• Splash Party Media Hiburan penuh keseronokan

MAJALAH hiburan popular Media Hiburan (MH) terbitan Kumpulan Media Karangkraf, dengan kerjasama Marry Brown dan Sunway Lagoon  menganjurkan program Splash Water 2.0, Selalu lalu.

Buat kali kedua Splash Party anjuran Media Hiburan kembali menemui peminat dan pembaca. Kali ini aktiviti telah diadakan di Taman Tema Air Sunway Lagoon.

Editor majalah Media Hiburan,  Meen Tahrin, yang juga selaku ketua program kali ini berkata, aktiviti seumpama ini di adakan bagi tujuan menghargai peminat dan juga pembaca MH yang selama ini tak pernah jemu memberi sokongan.

“Sebelum ini program seumpama ini pernah dibuat di Bukit Cahaya Seri Alam. Kali ini, kami mahukan lokasi yang lebih menarik dengan pelbagai program agar setiap peserta yang hadir menikmatinya dengan gembira,” katanya.

Meen berkata, lebih ramai artis turut dijemput hadir bagi memeriahkan majlis dan meluangkan masa bersama peminat.

“Setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini akan disertai oleh artis dan peminat. Jadi peminat dapat mendekati dan beramah mesra dengan artis yang hadir.

“Kami agih-agihkan artis dan peminat dalam satu kumpulan kecil yang diwakili seramai 5 orang, dalam satu kumpulan akan ada seorang atau dua orang artis.

“Hasilnya kami melihat wujudnya satu ikatan yang baik antara peminat dan artis ini. Dengan itu kami berpuas hati kerana usaha kami berjaya,” katanya.

Dalam program itu pelbagai aktiviti dijalankan untuk memberi keseronokan dan kepuasan kepada peserta  seperti menaiki Vuvuze bersama artis, mencari harta yang tersembunyi, perlumbaan gelongsor air dan banyak lagi.

“Program kali ini adalah antara program yang berjaya mendapat sambutan hangat daripada peminat dan pembaca majalah Media Hiburan," katanya.

Antara artis yang hadir memeriahkan program ini ialah Zoey Rahman, Dafi, Daus AF, Maulana, Alif AF, Nas Adila, Alif Hadi, Alam Wakaka, Amar Baharin, Zara Zya dan Aman Nassim.


Perlu diteruskan
Pelakon drama Love U Mr Arrogant, Zara Zya yang turut hadir menjayakan program kali ini berkata, program seumpama ini harus dikekalkan kerana sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang peminat mendekati artis.
“Saya seronok turut serta dalam program ini sebagai salah seorang yang turut menjayakan aktiviti ini.
“Program seumpama ini merapatkan hubungan saya dengan peminat dan berterima kasih kerana sudi menjemput saya turut serta,” katanya.
Bagi Alam Wakaka ketika ditemui semasa program itu, mengakui sangat terhibur dengan program anjuran MH itu.
“Saya begitu sibuk dengan kerja, namun saya sempat menghadirkan diri semata-mata untuk peminat.
“Walaupun sekejap saja dapat datang, saya sempat berjumpa dengan peminat dan menghiburkan mereka,” katanya.