MUSIM sejuk yang melanda beberapa negara pada masa ini membuatkan permukaan bumi di negara-negara terlibat menjadi putih akibat dilitupi salji tebal.
Biarpun suhu di negara berkenaan jatuh di bawah paras beku, cuaca ekstrem tersebut tidak menghalang penduduk negara seperti di Kanada, China dan Jepun untuk menunjukkan daya kreativiti mereka dalam ukiran salji.
Festival Musim Sejuk Quebec 2014 atau lebih dikenali sebagai Carnaval de Québec yang diadakan di Kanada merupakan karnival musim sejuk terbesar di dunia. Karnival yang disambut selama 17 hari oleh penduduk kawasan Old Quebec itu bermula secara rasmi pada 31 Januari hingga 16 Februari ini.
Dalam pada itu, sambutan Festival Ais Harbin di wilayah Harbin yang terletak di utara China juga tidak kurang gahnya.
Bandar tersebut yang terkenal dengan gelaran Bandar Ais juga mempunyai keunikan tersendiri kerana mengalami empat musim berbeza. Menariknya, keempat-empat musim tersebut dianggap sebagai musim sejuk yang panjang kerana musim panasnya juga masih terasa sejuk.
Antara acara menarik yang disediakan sepanjang festival tersebut ialah pertunjukan tanglung ais pada waktu malam, ukiran arca ais gergasi dan pertunjukan aksi haiwan-haiwan kutub yang mencuit hati pengunjung.
Aktiviti musim sejuk
Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti tradisional musim sejuk, mereka berpeluang berbuat demikian dengan meluncur ais, ski dan menaiki kereta yang turut disediakan sepanjang festival tersebut. Ia berlangsung pada pertengahan bulan Disember hingga penghujung Februari.
Sementara itu, di Jepun pula berlangsung Festival Ais Sapporo yang berjaya menarik seramai 2 juta pengunjung setiap tahun.
Beberapa patung ais berskala besar diukir dan didirikan bermula dari Taman Odori ke Tsudome dan berakhir di jalan utama Susukino.
Festival salji di Jepun bermula sejak tahun 1950 apabila pelajar-pelajar sekolah tinggi tempatan membina enam patung salji di Taman Odori.
Pada tahun 1955, Pasukan Pertahanan Diri (Jepun) menyertai festival berkenaan dan membina arca ais berskala besar yang pertama. Sejak itu, Festival Ais Sapporo terkenal sehingga kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: