- Pengemis turut melibatkan warga asing.
Menurutnya, dia telah mengesan seorang lelaki berusia 50-an yang tinggal di sebuah kampung di sini menjadikan kerjaya mengemis untuk memperoleh wang.
Katanya, pembabitan lelaki ini terbongkar apabila kebanyakan penduduk di kampung bercerita mengenai aktiviti dilakukannya.
“Selepas mendapat maklumat, saya ke Pasar Awam Kulim untuk menyaksikan penipuan yang dilakukan individu terlibat. Kami kemudiannya mengekori pengemis itu sebaik sahaja selesai menjalankan tugasnya.
"Dia berjalan ke belakang bangunan yang berdekatan dan balik ke rumah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5. Selain pasar awam, saya turut menemui lelaki ini di pasar malam,” katanya.
Menurutnya, pengemis tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas kebaikan penduduk Kulim yang sedia memberikan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan.
“Saya meminta agensi kerajaan terlibat supaya memantau masalah ini dari terus merebak kepada golongan muda.
"Cuba kita bayangkan setiap pagi seorang pengemis mampu memperoleh RM30 setiap hari, maka pendapatannya lebih kurang RM900 sebulan dan ini meletakkan dia pada golongan bukan berpendapatan rendah atau miskin," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pekida Labu Besar, Ahmad Nordin Ismail berkata, masyarakat Kulim sedia membantu siapa sahaja dalam kesusahan terutama pengemis yang selalu mengunjungi kedai makan pada waktu tengah hari.
Menurutnya, sesiapa sahaja akan berasa terpanggil apabila ternampak seorang pengemis berdiri dalam keadaan lapar.
"Bagaimanapun, sekiranya mereka ini benar-benar hidup merempat, kita boleh memberikan bantuan dengan mengadu masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka dapat ditempatkan di rumah perlindungan.
“Setiap kali mendapat nasi bungkus daripada orang ramai, mereka akan diberi makan nasi lauk ayam dan air sirap. Apa yang mereka makan lebih mewah dari makanan yang mampu dibeli seorang buruh,” katanya.
Pegawai JKM Daerah Kulim, Md Nor Mohamad berkata, pengemis yang melakukan aktiviti mereka di khalayak ramai boleh ditahan melalui peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Katanya, pengemis boleh ditahan mengikut Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977, dan mereka boleh ditahan selama sebulan.
“Sekiranya JKM mendapati individu terlibat memang seorang pengemis dan tidak mempunyai saudara mara dan berusia melebihi 60 tahun, JKM akan menempatkan mereka di Rumah Seri Kenangan di Bedong, Kedah.
"Bagi mereka yang menipu atau melakukan aktiviti ini sebagai satu kerjaya, JKM boleh menahan mereka di bawah Seksyen 3(4). Sekiranya individu itu berusia di bawah 60 tahun, mereka akan ditahan selama tiga tahun di mana-mana Rumah Seri Kenangan,” katanya.
Menurutnya, JKM akan menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan pengemis di Kulim dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya dapat memaklumkan kepada pejabat JKM Daerah Kulim dengan seberapa segera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: