|
DI sebalik kehangatan acara Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) yang berlangsung di di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu, kehadiran pasangan sensasi, Johan As’ari dan Lana Nodin pastinya lebih mencuri tumpuan ramai.
Ia berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Johan yang ingin menyunting pelakon seksi itu sebagai isteri selepas tiga hari berkenalan dengan lebih akrab.
Menyedari kedua-duanya menjadi tumpuan, terutamanya para wartawan yang sedang membuat liputan majlis tersebut, pujian wajar diberikan kepada Johan dan Lana kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu bual dan melayan dengan baik setiap pertanyaan daripada wartawan.
Johan, 26, yang diajukan pertanyaan mengenai ‘drama’ terbaharu yang dicetuskannya itu menjelaskan, segala keputusan yang dibuat adalah disebabkan dirinya yang sudah jatuh cinta dengan pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Astana Idaman 3 itu.
“Semuanya bermula apabila saya membaca artikel dalam sebuah majalah hiburan mengenai Lana yang ingin mencari seorang suami beriman. Kemudian ditakdirkan kami telah bertemu dalam sebuah majlis hiburan pada 18 November lalu.
“Sebelum itu, kami memang tidak pernah berjumpa dan saya cuma mengenali dirinya sebagai seorang pelakon. Bagaimanapun, sewaktu pertemuan itu saya akui sudah jatuh cinta pandang pertama kepadanya,” ujar pelakon yang cukup popular dengan watak Botak dalam drama bersiri Juvana itu.
Bercerita lebih lanjut mengenai perhubungan yang terjalin, Johan memberitahu, ketika majlis tersebut mereka sempat bertukar nombor telefon. Kemudian, pada sebelah malamnya pula mereka mengaturkan pertemuan bertemu di sebuah pusat beli- belah terkenal.
Ujarnya, dalam pertemuan itu banyak perkara yang dibualkan, termasuklah luahan hati Lana yang memberitahu ingin membuat perubahan terhadap dirinya.
Johan pula mengakui, dia banyak memberikan kata-kata nasihat buat wanita itu.
“Keesokan harinya kami bertemu sekali lagi dan saya berasa cukup selesa sepanjang bersama dengan dirinya. Mulai saat itu, saya sudah tetapkan pendirian bahawa dia merupakan gadis yang saya cari untuk dijadikan sebagai isteri.
“Justeru, pada hari ketiga saya terus melamar Lana dan meluahkan isi hati saya untuk memilihnya sebagai isteri. Mulanya dia memang agak terkejut tetapi tidak sangka pula dia menerima lamaran saya itu,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai maklum balas yang diterima daripada ahli keluarganya pula, Johan menyatakan, setakat ini kedua-dua ibu bapanya sekadar berpesan supaya masing-masing saling kenal-mengenal terlebih dahulu sebelum mengambil langkah yang lebih serius.
Selain itu, pelakon berkenaan turut menafikan bahawa ibunya meluahkan rasa terlalu kecewa sehingga memuat naik gambar di laman sosial Instagram seperti yang tersebar di internet.
“Mengenai perkara tersebut ia merupakan salah faham kerana ibu saya memuat naik gambar itu kerana berasa sedih apabila salah seorang saudara terdekat kami telah meninggal dunia,” jelasnya.
Berkenaan dengan keputusan untuk mendirikan rumah tangga pula, Johan memberitahu, buat masa ini masih belum ada tarikh tertentu lagi, namun berharap ia dapat dilangsungkan segera memandangkan usianya yang kini sudah menjangkau 26 tahun.
“Insya-Allah, sekarang kami mengharapkan doa yang terbaik agar hubungan ini terus berkekalan. Paling utama, sebagai seorang lelaki saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada Lana.
“Lagipun, saya cukup gembira melihat banyak perubahan terhadap diri Lana terutama sekali penampilan dirinya sekarang. Misalnya, dia ikut permintaan saya supaya tidak memakai skirt apabila kami keluar bersama,” ujarnya.
Menurutnya, buat masa ini dia dan Lana perlu kuat mengharungi segala cabaran yang mendatang, terutamanya untuk mengambil hati keluarga masing-masing agar hubungan yang akan dibina mendapat restu.
Tidak bercinta
Memandangkan sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Shila Amzah sehingga ada yang beranggapan mereka bercinta, Johan menegaskan, hubungannya dengan penyanyi itu tidak pernah lebih daripada seorang sahabat.
Jelasnya, sepanjang perkenalan dengan penyanyi tersebut, mereka langsung tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan cinta dan disebabkan itu tidak perlu timbul sebarang isu apabila dia memilih Lana sebagai isteri.
“Selama ini, saya atau Shila tidak pernah cakap yang kami ini bercinta kepada mana-mana pihak. Jadi, janganlah salahkan Lana sehingga melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya.
“Kalau ada sebarang tuduhan negatif yang dilemparkan terhadap saya atau Lana, kami memang tidak boleh berbuat apa-apa. Apa yang jelas, saya bebas untuk memilih sesiapa sahaja wanita yang ingin dijadikan teman hidup,” tegasnya.
Mengenai tindakan Shila yang telah memadam gambar mereka berdua serta mengeluarkan namanya daripada senarai rakan di akaun Instagram, Johan menyatakan, itu adalah hak penyanyi tersebut untuk berbuat demikian.
“Saya ada terdengar cerita tentang tindakan Shila yang meluahkan kekecewaannya menerusi Instagram miliknya. Apa yang boleh saya katakan, saya masih lagi terus menganggapnya sebagai seorang sahabat,” luahnya.
Cinta selepas kahwin
Turut menemani kekasih hati semasa ditemu bual wartawan, pelakon Lana Nodin berkata, pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, dia memang ingin mencari seorang lelaki yang mampu membimbingnya ke arah kebaikan.
Selain itu, pendirian Johan yang menyatakan hasratnya untuk bercinta selepas kahwin menyebabkan dia tertarik dan lantas bersetuju apabila pelakon tersebut melamarnya sebagai isteri.
“Pada mulanya, saya ada bertanya Johan sama ada dia mempunyai kekasih atau tidak sekarang memandangkan saya pernah terdengar cerita yang mengatakan dia bercinta dengan Shila Amzah.
|
“Kemudian, dia (Johan) memberitahu yang dia dan Shila tidak pernah bercinta dan untuk membuktikan kata- katanya itu dia terus menghubungi ibu Shila. Saya sendiri dengar setiap butir perbualan mereka dan itu yang membuat saya percaya sepenuhnya kepada Johan,” jelasnya.
Mengenai tuduhan yang dilemparkan dengan mengatakan dirinya mahu berubah semata-mata kerana Johan, pelakon itu berkata, segala perubahan yang ingin dilakukannya itu adalah hasrat yang lahir dari dalam dirinya sendiri tanpa pengaruh sesiapa.
Bagaimanapun, Johan memang banyak memberikan sokongan dan tidak pernah memaksanya untuk berubah secara drastik. Dia juga menasihati Lana agar perubahan yang ingin dilakukan itu perlu dilakukan secara berperingkat.
“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan bertudung kerana Johan. Sekalipun saya akan bertudung nanti, semuanya atas kehendak dan kerelaan diri sendiri.
“Secara jujurnya, saya amat terharu kerana masih ada lelaki yang baik seperti Johan, ikhlas menerima diri saya seadanya, meskipun banyak keburukan yang pernah dilakukan dahulu. Sekarang ini saya mampu doakan yang terbaik agar perhubungan ini terus berkekalan,” jelasnya mengakhiri temu bual.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: