Wednesday, December 4, 2013

Jozan bakal pentaskan Jozan The Musical

JOZAN yang dianggotai oleh Zizan (kiri) dan Johan hanya ketawa apabila didakwa bergaduh. Hakikatnya hubungan mereka baik walaupun jarang bertemu.


WALAUPUN pernah tidak berjumpa selama setahun, Johan dan Zizan masih akrab dan serasi apabila bergabung sama seperti apa yang dilihat oleh masyarakat. Justeru, dakwaan kononnya mengatakan Jozan bergaduh, merupakan satu dakwaan yang dilihat sebagai satu fitnah yang ingin memecah-belahkan kedua pelawak tersebut.
Dakwaan seorang penerbit yang mengatakan Jozan sudah tidak sehaluan beberapa minggu lalu disangkal oleh Johan sekerasnya.
Bagaimanapun, ‘kehilangan’ Jozan dalam beberapa program seakan-akan menguatkan dakwaan tersebut. Apa yang pasti, Jozan punya alasan kukuh tentang ‘ketiadaan’ mereka muncul di kaca televisyen.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Johan yang ternyata kesal dengan dakwaan yang sama sekali tidak benar itu.
Kosmo!: Baru-baru ini muncul dakwaan tentang hubungan Jozan retak. Adakah kejutan di Akademi Fantasia 2013 (AF2013) baru-baru ini, merupakan cara Johan ingin berbaik semula bersama Zizan?
JOHAN: Kejutan tersebut bukan untuk memujuk dan berbaik semula. Namun hakikatnya, kami sudah setahun tidak berjumpa. Sebenarnya tidak timbul isu tentang kami bergaduh. Saya berjumpa dengan pihak Astro untuk beritahu yang saya memang mahu berjumpa dengan Zizan.
Sebenarnya, Zizan juga ada merancang untuk berjumpa dengan saya sewaktu saya bertanding dalam Super Spontan, namun kerana kesibukan dan komitmen terhadap AF2013 ketika itu, dia terpaksa batalkan. Sebab itu, kami akhirnya bertemu dalam final AF 2013.
Adakah ini bermakna, kalian terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tiada masa untuk berjumpa?
Dari segi kehidupan peribadi, sebenarnya saya jarang keluar kerana sering luangkan masa bersama keluarga di rumah. Berbeza dengan Zizan. Dia bujang dan bila-bila masa sahaja dia boleh keluar. Begitu juga ketika kami terbabit dalam Maharaja Lawak, saya jarang berjumpa dengan Zizan.
Namun, kami berjaya menghasilkan sesuatu yang baik ketika bersama walaupun jarang berjumpa. Itu yang merapatkan kami berdua kerana saya tahu dia mahu buat apa dan begitu juga sebaliknya. Itulah sebenarnya kekuatan Jozan.

JOZAN memberitahu, mereka bersedia untuk mementaskan lawak mereka di Istana Budaya.


Jika begitu, bagaimana kalian berjumpa untuk membuat latihan atau sebagainya?
Kami sering berkomunikasi melalui telefon. Jika ada mesyuarat dan perjumpaan, kebiasaannya pengurus kami yang akan menguruskan perkara tersebut. Namun, Zizan faham akan keadaan saya yang sudah berkeluarga ini.
Jika ingin dikira berapa kali saya lepak minum bersama Zizan, mungkin dua tahun sekali? Istilah Jozan bergaduh untuk saya adalah perkara yang tidak elok dan saya tahu siapa yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
Jadi, mengapa pihak tersebut membuat kenyataan sedemikian?
Mungkin dia tidak puas kerana Jozan tidak mahu bekerjasama dengan pihaknya, itu sahaja. Apabila kami tahu, kami anggap perkara ini remeh. Jozan ketawa dengan apa yang dia kata. Setiap apa yang saya katakan, mewakili Jozan dan begitu juga Zizan. Kami mengeratkan hubungan kami dengan cara kami tersendiri. Bukan dengan menunjuk di khalayak, itu bukan cara kami.
Adakah anda tidak akan bekerjasama dengan pihak tersebut?
Saya tidak suka layan gosip dan kritikan orang. Bukan saya yang keluarkan kenyataan Jozan sudah berpecah tetapi pihak tersebut. Kami hanya ketawa apabila perkara tersebut sampai ke telinga kami. Bagaimanapun, kami tidak akan menyimpan dendam serta masih menghormatinya sebagai seorang yang telah lama dalam industri. Ini kerana, industri kita kecil, pusing-pusing akan jumpa orang yang sama juga.
Anda tidak pernah terfikir untuk berjumpa dan membalas kenyataan tersebut?
Itu bukan cara Jozan. Selagi dia tidak mengganggu keluarga dan punca rezeki saya, tiada masalah dan begitu juga Jozan. Secebis pun tidak memudaratkan reputasi Jozan pada hakikatnya. Itu merupakan percakapan kosong kerana sebelum ini juga ada cerita seumpama ini keluar. Namun, kami hanya biarkan ia berlalu pergi. Apabila kita menutup aib orang, Allah akan menutup aib kita kelak, insya-Allah.
Mungkin boleh ceritakan perancangan Jozan selepas ini?
Selepas ini mungkin kami bakal menerbitkan teater Jozan The Musical pada tahun depan di Istana Budaya. Bukan kerana ingin bersaing, namun kerana ingin memberi hadiah kepada peminat yang telah lama merindukan gabungan kami berdua di atas pentas. Mungkin kerana itu, kami kurang muncul di khalayak kini kerana ingin beri peminat rindu dan tidak bosan dengan kami.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: