Monday, December 9, 2013

Sambut Krismas dalam air


GOLONGAN cilik begitu teruja sewaktu melihat seorang penyelam skuba yang lengkap berpakaian Santa Claus turut sama berenang dengan ribuan hidupan laut di Aquatheatre.


SUASANA di hadapan akuarium gergasi yang menempatkan ratusan jenis ikan dan hidupan laut itu sunyi sepi walaupun hakikatnya ruang tersebut sesak dengan kehadiran pengunjung.
Kesemua pengunjung seolah-olah terpukau melihat keindahan akuarium berkenaan yang direka mirip dasar laut sebenar. Akuarium tersebut menjadi habitat pelbagai jenis ikan yang berbeza saiz, bentuk dan warna.
Bagaimanapun, suasana tenang itu bertukar riuh-rendah dengan sorakan pengunjung, terutamanya kanak-kanak, apabila seorang penyelam skuba berpakaian lengkap seperti Santa Claus tiba-tiba muncul dalam akuarium berkenaan.
“Lazimnya, setiap kali Santa Claus muncul, dia akan dikerumuni kanak-kanak yang inginkan hadiah. Tetapi di sini kita dapat melihat Santa Claus itu dikejar oleh ikan-ikan yang turut inginkan ‘hadiah’ daripadanya.
“Bukan sahaja kanak-kanak, malah kami yang dewasa ini pun terhibur melihat persembahan tersebut,” ujar Amy, 23, seorang pengunjung dari Kanada yang teruja dengan keunikan aktiviti program A Sensetional Christmas di Aquaria KLCC.
Selain melihat si Santa Claus memberi makan kepada ribuan spesies ikan di Aquatheatre, para pengunjung Aquaria KLCC berpeluang untuk mencuba beberapa lagi aktiviti menarik bertemakan perayaan Hari Krismas sehingga 31 Disember ini.

IKAN pari gergasi yang kelihatan begitu jinak sewaktu diberi makan.


Menurut Pengarah Urusan Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong, segala aktiviti yang disusun sepanjang tempoh sebulan itu direka bagi menerapkan semangat saling memberi dalam kalangan pengunjung, terutamanya kanak-kanak.
“Sebagai contoh, kanak-kanak akan diberi peluang untuk memberikan makanan kepada empat ekor memerang yang kita dipelihara di sini.
“Bagaimanapun, apa yang berbeza daripada biasa ialah makanan tersebut akan diletakkan di dalam bekas unik yang berbentuk seakan-akan ‘kotak hadiah’ yang sering digunakan sewaktu sambutan Hari Krismas,” ujarnya memberitahu segala aktiviti yang dijalankan bertemakan perayaan tersebut.
Keceriaan perayaan
Bagi menyemarakkan lagi tema sambutan Hari Krismas, dekorasi dalaman Aquaria turut mendapat sentuhan baharu dengan warna hijau dan merah yang sinonim dengan perayaan tersebut.
Jika kena pada waktunya, para pengunjung juga bakal disajikan dengan persembahan tarian selamat datang oleh para petugas di Aquaria yang pasti memberikan keceriaan kepada para pengunjung tanpa mengira peringkat usia.

PENGUNJUNG berpeluang untuk menyentuh beberapa spesies hidupan laut di kolam-kolam khas yang disediakan.


Seorang pengunjung cilik, Mohd. Danish Hakim Mohd. Faisal, 10, berkata, dia berasa teruja untuk mengikuti aktiviti yang dijalankan memandangkan dia tidak berpeluang untuk merasainya pada pada dua lawatan yang lalu.
“Kali ini merupakan kali ketiga keluarga saya melawat Aquaria. Setiap kali tiba cuti sekolah, kami akan ke sini memandangkan setiap tahun, ada sahaja aktiviti baharu yang disediakan.
“Saya juga berasa gembira kerana dapat melihat dua maskot Aquaria iaitu ikan jerung yang dikenali sebagai Rocky dan memerang, Okie yang begitu mesra melayan saya dan adik-beradik saya yang lain,” ujarnya.
Kepada pengunjung yang datang berkeluarga, Aquaria KLCC turut menyediakan pakej khas bernilai RM108 untuk empat individu iaitu dua tiket dewasa dan dua kanak-kanak.
Aquaria KLCC dibuka setiap hari dari pukul 10.30 pagi hingga 8 malam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: