KUALA LUMPUR: Penyanyi Soo Wincci mengakui kini berkawan rapat dengan pelakon Iqram Dinzly dan sering keluar bersama jika mempunyai kelapangan.
Bagaimanapun, Wincci, 28, berkata, dia belum bersedia melangkah ke alam percintaan sebelum impiannya untuk mencipta nama di Hollywood belum tercapai.
"Kami kawan baik dan memang sering keluar bersama jika ada masa terluang kerana rumah dia berhampiran dengan saya tapi saya tidak tahu dia akan datang pada majlis ini untuk buat kejutan.
"Dia juga seorang kawan yang baik dan kami selalu bertukar pendapat tentang sesuatu perkara terutamanya berkaitan dengan industri," katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.
Wincci berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gimik lamaran dan pemberian cincin daripada pelakon tersebut pada majlis pelancaran album pertamanya berjudul Su Win Si by Soo Wincci, di M Suit, dekat sini, Jumaat.
Tambah Wincci, dia tidak pernah merancang atau menetapkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang sebelum berjaya dalam kerjayanya.
Sementara itu, album pertama dalam bahasa Melayu ini memuatkan empat buah lagu baharu ciptaan komposer Ajai iaitu Terus Teranglah, Musim Asmara, Jangan Risau, dab Nombor 1.
Wincci berkata, cabaran utama dalam penghasilan album tersebut adalah mengatasi masalah pelat dalam menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu.
"Cabaran utama ialah saya terpaksa mengambil masa panjang untuk proses rakaman kerana ada beberapa lirik dan perkataan yang sukar untuk disebut.
"Oleh itu, Ajai terpaksa menukar lirik ketika itu kepada perkataan yang lebih mudah untuk disebut," ujarnya.
Katanya, penggunaan bahasa Mandarin ketika menetap di Taiwan turut menjejaskan penggunaan bahasa Malaysianya.
Album yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan ini bakal berada di pasaran pada minggu depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: