|
"TIDAK guna popular jika tidak terlibat dengan kempen yang mampu merubah diri dan orang di sekeliling menuju kebaikan," itu luahan dan ikrar yang dilafaz oleh aktres Sharifah Amani atau mesra disapa Nani dalam menyahut cabaran menyertai kempen Kongsi Kelembutan Bersama jenama tisu, Kleenex.
Terpilih bersama seorang model dan juga pengacara Deborah Priya Henry, kempen yang telah berlangsung pada 20 November 2013 sehingga 15 Januari 2014 itu dianjurkan Kleenex dengan tujuan mencapai 5,000 ikrar.
Usai ikrar diperoleh, sumbangan berupa wang tunai RM10,000 akan disalurkan Kleenex kepada kanak-kanak Sekolah Fugee, sebuah pertubuhan amal yang memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian.
Bukan sekadar sumbangan, Kleenex juga mahu seluruh penghuni Malaysia mempraktikkan sifat kelembutan dalam kehidupan dan sesama sendiri.
Luahan dan ikrar daripada Nani juga bukan omongan kosong sebaliknya, akui Nani, dia komited untuk menunaikan janji tersebut.
"Orang masih lupa. Masih lantang bersuara dan memberi komen tanpa berfikir perasaan orang lain dan keluarganya. Walaupun semasa kecil kita diajar cara-cara beradab, tetapi orang mudah lupa.
"Begitu juga saya. Dahulu saya akui berangan menjadi seperti Miley Cyrus dan Britney Spears. Keji semua orang, tetapi sekarang saya mahu jadi lebih lembut. Disebabkan itu saya terima untuk sertai kempen ini," ungkap Nani yang pernah mencetuskan kontroversi satu ketika dahulu apabila mengeluarkan kenyataan 'It will sound stupid, if I speak Malay' dalam sebuah acara anugerah.
Memang Nani terkenal dengan kelantangannya dalam bersuara namun pelakon filem Kolumpo itu akui dia kini mula berubah.
Belajar daripada nenek
Semangat untuk berubah itu juga, kata Nani, diperoleh daripada neneknya, Rohani Abdullah atau nama sebenarnya, Tan Mui Gee, 79.
|
"Nenek seorang bekas jururawat wanita yang kuat dan tegas di luar, tetapi ada kelembutan dalam dirinya. Saya belajar sifat tersebut daripada nenek. Harap boleh jadi seperti dia," ujarnya yang menjadikan neneknya sebagai idola untuk berubah menjadi lebih baik.
Berkongsi lanjut, ungkap Nani, minggu lalu dia ada membawa keluarga termasuk neneknya menonton malam prebiu filem lakonan terbaharunya berjudul Kolumpo.
Kegembiraan yang tidak dapat dizahirkan apabila neneknya akui menyukai lakonan dalam filem yang mengangkat tiga cerita itu.
"Dia (nenek) peluk saya dan cakap good job. Dia suka tengok filem Kolumpo dan lakonan saya. Sebenarnya seronok bila dapat komen daripada dia. Sebabnya, dia bukan orang seni. Jadi, bila kita dapat pandangan orang yang bukan dalam bidang seni, ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan.
"Cara pendekatan dia berbeza seperti mana yang saya pernah kongsikan dengan ibu dan Leya (Sharifah Aleya)," kongsi Nani yang menyimpan impian untuk menghasilkan filem berkisar tentang neneknya.
Pasangan
Sebelum ini Nani pernah kecewa dengan sikap Lembaga Penapis Filem (LPF) dan berasakan LPF bersikap berat sebelah apabila memberi klasifikasi 18PL terhadap filem lakonannya iaitu Psiko Pencuri Hati.
Ia dilihat secara tidak langsung mengehadkan jumlah penonton dan menjadikan filem itu kurang mendapat sambutan berbanding filem lain.
Namun, Nani tidak berpatah arang untuk bersama rakan-rakannya seperti Bront Palarae, Namron, Rozi Izma dan Sheikh Munasar dalam menghasilkan filem.
"Kami sedar ada peminat untuk filem indie disebabkan itu kami tidak putus asa buat filem seperti itu. Macam filem Kolumpo, mereka (Bront, Rozi dan Sheikh) berani membuat pinjaman, tubuh syarikat dan hasilkan filem tersebut. Sebenarnya rasa macam tak logik bila rakan seperti Bront boleh mengarah filem. Tetapi saya gembira dengan fakta tersebut," ulasnya.
Tambahnya lagi, memang ada sikap berat sebelah dalam industri filem.
"Memang saya akui banyak filem yang keluar tetapi yang merisaukan saya adalah dari segi kualiti filem tersebut. Kuantiti yang banyak perlu diseimbangkan juga dengan kualiti," luah Nani lagi.
Sedar kelantangannya dalam bersuara membidas LPF di dalam laman sosial sebelum ini tidak mendatangkan kesan, ujar Nani, apa yang boleh dilakukannya adalah terus menghasilkan filem berkualiti.
"Tak guna sebenarnya mengamuk. Baik saya dan rakan-rakan hasilkan filem dan tarik perhatian penonton perlahan-lahan," ujarnya.
Memasuki usia 27 tahun juga tidak membuatkan Nani tergerak hati mencari pasangan. Sebab, katanya, perempuan sepertinya tidak menjadikan lelaki sebagai keutamaan untuk menyempurnakan hidupnya.
"Saya tidak perlu cari. Jodoh yang ditetapkan Allah untuk saya akan sampai juga suatu hari nanti.
"Biar saya fokus pada menghasilkan skrip dan filem dulu," ungkapnya lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: