SEBAGAI juruteknik di syarikat pengeluar baja silikon SIO4 Sdn. Bhd., Ginno Ngai, 39, bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas teknikal seperti membuat ujian tanah dan melawat ladang selain mempromosi produk baja kepada pengusaha.
Sepanjang tiga tahun bertugas di sana, Ginno mengakui banyak cabaran yang terpaksa dihadapi terutama dalam meraih kepercayaan pelanggan terhadap produk mereka.
"Rutin harian saya sangat padat. Setiap hari saya perlu turun padang melawat kawasan estet di pelbagai lokasi sekitar Tawau untuk bertemu dengan pengusaha ladang kelapa sawit.
"Di sana, saya dan rakan yang terlibat akan melakukan ujian ukuran bagi asid (pH), membuat pemerhatian di sekitar ladang dan merekodkan sesi lawatan tersebut. Sekiranya pelanggan berminat, mereka akan membuat tempahan baja dan jika tidak kami sekadar pulang dengan tangan kosong," ujar Ginno sambil menunjukkan bagaimana ujian pH dilakukan.
Menggunakan beberapa peralatan, Ginno mengorek tanah dengan kedalaman kira-kira 10 hingga 12 sentimeter (sm). Kemudian, tanah itu diletakkan di dalam bekas plastik berwarna putih dan kemudian dicampurkan dengan cecair alkali.
Ganoderma
Salah satu bekas kecil ditambah dengan sedikit baja silikon. Hasilnya tanah yang dicampur baja silikon menunjukkan perubahan warna dan nilai pH.
Menurut Ginno, ujian tanah yang dilakukan itu biasanya mampu menarik perhatian pengusaha untuk mencuba baja silikon yang diperkenalkan syarikatnya.
Ditanya mengenai masalah yang selalu dihadapi pengusaha kelapa sawit, lelaki berperwatakan ceria ini memberitahu, ganoderma antara penyakit yang sering dikesan pada pokok kelapa sawit.
|
"Apabila pokok kelapa sawit dijangkiti ganoderma, ia akan menjejaskan kawasan batang pokok. Biasanya dibahagian bawah pokok itu kira-kira serendah 1.5 meter akan dimakan oleh ganoderma dan mereput.
"Pada peringkat ini, pokok hanya menunggu masa untuk tumbang. Boleh dikatakan penyakit ini ibarat kanser bagi pokok kelapa sawit dan sukar diubati," jelas Ginno sambil menunjukkan sebatang pokok sawit berusia kira-kira 10 tahun yang dihinggapi penyakit itu.
Sementara itu, Julian Mickey Niun, 37, pula berkongsi bahawa antara cabaran yang dihadapi ialah untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan terhadap produk mereka.
"Ini kerana baja silikon masih baru dalam pasaran. Walaupun sudah enam tahun dipasarkan di Malaysia, namun tidak ramai pengusaha mengetahui kebaikan baja ini.
"Kebanyakan pengusaha masih tidak percaya bahawa baja ini mampu memberi hasil yang lebih baik dan tinggi berbanding baja tradisional. Justeru, ia mengambil masa untuk kami meraih kepercayaan mereka.
"Apapun, kami perlu tetap berpegang kepada pasaran tahu dan mempunyai pengetahuan tentang trend pengusaha memandangkan industri minyak sawit merupakan salah industri terbesar di Malaysia," terang Julian sambil menambah syarikatnya sentiasa berusaha menaik taraf produk agar dikenali ramai.
Tambah Julian, jika seseorang pengusaha bersetuju untuk menggunakan baja silikon, mereka akan memberikan khidmat nasihat dan membuat pemantauan.
"Selepas pelanggan menggunakan baja tersebut dalam tempoh satu ke dua bulan, kami akan melakukan lawatan semua ke ladang mereka bagi mengesan sebarang perubahan. Apa yang pasti, setiap pelanggan yang telah mencuba baja ini, mengakui keberkesanannya dalam menyuburkan tanah sekali gus memberikan hasil tanaman yang baik," ungkap Julian sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: