Friday, December 6, 2013

Video pendek solat pilihan juri

MUHAMMAD SOLIHIN (dua dari kanan) memegang dua anugerah kemenangan produksi Solat Roh Ta'dib di FFVPM10.


SOLAT lima waktu sehari semalam yang menjadi tuntutan bagi setiap orang Islam mendorong tiga mahasiwa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk menghasilkan sebuah video pesanan khidmat awam (PSA) bertajuk Solat Roh Ta’dib berkisar kepentingan dan adab dalam solat.
Lebih membanggakan, hasil karya gabungan tiga sahabat, Muhammad Solihin Baruddin, Muhd. Yassir Abd. Manaf dan Muhd. Azfar Abdullah masing-masing berusia 25 tahun itu, diiktiraf dalam majlis penganugerahan berprestij, Festival Filem & Video Pelajar Malaysia Ke-10 (FFVPM10) yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai baru-baru ini.
Kejayaan karya berkenaan dalam merebut dua anugerah utama iaitu Anugerah PSA Terbaik dalam kategori video berunsurkan Islam dan Anugerah Khas Juri sekali gus menepis 230 penyertaan mahasiswa seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara yang turut bersaing merebut keseluruhan 19 anugerah yang dipertandingkan pada festival itu.
Medium dakwah
Penerbit yang juga pengarah PSA, Muhammad Solihin Baruddin berkata, kejayaannya itu sekali gus membuktikan tema Islamik dan video berunsurkan dakwah semakin diterima dalam kalangan masyarakat sekali gus menyuntik semangat kepada mereka untuk berdakwah melalui pembikinan PSA dan filem pendek.
“Sewaktu diumumkan sebagai pemenang bagi kedua-dua anugerah sudah tentu saya terkejut kerana saingan dalam kategori ini terlalu sengit. Namun saya menganggap kemenangan ini sebagai rezeki daripada Yang Maha Esa dalam usaha memartabatkan agama Islam,” ujarnya.

KRU produksi PSA Solat Roh Ta'dib turut bertindak sebagai pelakon dalam video mereka.


Menggunakan sebuah kamera model Canon 550D dengan modal kurang daripada RM80 dan memilih Bukit Broga, Semenyih, Selangor sebagai lokasi penggambaran, video berdurasi hampir dua minit itu mengetengahkan isu berkaitan kewajipan menunaikan solat tepat pada waktunya, selain adab dalam menunaikan tiang agama umat Islam itu.
“Solat adalah satu kewajipan yang dituntut oleh Allah kerana ia bukti ketaatan dan hubungan kita dengan Maha Pencipta. Sebab itulah, tajuk Solat Ta’dib dipilih kerana ta’dib itu bermaksud proses pembangunan hati.
“Solat itu perkara yang sangat mudah. Dalam video ini kami memaparkan dua remaja yang sedang mendaki bukit kemudian mendengar azan terus menunaikan solat. Pertama, kami cuba sampaikan bahawa solat itu wajib ditepati masanya, kedua solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tempatnya bersih dan kita berada dalam keadaan suci,” jelasnya yang menerima trofi bagi dua anugerah serta wang bernilai RM1,000 bagi setiap kategori.
Ini percubaan pertama ketiga-tiga penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Penyiaran, KUIS itu menyertai festival terssebut, atas dorongan Pensyarah Penerbitan Dokumentari, Mohd. Daly Daud yang menganggap ia kemenangan untuk semua mahasiswa dan tenaga kerja di KUIS.
Penanda aras
Mohd. Daly berkata, ia menjadi penanda aras bagi mahasiswa lain menghasilkan lebih banyak video dan filem pendek berunsurkan Islamik untuk dipertandingkan kerana hasil seni ini lebih dekat dan mudah diterima masyarakat.
“Dalam jangka masa panjang, KUIS diharapkan mampu melahirkan mahasiswa komunikasi yang berketerampilan sebagai penyumbang kepada karyawan penyiaran yang mempunyai fikrah Islam dan berkemahiran tinggi bersesuaian dengan motonya untuk melahirkan generasi ulamak dan umara,” katanya.
Sementara itu, dua filem dokumentari Demi dan Sang Penyampai yang juga penyertaan sulung KUIS berjaya memberikan saingan hebat apabila turut tercalon bagi lima karya terbaik dalam kategori Skrip Dokumentari Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Video Terbaik Keseluruhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: