|
BIARPUN tidak berjaya ke peringkat final program realiti nyanyian 8TV, One In A Million (OIAM) musim pertama (2006), pendatang baharu Shahmeen Shah, 23, tidak putus semangat.
Shahmeen kemudiannya mencuba nasib ke uji bakat program realiti terbitan TV3, Mentor musim kelima (2011) pula. Namun, nasib sekali lagi tidak menyebelahinya apabila tidak terpilih menjadi protege Afdlin Shauki.
Bagaimanapun, Afdlin menawarkan sesuatu yang lebih berharga kepada Shahmeen iaitu bernaung di bawah syarikatnya.
“Selepas OIAM, saya cuba nasib dengan menyertai program Mentor. Saya tidak terpilih untuk jadi protege Afdlin tetapi dia beri saya harapan dan peluang kedua untuk menjadi penyanyi di bawah syarikatnya, Vision Works.
“Saya sangat bersyukur kerana Afdlin merealisasikan impian saya untuk bergelar penyanyi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan klip video pertamanya berjudul Abadi yang turut dijadikan lagu tema filem Papadom 2 di Red Box, Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkat sokongan dan doa daripada ibunya juga menjadi pendorong buat Shahmeen untuk tidak berputus asa biarpun perlu mengambil masa selama tujuh tahun dan acapkali berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Tidak sekadar sokongan, tutur Shahmeen, ibunya juga sentiasa menemaninya setiap kali ke Kuala Lumpur untuk menyertai uji bakat.
“Menyanyi adalah minat saya. Ibu banyak mendorong saya supaya tidak putus asa. Dia juga sentiasa sudi menemani saya ke Kuala Lumpur termasuk hari ini ke pelancaran single dan muzik terbaharu saya, Abadi,” ungkapnya mengenai lagu ciptaan Azman Abu Hassan dan Johana Johari itu.
Bicara Shahmeen lanjut, klip video untuk single sulungnya itu pula telah diarahkan oleh Esham Shahlin yang turut menampilkan selebriti popular.
Antaranya ialah pengarah Aziz M. Osman, Sharifah Amani, Faizal Hussein, Dina Nadzir dan Raja Ilya.
Selain itu, klip video ini juga menampilkan pelakon utama filem Papadom 2, Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay.
“Saya anggap cabaran pada diri kerana dapat bekerja dengan nama-nama besar dalam industri termasuk Afdlin. Saya juga teruja kerana single sulung saya keluar serentak dengan klip video,” luahnya yang memperjuangkan muzik R&B dan Soul itu.
Bercerita mengenai perjalanan kariernya selepas ini, kata Shahmeen, banyak perancangan yang telah diaturkan Afdlin untuknya menapak dalam bidang muzik.
Papadom 2 bakal ditayangkan diseluruh pawagam pada 12 Disember ini. Selain Afdlin dan Liyana Jasmay, turut berlakon ialah Rahman, Johan (Raja Lawak) dan Hans Isaac.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: