• Mydin labur RM275 jutaPengasas dan Pengerusi Mydin, Mydin Mohamed (tengah) memotong reben sebagai gimik pembukaan Mydin Mall Seremban 2 sambil diperhatikan Ameer (kanan).

MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin) meluaskan operasi perniagaannya dengan membuka Pasar Raya Mydin dengan konsep pusat membeli-belah, sekali gus menjadi antara yang terbesar di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr  Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya yang dibina di Seremban 2, Negeri Sembilan itu melibatkan kos pelaburan RM275 juta yang juga merupakan cawangan ke-13.

“Pemilihan lokasi di Seremban 2 kerana kedudukannya yang strategik bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk di Negeri Sembilan, malah akan menjadi destinasi alternatif membeli belah untuk penduduk di Nilai, Kuala Lumpur, Cyberjaya dan kawasan sekitar.

“Mydin Seremban 2 ini adalah yang terbesar di antara rangkaian perniagaan Mydin di seluruh negara merangkumi bangunan empat tingkat dengan keluasan 950,000 kaki persegi,” katanya pada majlis pembukaannya di Seremban 2.

Menurutnya, bagi menonjolkan kelainan, pihaknya turut memperkenalkan penggunaan sistem pengimbas layan diri yang pertama di Asia Tenggara.

Katanya, ia bertujuan memberi revolusi baharu kepada pengguna ketika membeli belah, sekali gus mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

“Pengguna tidak perlu beratur panjang dan menunggu lama ketika membuat pembayaran di kaunter dan ini pastinya dapat menjimatkan masa.

“Untuk kemudahan ini kami menyediakan 140 unit alat pengimbas. Malah, perkhidmatan e-pay turut disediakan bagi memudahkan pengguna untuk membuat tambah nilai caj telefon dan membayar bil semasa mereka,” katanya.

Ameer berkata,  pelbagai kemudahan lain turut disediakan seperti medan selera, Wi-Fi, surau, tempat permainan kanak-kanak, kerusi roda dan ruang parkir bertingkat yang boleh menempatkan 1,392 kenderaan dalam satu masa.

Mengulas berhubung perancangan tahun depan, Mydin akan membuka lima lagi cawangan yang melibatkan pelaburan RM650 Juta.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami akan membuka cawangan di Kuala Terengganu, Selangor, Johor Bahru dan Perak  yang  akan dibuka pada April tahun  depan.

"Manakala 25 lagi pasar raya besar borong akan dibuka dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.