Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdy Muhid, 28, berkata, memandangkan dia juga ada tanggungjawab lain sebagai suami dan bapa, dia perlu bijak mengawal kewangannya yang perlu menampung keluarga dan pada masa sama menjelaskan yuran bayaran pengajian sebanyak RM20,000 (untuk tiga tahun) sehinggakan pernah menahan lapar untuk berjimat cermat.
"Pengurusan kewangan antara yang paling penting sepanjang bergelar pelajar dan juga ketua keluarga. Walaupun saya sering menerima undangan nyanyian dan lakonan, ini tidak bermakna saya boleh gunakan duit sewenang-wenangnya.
"Apa yang penting wang pendapatan saya cukup buat kebajikan keluarga dan yuran pengajian. Malah saya sanggup 'ikat perut' demi mendapatkan ijazah ini. Dan Alhamdulillah, saya merasai kemanisan selepas dugaan yang dilalui.
"Selain itu, saya juga ingin menjadi contoh baik kepada anak sebagai pemberi semangat untuknya belajar apabila dewasa kelak," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.
Tambah Diddy, kerana kejayaannya mengekalkan keputusan nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.8 ke atas, dia turut menerima pingat emas Naib Cancelor UUM pada majlis konvokesyen tersebut.
Antara petua untuk dia kekal dengan pencapaian sedemikian kata Diddy, seseorang yang belajar secara sambilan perlulah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap apa yang dipelajari.
Diddy turut memberitahu, pada tahun depan, dia merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Perniagaan Global, Hiburan dan Muzik di Berkley School Of Music di Valencia, Sepanyol.
"Sekarang ini, temubual sudahpun selesai dan saya akan menyambung pengajian di Valencia tahun depan.
"Bagaimanapun saya ingin merakamkan sebuah single lagu baru dan mempromosikannya sebelum menyambung pengajian saya itu. InsyaAllah, saya akan bawa isteri dan anak bersama," ujarnya.
Sementara itu, selain Diddy, turut menerima ijazah pada majlis konvokesyen tersebut ialah Emelda Rosnaida, Zed Zaidi, Zehra Zamri dan Neves.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: