BUAT julung-julung kalinya, model BMW Coupé dan Saloon memiliki nama tersendiri. Keadaan itu nyata berbeza sebelum ini yang mana BMW menggunakan nama model asas yang dinaik taraf.
Malah pengenalan produk baharu itu juga menandakan pertama kali penggunaan enjin pengecas turbo untuk model BMW M bersesaran 3.0 liter enam silinder sebaris dengan teknologi M TwinPower Turbo yang dibangunkan khas untuk model itu dengan output kuasa 431hp.
Kuasa tork setinggi 550Nm boleh dinikmati pada pusingan enjin serendah 1,850rpm. Di sebalik peningkatan kuasa, penggunaan bahan api dan emisi karbon turun sekitar 25 peratus.
Berat model berprestasi itu dikurangkan sebanyak 80 kilogram berbanding model sebelumnya sekali gus menyumbang kepada pengendalian yang lebih dinamik dan kecekapan penggunaan tenaga.
Formula mengurangkan berat jentera terletak pada penggunaan lebih banyak peralatan ringan seperti bumbung yang diperbuat daripada bahan plastik gentian karbon diperkukuh (CFRP).
Asas pembangunan kereta ini cukup mudah iaitu berkuasa tinggi, lebih ringan dan keseronokan pemanduan. Malah jurutera BMW M turut memberi perhatian kepada prestasi aerodinamik menerusi kerjasama erat bersama pemandu profesional BMW Motorsport.
Kedua-dua model itu menjalani ujian yang ekstensif sehinggakan talaan jentera dilakukan di litar Nürburgring Nordschleife.
Jurutera turut memberi perhatian dalam mengoptimumkan pengaliran angin ke seluruh badan kereta untuk prestasi tinggi pada masa sama enjin dan brek mendapat penyejukan yang diperlukan walaupun beroperasi dengan tekanan yang kuat di litar lumba.
Peralatan aerodinamik seperti rekaan apron depan yang agresif, bawah badan kereta yang tertutup dan lip spoiler di belakang M3 Saloon atau bootlid spoiler pada BMW M4 Coupé mengurangkan angkatan kereta (lift) dengan jumlah yang sama pada bahagian depan dan gandar belakang seterusnya membantu dalam aspek pengendalian.
Enjin enam silinder sebaris baharu dengan pengecas turbo menjanjikan keseronokan kepada pemandunya. Konfigurasi enjin kedua-dua model M3 Saloon dan M4 Coupé sebenarnya berpatah balik kepada enjin klasik enam silinder sebaris seperti yang digunakan pada model generasi kedua dan ketiga model sport itu.
Berbanding enjin V8 pada model sebelum ini, kuasa enjin baharu dinaikkan sedikit kepada 431hp manakala tork puncak berjaya ditingkatkan kira-kira 40 peratus kepada 550Nm.
Memacu kepada 100km/j hanya mengambil masa sebanyak 4.3 saat dengan transmisi manual manakala dengan transmisi M DCT pula hanya mengambil 4.1 saat. Kelajuan maksimum kereta berprestasi ini ialah 249km/j dengan sekatan elektronik.
Nadi kuasa M Twin Power Turbo terletak pada dua pengecas turbo mono-scroll, sistem pancitan kejituan tinggi, pemasa injap boleh ubah VALVETRONIC dan pemasa aci sesondol boleh ubah Double-VANOS. VALVETRONIC dan Double-Vanos bergerak secara gandingan dalam mengawal injap masukan.
Hasilnya ialah penghantaran kuasa lebih lancar dan cekap, respon enjin yang pantas dan menariknya penggu naan minyak dan bahan api berkurangan.
Suspensi Adaptive M yang didatangkan sebagai pakej standard di UK mempunyai beberapa seleksi bagi menyesuaikan permukaan jalan. Pemandu boleh melaras suspensi mengikut pilihan COMFORT, SPORT dan SPORT+ dengan talaan paling selesa untuk jalan biasa atau keras sedikit untuk jalan berliku atau SPORT+ untuk pemanduan di litar lumba.
Mode SPORT+ berfungsi dengan meminimumkan pergerakan badan kereta dan memaksimum ciri-ciri dinamik semasa di litar lumba.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: