- Seth bersama produk keluaran syarikatnya yang semakin meningkat permintaannya.
Pengarah Urusan Malinja Doner Kebab dan Bakery Sdn Bhd, Seth A Rahim Buang berkata, kejayaan ini adalah hasil titik peluh bersama arwah isteri, Hamidah Abd Rahman yang telah banyak berkorban dan bersungguh-sungguh dalam memajukan perniagaan ini.
“Saya dan arwah isteri berasal dari Johor. Kami mula mengusahakan pembuatan roti kebab dari rumah sahaja. Setelah arwah isteri memohon bantuan dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah bantuan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kami tidak lagi menoleh ke belakang.
“Alhamdulillah, akhirnya pada 2008, saya ditawarkan oleh Mara ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR) di Gombak, Selangor. Di sini kami mempunyai kemudahan infrastruktur yang sangat baik untuk menghasilkan produk bermutu tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, pihak Mara telah menyediakan mesin pemprosesan berkualiti tinggi yang diimport dari Itali untuk kegunaan kilangnya bagi meningkatkan hasil pengeluaran roti pita.
“Sebelum ada mesin ini, kami hanya mampu membuat roti pita dalam kuantiti yang kecil dan selepas penggunaan mesin ini secara total, kami kini mampu menghasilkan 3,250 sehingga 6,500 keping roti pita sehari. Bagi penyediaan inti ayam dan daging, pemprosesannya masih lagi beroperasi di Johor,” katanya.
Seth menyasarkan untuk meningkatkan jualan sebanyak lima peratus tahun ini disokong dengan permintaan tinggi bagi produk keluaran syarikatnya.
Katanya, produknya dijual hanya kepada pemborong dan peniaga kebab di sekitar Lembah Klang. Bukan itu sahaja, produknya juga boleh didapati di pasar raya Mydin.
Ketika ditanya berhubung perancangan tahun depan, Seth berkata, syarikatnya berhasrat menjadi pengeluar utama makanan halal dan produk sejuk beku, sekali gus menguasai pasaran tempatan dan luar negara pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: