Saturday, January 11, 2014

Crossover urban Peugeot 2008



SEJAK diperkenalkan semula di pasaran Malaysia pada tahun 2008, Peugeot bangkit sedikit demi sedikit tetapi kini, jenama Perancis itu sudah mula menambat hati pembeli tempatan.
Peugeot berjaya menjual sebanyak 772 unit model pada tahun 1998. Selang setahun, angka jualan melonjak kepada 3,766 unit.
Catatan mendadak itu membuatkan jenama dengan logo singa itu mendapat tangga kedua dalam aspek jualan kenderaan Eropah di Malaysia selepas Mercedes Benz.
Kejayaan itu sudah tentu bertitik tolak daripada usaha keras pengedar rasmi jenama kereta itu di negara ini, Nasim Sdn. Bhd.
Ekoran daripada sambutan itu, beberapa model baharu turut diperkenalkan, termasuk model 2008. Model crossover untuk pemanduan urban itu menggunakan platform PF1 yang sama dengan model 208.
Di Eropah, model 2008 telah menerima tempahan awal sebanyak 73,600. Debut model itu di Malaysia ialah semasa pameran Kuala Lumpur International Motor Show 2013 (KLIMS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) November tahun lalu. Sejak 2008 diperkenalkan, pihak Nasim telah menerima lebih 100 unit ditempah.
Kejayaan 2008 di Eropah mendorong Nasim untuk melancarkan model berkenaan di Malaysia kerana crossover itu menawarkan gaya dinamik dengan ditambah ciri-ciri inovatif.

TEMPAT duduk hadapan jenis separa buket dengan kombinasi kulit Oxford dan fabrik.


Menurut Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George, pihaknya menetapkan 100 unit 2008 terjual sebulan.
“ Peugeot 2008 akan melonjakkan total jualan Nasim sebanyak 7,000 unit pada tahun 2014,” katanya.
Crossover ini yang dilengkapi dengan beberapa aksesori pintar seperti Smart Park Assist dengan sensor parkir depan dan belakang. Ciri-ciri ini membolehkan pemandu memakir kenderaan tanpa perlu menyentuh stereng.
Pemandu hanya perlu mengawal pedal minyak dan brek sahaja berpandukan skrin sesentuh yang dengan sensor di depan dan belakang kereta.
Kedudukan memandu lebih tinggi dari kereta memberikan pemandu pandangan yang luas.
Walaupun ruang dalaman 2008 umpama memandu hatchback 208. Namun ruang itu kelihatan terbuka kerana crossover ini dilengkapi dengan bumbung kaca panoramik.
Ruang dalaman 2008 dikenali sebagai Peugeot i-Cockpit yang bercirikan stereng padat, skrin sentuh tujuh inci dan sistem audio bunyi Arkamys 3D dengan enam pembesar suara.
Di samping itu, terdapat juga port USB untuk menyambung dan mengecas telefon serta peranti media dengan sambungan Bluetooth.
Antara ciri-ciri menarik lain pada model ini ialah lampu keselamatan Follow Me Home dan Guide Me Home. Selain itu, 2008 juga dilengkapi dengan sistem pengelap cermin dan lampu automatik dengan sensor.
Keluasan normal but Peugeot 2008 ialah 360 liter, tetapi jika mahu membawa lebih muatan tempat duduk belakang boleh dilipatkan dan menjadikan keluasan sebanyak 1,194 liter, luas bukan?
Pandu uji
Bagi meyakinkan penulis, Peugeot Malaysia telah menjemput wakil media permotoran untuk menguji sendiri model crossover itu di Solaris Dutamas baru-baru ini.
Pandu uji singkat dari Kuala Lumpur ke Putrajaya itu memberikan penulis pengalaman memandu model 2008 yang baru dilancarkan itu.
Sebaik menaiki 2008 itu, penulis mendapati model itu menggunakan material yang baik untuk ruang kokpitnya.

RUANG simpanan barang yang agak luas memberi nilai tambah kepada keluarga kecil untuk pemanduan jarak jauh.


Memulakan pemanduan, enjin enjin 1.6 liter VTi terasa agak lancar untuk menggerakkan crossover 2008, bagaimanapun transmisi automatik empat kelajuan dengan tiptronic itu seperti agak cepat bertukar gear.
Namun jika inginkan mood pemanduan lebih agresif pemandu boleh menggunakan mod S yang mana pemandu boleh menentukan bila gear ingin ditukarkan.
Penulis difahamkan kelajuan maksimum Peugeot 2008 ialah 190 kilometer sejam dan catatan 0-100 adalah 11.2 saat.
Perjalanan ke Putrajaya melalui Bukit Ampang dan jalan Hulu Langat dapat memberikan penulis merasai laluan berselekoh. Sungguhpun 2008 merupakan sebuah crossover tetapi pemanduan di selekoh terasa seperti memandu sebuah sedan.
Tempat duduk jenis separa buket itu juga agak selesa untuk pemanduan di jalan yang berselekoh yang mampu mengampu badan daripada berganjak.
Penggunaan rim berwarna dua tona bersaiz 16 dengan tayar 195/60 juga memberikan model kestabilan di samping menaikkan imej 2008 ini.
Antara ciri-ciri keselamatan yang ada pada model ini seperti enam beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), ASR, DSC, ABS, EBA dan EBFD.
Untuk makluman model ini telah menggondol beberapa anugerah European Car Of The Year 2014 daripada Italy’s Auto Europa dan Top SUV/Crossover Vehicle menerusi Anugerah Poland’s Golden Steering Wheel.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: