisan rak makanan ringan di sebuah pasar raya di Beijing, China, Su Ming tidak menyedari sebahagian daripada snek yang dipamerkan adalah palitan cat yang dilukis di atas tubuh manusia.
Wanita itu bagaimanapun hanya mengetahui perkara tersebut selepas figura yang menyamar di sebalik latar belakang berkenaan bergerak.
Teknik penyamaran menggunakan cat air itu merupakan karya kreatif artis dari wilayah Shandong, China iaitu Liu Bolin.
Pelukis berusia 40 tahun itu akan mengecat pakaian dan tubuhnya dengan menggunakan warna yang sama dengan objek yang dijadikan latar belakang supaya dia kelihatan seperti halimunan.
Bagi Bolin, sama ada latar belakangnya hamparan pemandangan mahupun susunan permainan kanak-kanak, dia mahu menonjolkan seni halimunan itu agar tampak menarik dan eksklusif.
Fotografi
Bolin memberitahu, dia mula bergiat aktif dalam bidang seni ilusi optik kira-kira sembilan tahun lalu sebagai tanda protes terhadap kerajaan apabila studio miliknya di perkampungan Suo Jiacun, China terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada pembangunan sempena Sukan Olimpik di negara berkenaan.
"Saya bukan sekadar berdiri tetapi ia secara tidak langsung sebagai tanda protes terhadap tindakan berat sebelah kerajaan yang seakan-akan mengetepikan golongan pengkarya," katanya.
Merasakan kehadirannya sebagai artis seolah-olah dipinggirkan, dia yang juga mahir mengukir, menjadikan seni halimunan sebagai medium untuk menzahirkan diri.
"Saya pernah gagal mencari kerja yang bersesuaian sejurus selepas menamatkan pengajian.
"Kegagalan itu membuatkan saya berasa rendah diri dan berpendapat masyarakat tidak mempedulikan golongan pengkarya seperti kami. Sejak itu sikap saya berubah dan saya memberontak terhadap sistem sedia ada," katanya.
Bertitik tolak daripada peristiwa tersebut, lulusan Jabatan Seni Ukir, Akademi Seni Halus China itu terus menjadi 'halimunan' dalam persekitaraan sekeliling dan menterjemahkan hasil karyanya itu ke dalam bentuk fotografi.
Bertutur lanjut, Bolin memberitahu, lokasi yang dipilih biasanya merujuk kepada subjek tertentu seperti politik, budaya dan alam sekitar.
Katanya, latar belakang menjadi elemen paling penting kerana ia menterjemahkan pendapat masyarakat setempat daripada perspektif golongan tersebut.
"Saya cenderung untuk memilih tempat seperti kawasan pembinaan, ruang di pasar raya, tempat bersejarah dan taman rekreasi untuk berkarya.
"Apa yang saya cuba lakukan ialah menggambarkan bagaimana tempat-tempat ini mempengaruhi kehidupan penghuninya.
"Saya juga mahu menceritakan kedudukan sebenar saya dalam masyarakat," jelasnya.
Mengecat
Dengan bantuan beberapa orang pembantu, Bolin akan mengecat pakaian serta tubuhnya termasuk rambut dan muka mengikut latar belakang yang dipilih sebelum mengambil gambar.
Dia yang menjadikan Picasso dan Andy Warhol sebagai sumber inspirasi memberitahu, imej yang diambil akan memperlihatkan cara dia 'bergabung' dengan persekitaran tanpa dapat dikesan.
"Setiap lukisan memerlukan teknik yang betul dan ketelitian serta kesabaran tinggi bagi mendapatkan efek yang dikehendaki.
"Selepas mengenal pasti sudut yang sesuai untuk bidikan foto, saya akan menukar pakaian yang sesuai dan berdiri di tempat yang diingini sambil pembantu mewarnakan seluruh tubuh.
"Mereka biasanya mengambil masa antara lima hingga 10 jam untuk melukis agar seni yang dihasilkan tampak sebati dengan latar belakang," katanya.
Tambah Bolin, antara penyamaran yang paling mencabar ialah ketika dia menjadi halimunan di depan ukiran naga di Taman Behei, Beijing.
"Saya sanggup menghabiskan masa selama tiga bulan untuk menyiapkan penyamaran tersebut.
"Hasil kerja untuk pameran bertajuk Hiding in the City ini dipamerkan di galeri Eli Klein Fine Art di New York, Amerika Syarikat kira-kira dua tahun lalu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: