Monday, December 2, 2013

Individualiti gaya berani Jaspal, CPS Chaps

PAKAIAN ini menyerlahkan sisi feminin wanita dan menjadi pilihan generasi muda.


PERTUKARAN musim bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang berbeza, malah dunia fesyen turut berwajah baharu dengan memaparkan rekaan terkini.
Antaranya, koleksi musim luruh/sejuk 2013 Jaspal dan jenama baharu anak syarikatnya, CPS Chaps yang menampilkan rangkaian pakaian bercita rasa rock, berani dan penuh keyakinan.
Koleksi tersebut mengetengahkan fesyen yang segar dengan material fabrik denim dan bercorak ketara selain diperkaya dengan aksesori untuk dipadankan bersama pakaian fashionista untuk musim ini.
Memperaga pelbagai gaya fesyen terkini daripada material denim, antaranya, seluar pendek, weskot comel dan jaket motor yang menonjolkan individualiti fesyen setiap pemakai.
Lambang keremajaan
Bukan itu sahaja, setiap koleksi Jaspal dipadankan pula dengan corak berinspirasi alam semula jadi sekali gus menampakkan keistimewaan setiap helaian yang diperagakan. Bagi koleksi pakaian yang menunjukkan kewanitaan pula, gaun dan blaus serba putih, antara pilihan wajib dimiliki yang dikhususkan untuk gaya dan keselesaan mutlak si pemakai.
FESYEN chic dan funky untuk wanita muda.


Kelainan adalah perkataan yang paling sesuai bagi koleksi musim luruh/sejuk 2013 CPS Chaps. Label ini memberikan kejutan dengan memperkenalkan rekaan baharu yang segar dan kemas. Semua pakaian koleksi tersebut juga dipadankan dengan aksesori unik dan dibawa ke atas pentas dengan gaya tersendiri oleh model-model CPS Chaps.
Jenama CPS Chaps ini dibawa sebagai lambang keremajaan dengan tema tersendiri, The Look of Rock bagi musim luruh/sejuk 2013. Ia juga merupakan koleksi yang disediakan khas sebagai memberi penghormatan kepada dunia rock ‘n roll. Pakaian ini disesuaikan bersama aksesori yang bersifat garang daripada kulit dan kain renda berwarna merah manggis seumpama penampilan bintang rock.
Semua koleksi yang diperagakan disesuaikan dengan pilihan mudah padan yang boleh dipakai ke pejabat, bersantai pada waktu malam atau rekreasi pada hujung minggu.
“CPS Chaps adalah jenama unggul yang menyerlahkan gaya santai ketika di luar, koleksi untuk bergaya di kelab atau sebagai pilihan ultra moden untuk dipakai di tempat kerja oleh profesional dalam industri kreatif. Sementara itu, label Jaspal pula akan terus mengekalkan keseimbangan antara kelembutan dan ciri feminin dan dipersembahkan dalam gaya profesional penuh anggun,” kata Pengurus Besar JPS Fashions Malaysia, Annie Wang.
“CPS Chaps dan Jaspal adalah dua label berbeza dengan harapan untuk memenuhi cita rasa serta mood wanita daripada dua latar yang berlainan. Justeru, kami melihat CPS Chaps dan Jaspal sebagai label sokongan, menawarkan rangkaian yang lebih luas untuk pilihan pelanggan,” tambah Annie pada majlis pelancaran koleksi baharu Jaspal dan pelancaran jenama CPS Chaps di Sunway.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: