Tuesday, December 17, 2013

Nicky kini ibu lima anak



DENGUSANNYA laju menyerkap ke pendengaran pengunjung di Taman Safari Bukit Gambang (TSBG), Kuantan, Pahang. Seluruh badan terpejong seketika tatkala mendengar ngauman sepasang pak belang dan mak belang yang menyedari ada jemputan tidak diundang hadir ke istananya.
Sosok kenderaan bercorak harimau bintang yang dinaiki pengunjung seperti sudah biasa dilihat oleh haiwan tersebut. Kedua-dua harimau itu terus bersenda tanpa mempedulikan kenderaan yang memasuki wilayahnya.
Berbeza sungguh bentuk tubuh Nicky, harimau betina yang pernah mencuri tumpuan orang ramai lapan tahun lalu jika dibandingkan keadaannya kini. Nicky kelihatan bertenaga, tegap dan sihat.
Sebelum ini, Nicky yang ditempatkan di Zoo Melaka menjadi mangsa penyeludupan haiwan liar dari Pahang nyaris menjadi menu eksotik sebuah restoran Cina terkemuka di Kuala Lumpur. Nicky bagaimanapun telah diselamatkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia ke Papua New Guinea, Datuk S. H Foo.
Ditangkap
Foo menyedari mengenai anak harimau itu melalui perbualan rakan-rakannya yang memberitahu bahawa Nicky telah ditangkap oleh penduduk kampung di Rompin, Pahang untuk dijual ke restoran yang menjual makanan eksotik.
Beliau mengambil keputusan membeli anak harimau berkenaan dengan sejumlah harga yang dirahsiakan dan menyerahkannya ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Melaka sebelum ia diberi kepada pengurusan Zoo Melaka pada 11 Ogos 2005.

KEADAAN Nicky ketika ditemui selepas dilaporkan hilang selama dua hari di Zoo Melaka. Nicky berusia tiga bulan ketika kejadian tersebut berlaku.


Dalam tempoh kurang seminggu berada di Zoo Melaka, Nicky sekali lagi menggemparkan kakitangan zoo tersebut apabila ia dilaporkan hilang. Namun, selepas 62 jam, Nicky yang berumur tiga bulan ketika itu ditemui semula di kawasan semak berhampiran sangkar tempat kuarantin harimau belang di zoo itu.
Selepas di tempatkan di zoo tersebut, Nicky menjadi tumpuan orang ramai dan tarikan zoo untuk melihatnya dari dekat.
Pengurus TSBG, Shahrul Hizal Hamid berkata, Nicky dipindahkan ke TSBG dari Zoo Melaka bersama pasangan kelaminnya iaitu Dido sejak bulan Disember tahun lalu.
"Harimau ni macam manusia juga, kalau berpindah mesti berpasangan. Kita tak boleh pisahkan salah seekor dan dipasangkan dengan harimau yang lain.
"Sebenarnya, Nicky sudah lima kali melahirkan anak tetapi hanya lima ekor yang hidup. Secara fitrahnya, harimau betina terdorong untuk makan anak sendiri sebaik dilahirkan," jelasnya ketika ditemui di TSBG baru-baru ini.
Menurut Shahrul Hizal, sepanjang tempoh bunting, harimau betina berasa anaknya selamat berada di dalam perut.
Jadi, haiwan tersebut memakan anak yang dilahirkan kerana menyangka anak tersebut berada dalam bahaya jika dibiarkan hidup di luar badan si ibu.
Sementara itu, rutin hidup Nicky diisi dengan jadual diet yang seimbang dan berdisiplin. Nicky akan diberi makan selama enam hari berturut-turut dan baki sehari lagi dijadualkan untuk berpuasa.

SALAH seekor daripada empat anak Nicky yang berumur sembilan bulan yang terpaksa dipisahkan daripada ibunya atas faktor keselamatan.


Diet yang disediakan untuk Nicky ialah dua ekor ayam sehari selama lima hari, dua kilogram daging pada hari keenam dan Nicky perlu berpuasa pada hari ketujuh. Jadual pemakanan tersebut perlu dipatuhi bagi memastikan tubuh badan Nicky kekal cergas.
"Haiwan yang dibela di zoo berbeza dengan haiwan liar di hutan. Harimau di hutan hidup aktif kerana keluar berburu untuk mendapatkan makanan berlainan dengan harimau yang dipelihara.
"Harimau di sini kurang bersenam untuk latihan kecergasan. Jadi, amalan berpuasa bagi haiwan liar adalah perkara biasa," ujarnya.
Setakat ini, empat ekor anak Nicky daripada kelahiran lalu ditempatkan dalam kandang secara berasingan. Anak-anaknya yang diberikan nama Tam, Ten, Walker dan Johny sudah mencecah umur sembilan bulan.
Seekor lagi anak Nicky daripada kelahiran kali keempat ditempatkan di Sungkai, Perak. Ia merupakan satu-satunya anak Nicky dan Dido yang berjaya hidup daripada kelahiran tersebut.
Pembantu Renjer, Mohd. Rafizan Ghazali, 28, berkata, beliau bertanggungjawab untuk memastikan kawasan persekitaran tempat tinggal anak-anak Nicky bersih dan jadual pemakanan dilakukan secara teratur.
"Saya beri mereka makanan seperti ayam, daging, susu formula dan vitamin. Selain itu, kesemua anak harimau akan dibawa keluar dari kandang untuk berlatih berjalan bagi menguatkan otot kaki dan membiasakan diri dengan manusia.
"Latihan melompat atas kerusi pula dilakukan bagi menguatkan tulang anak harimau. Waktu tidur mereka pula adalah selama lapan jam sehari," kata lelaki yang baru bergelar renjer sejak Mac lalu.
Anak-anak Nicky akan berada dalam jagaan nurseri selama 12 bulan sebelum boleh dilepaskan ke persekitaran hutan di TSBG. Keempat-empat anak Nicky yang tinggal bersama sejak kecil boleh tinggal bersama sehingga dewasa jika mereka sudah terbiasa hidup bersama.
Difahamkan, sebanyak 23 harimau baka Malayan termasuk Nicky dan Dido ditempatkan di safari yang berkeluasan 55.84 hektar itu.

TAMAN Safari Bukit Gambang merupakan safari yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 55.84 hektar.


Pernahkah anda terfikir bagaimana haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing patuh pada tuannya? Konsep yang sama digunakan ke atas haiwan pemakan daging seperti harimau iaitu melalui pemberian makanan dan bau badan penjaga.
Harimau dapat mengecam orang yang memberinya makan dan tidak mengancam keselamatan si penjaga. Penjaga harimau juga mengamalkan kaedah menyapu peluh badan mereka pada harimau supaya haiwan tersebut mengenali siapa penjaganya.
Selain diberi makanan yang mencukupi, Nicky akan diberikan ubat cacing setiap suku tahun bagi menyingkirkan parasit dalam ususnya. Jika ada luka pada badan pula, Nicky hanya diberi rawatan semburan antibiotik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: